Apa itu Keganasan Rumah Tangga?
Keganasan rumah tangga adalah suatu perbuatan penderaan oleh seorang ahli keluarga terhadap ahli keluarga lain. Orang yang melakukan keganasan rumah tangga cuba mengawal orang yang didera.
Melalui Akta Keganasan Rumah Tangga 1994, keganasan rumah tangga bukan lagi suatu perkara peribadi tetapi telah menjadi kebimbangan masyarakat. Ia adalah jenayah di bawah Kanun Keseksaan. Organisasi wanita di Malaysia telah melobi selama hampir satu dekad sebelum Akta Keganasan Rumah Tangga diluluskan pada tahun 1994.
Hari ini, mangsa keganasan rumah tangga yang mengalami kecederaan boleh mendapatkan bantuan daripada pihak polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), hospital dan badan bukan kerajaan (NGO) dan juga boleh mengambil tindakan terhadap pendera mereka. Walaupun kebanyakan kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan melibatkan mangsa wanita, namun lelaki, warga emas dan kanak-kanak juga boleh menjadi mangsa.
Jenis-jenis Keganasan Rumah Tangga
Keganasan rumah tangga boleh berlaku melalui pelbagai cara, antaranya ialah:
- Penderaan fizikal: contohnya memukul, menolak, menumbuk, menampar, menendang, melemparkan objek atau mencekik mangsa.
- Penderaan emosi: contohnya menggunakan kata-kata kesat untuk mengaibkan atau membuatkan mangsa berasa tidak bermaruah, secara terang-terangan atau melalui dalam talian atau aplikasi media sosial.
- Penderaan seksual: contohnya menggunakan seks untuk mengawal atau mengaibkan mangsa, termasuk mengugut mangsa untuk melakukan seks yang tidak selamat atau amalan seks yang mana mangsa tidak mahu terlibat.
- Pengasingan: contohnya mengawal pergerakan atau menghalang mangsa daripada melawat, berjumpa, atau bercakap dengan ahli keluarga atau kawan.
- Ugutan: contohnya mengugut untuk mencederakan, menculik atau mencederakan mangsa atau anak-anak atau haiwan peliharaan keluarga, atau mengugut akan membunuh diri.
- Penderaan ekonomi: contohnya mengehadkan kebebasan atau jaminan kewangan mangsa termasuklah menahan atau enggan memberi wang secukupnya untuk perbelanjaan rumah tangga, atau merampas pendapatan seseorang.
- Menghendap: contohnya mengganggu dan mengancam berulang kali, termasuk mengikuti mangsa atau muncul di rumah atau di tempat kerja mangsa, membuat panggilan telefon yang mengganggu, meninggalkan pesanan suara atau menghantar mesej yang mengancam di media sosial, seperti melalui aplikasi WhatsApp.
Bagaimana Keganasan Rumah Tangga Berlaku?
Kitaran Keganasan
Kitaran keganasan merupakan satu model yang dibentuk untuk menjelaskan tentang kerumitan dan kewujudan tingkah laku kasar dan penyayang dalam suatu hubungan. Model ini dapat membantu mereka yang tidak pernah mengalami keganasan rumah tangga untuk memahami betapa rumitnya untuk mangsa keluar dari hubungan atau meninggalkan pendera.
Terdapat tiga fasa dalam kitaran keganasan: (1) Fasa Ketegangan, (2) Fasa Letupan/Keganasan Teruk, dan (3) Fasa Sesalan/Bulan Madu. Tanpa campur tangan, tahap penderaan akan cenderung untuk meningkat dari masa ke semasa.

Fasa 1: Ketegangan
Dalam fasa ini, penderaan dalam bentuk yang kurang parah berlaku. Mangsa selalunya dapat merasakan ketegangan yang berlaku dan cuba untuk “berbaik” dengan pendera bagi mengelakkan berlakunya penderaan. Mangsa akan mengurangkan kejadian-kejadian kecil dan juga menyalahkan diri sendiri atas kelakuan pendera. Mangsa juga mungkin tidak mengakui bahawa ketegangan itu boleh berubah kepada keganasan walaupun keadaan seperti itu pernah berlaku.
Fasa 2: Letupan/Keganasan Teruk
Kemarahan pendera meningkat secara mendadak. Kecederaan parah boleh berlaku akibat daripada keganasan tersebut. Mangsa selalunya rasa terkejut dan tidak percaya bahawa kejadian itu telah berlaku. Biasanya, mangsa dan pendera percaya kepada mitos bahawa pendera tidak dapat mengawal kemarahannya.
Biasanya, mangsa hanya akan mendapatkan bantuan atau membuat aduan rasmi kepada pihak polis atau pegawai kebajikan masyarakat ketika fasa ini.
Fasa 3: Sesalan/Bulan Madu
Pendera menyesal dan berjanji akan berubah. Pendera boleh menjadi seorang yang penyayang dan memberi hadiah sebagai salah satu cara untuk memohon maaf. Pendera cuba merasionalkan kejadian ganas yang berlaku dan menyalahkan mangsa sebagai penyebab penderaan. Pendera membuatkan mangsa rasa bersalah dan kasihan terhadapnya. Mangsa percaya bahawa pendera akan berubah. Tingkah laku pendera yang berubah buat sementara waktu, menguatkan mangsa untuk meneruskan perhubungan tersebut.
Seringkali terjadi, mangsa ingin menarik balik aduan atau laporan polis ketika fasa ini.
Adalah penting untuk kita tahu bahawa kitaran keganasan tidak semestinya wujud dalam semua perhubungan yang ganas. Di samping itu juga, ketiga-tiga fasa tersebut mungkin berbeza dari segi tahap keparahan dan juga jangka masa untuk setiap fasa.
Memutuskan Kitaran Keganasan
Langkah yang paling sukar untuk mangsa keganasan rumah tangga ialah memutuskan kitaran keganasan.
Untuk memutuskan kitaran keganasan, seseorang mangsa itu perlu menerima kenyataan bahawa dengan meneruskan perhubungan tersebut, keganasan akan menjadi satu kebiasaan yang boleh membahayakan diri dan anak-anaknya. Mangsa perlu percaya bahawa hidup tanpa keganasan adalah lebih baik untuk diri dan anak-anaknya. Mangsa memerlukan sokongan dari segi emosi dan kewangan.
Jika pendera berniat untuk memutuskan kitaran keganasan, maka dia sendiri harus membuat keputusan untuk mengubah kelakuannya. Ini termasuklah menukar sikapnya terhadap mangsa, menangani kemarahan, meningkatkan kemahiran komunikasi (misalnya mendengar dan bercakap) dan tidak bergantung kepada paksaan atau keganasan dalam perhubungannya.
Mengapa Pendera Melibatkan Diri Dalam Keganasan?
Kuasa dan Kawalan
Pendera biasanya mementingkan diri sendiri dan mengabaikan perasaan mangsa. Mereka mengawal ahli keluarga mereka melalui keganasan, membuat keputusan utama dan menganiaya pasangan mereka.
Faktor Keluarga
Sesetengah pendera mungkin telah dibesarkan dalam persekitaran keganasan. Mereka mungkin telah mengalami keganasan keluarga di zaman kanak-kanak mereka dan belajar tingkah laku ganas dari keluarga mereka.
Faktor Sosial
Pendera cenderung mempunyai idea tradisional mengenai peranan wanita dan lelaki, dimana wanita harus menjadi hamba kepada lelaki. Mereka tidak boleh menerima bahawa wanita mempunyai hak untuk membuat keputusan tentang kehidupannya sendiri, contohnya seperti pergi bekerja.
Faktor Psikologi
Pendera mungkin mengalami masalah psikologi dan mengalami gangguan personaliti yang berkaitan dengan perubahan emosi yang teruk, berbohong, masalah seksual, penyalahgunaan dadah, atau tingkah laku bunuh diri.
Siapa Yang Terkesan Dengan Keganasan Rumah Tangga, dan Bagaimana?
- Harga diri yang rendah dan kurang keyakinan
- Gangguan mental
- Malu, rasa bersalah dan ketakutan
- Pengasingan diri
- Kemurungan atau mempunyai kecenderungan untuk membunuh diri
- Ketakutan, tidak selamat, dan kebergantungan
- Kekecewaan dan kebimbangan
- Masalah di sekolah (markah rendah, ponteng sekolah dan lain-lain)
- Kemarahan yang mendalam (yang mungkin membawa kepada kelakuan ganas)
- Perpecahan keluarga
- Hukuman oleh undang-undang
- Perpisahan / perceraian
Rujuk buku, poster dan risalah serta video mengenai Keganasan Rumah Tangga.
