Apa itu Rogol?
Rogol masih berlaku kerana sikap dan pandangan masyarakat terhadap wanita dimana wanita dipandang sebagai objek seks. Lelaki pula dipandang tinggi, dianggap sebagai berkuasa dan mempunyai hak untuk berkelakuan seperti yang mereka suka. Tiada sesiapa yang patut dirogol dan tiada sesiapa pun yang berhak merogol. Wanita tidak boleh dipersalahkan jika dia dirogol.
Jenis-jenis Rogol
Rogol dan Rogol Bawah Umur
Rogol ialah apabila seseorang lelaki mengadakan hubungan seks dengan seorang wanita yang bukan isterinya yang sah tanpa kerelaanya. Rogol bawah umur adalah hubungan seksual dengan perempuan bawah umur 16 tahun, dengan atau tanpa kerelaannya. (Seksyen 375 dan 376 Kanun Keseksaan)
Sumbang Mahram
Sumbang mahram adalah hubungan seks yang berlaku dikalangan ahli keluarga seperti bapa, abang atau adik lelaki, datuk, bapa saudara, dan saudara-mara lain.
Kebanyakan kes sumbang mahram berlaku melalui penderaan seksual kanak-kanak; pelaku biasanya adalah orang dewasa yang melanggar kepercayaan kanak-kanak tersebut. Sesiapa yang melakukan sumbang mahram dengan atau tanpa persetujuan daripada mangsa akan dikenakan tindakan. (Seksyen 376A dan 376B Kanun Keseksaan)
Rogol dalam Perkahwinan
Di Malaysia, Kanun Keseksaan tidak merangkumi jenayah rogol dalam perkahwinan. Hubungan seks diantara seorang lelaki dengan isterinya tanpa persetujuan isterinya bukan rogol melainkan lelaki tersebut telah bercerai dengan isterinya atau berpisah secara sah atau jika terdapat injunksi yang menghalang suami daripada melakukan persetubuhan dengan isterinya. Namun begitu, sekiranya suami menyebabkan ketakutan kecederaan kepada isterinya untuk mengadakan hubungan seks, dia boleh dikenakan tindakan. (Seksyen 375A Kanun Keseksaan)
Malangnya, ini menunjukkan bahawa perkahwinan bermaksud persetujuan untuk melakukan persetubuhan tanpa bersyarat. Dengan kata lain, dengan memasuki alam perkahwinan, suami mempunyai hak secara automatik ke atas tubuh isteri dan dengan demikian suami tidak boleh dikenakan tindakan atas kesalahan merogol. Dia boleh bersetubuh dengan isterinya walaupun isterinya tidak bersetuju. Kajian telah menunjukkan bahawa individu yang dirogol oleh suami mengalami kesan taruma lebih tinggi berbanding individu yang dirogol oleh orang yang tidak dikenali.
Kesan-kesan Rogol
Rogol menyebabkan mangsa mengalami trauma dari segi fizikal dan mental. Trauma akan bertambah teruk apabila mangsa menerima respon yang tidak sesuai daripada orang di sekeliling mereka disebabkan oleh kepercayaan masyarakat dengan mitos-mitos rogol yang sedia ada. Tanda-tanda trauma yang dialami mangsa rogol terbahagi kepada dua fasa iaitu trauma segera sesudah dirogol dan trauma jangka panjang selepas kejadian rogol. Antara kesan-kesan rogol adalah seperti berikut:-
- Kecederaan di bahagian faraj dan dubur
- Lebam
- Keletihan dan gangguan tidur
- Loya dan sakit kepala
- Sakit perut
- Kehamilan yang tidak diingini
- Penyakit kelamin
- Takut akan kecederaan fizikal
- Berasa marah, menyalahkan diri sendiri dan tidak berdaya
- Berasa terhina, malu dan bersalah
- Perasaan berubah-ubah dan emosi tidak menentu
- Sering mengimbas kembali kejadian dan mendapat mimpi ngeri
- Kemurungan dan kebimbangan
- Tingkah laku untuk membunuh diri atau cubaan bunuh diri

Rujuk buku, poster dan risalah serta video mengenai Rogol.