English Version

WCC: Titik Permulaan Kami

Pada tahun 1982, sekumpulan individu yang prihatin menyedari bahawa wanita di Pulau Pinang dan wilayah utara yang mengalami keganasan rumah tangga tidak mempunyai tempat untuk mendapatkan pertolongan. Keganasan terhadap wanita, hak wanita dan undang-undang yang bersifat diskriminasi terhadap wanita kurang mendapat perhatian media dan masyarakat tidak menyedari masalah-masalah ini.

Dengan jawatankuasa sementara yang dianggotai oleh tujuh ahli, Pusat Krisis Wanita (Women’s Crisis Centre) didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan pada 1 Julai 1985. Dalam mesyuarat yang pertama, kira-kira 70 orang hadir untuk memilih Ahli Jawatankuasa Am yang pertama di Institut Wanita pada September 1985.

Jawatankuasa Am WCC pertama terdiri daripada wanita dari semua lapisan masyarakat termasuk peguam, kerani, guru, pensyarah, dan suri rumah. (Klik sini untuk maklumat lanjut berkenaan Jawatankuasa Am WCC yang terkini)

WCC tidak mempunyai banyak wang atau ruang tetapi kami mencurahkan tenaga kami dan memberikan komitmen kami!

Kami mula beroperasi melalui talian telefon supaya wanita yang mengalami krisis boleh menghubungi kami. Apabila bilangan kes meningkat, kami mula menawarkan kaunseling secara bersemuka.

Dekad Pertama (1986-1995)

Pada peringkat awal, kami tidak mempunyai dana untuk menyediakan tempat perlindungan khas untuk wanita yang didera semasa kecemasan. Justeru itu, rakan-rakan dan penyokong-penyokong yang bersimpati menawarkan rumah dan bilik kosong mereka kepada kami. Kami sedar bahawa kami memerlukan tempat yang selamat untuk wanita yang didera dan memutuskan bahawa salah satu perkara utama yang perlu kami lakukan adalah mengumpul dana untuk mendapatkan rumah perlindungan.

Dengan bantuan rakan-rakan dan penyokong-penyokong yang berdedikasi, kami berjaya mengumpulkan dana yang mencukupi untuk membeli sebuah rumah kecil pada tahun 1989. Rumah perlindungan kami dibuka pada 1 Jun 1990 dan dalam tempoh setahun, rumah kecil kami telah menjadi tempat perlindungan yang sangat diperlukan untuk 17 wanita, termasuk kanak-kanak.

Malah pejabat WCC yang pertama, hanyalah bilik sempit yang disewa daripada majlis perbandaran. Kami beroperasi dari No. 57, Jalan Macalister dan kira-kira lapan tahun kemudian, pada Julai 1993, kami berpindah ke sebuah rumah teres dua tingkat di No. 24-D, Jalan Jones.

Pada pertengahan 1990-an, sebagaimana organisasi lain, kami mengalami ketegangan dan tekanan disebabkan oleh perkembangan dan perbezaan pendapat dan orientasi ideologi antara ahli. Namun begitu, apa yang penting ialah kami bangkit dengan berpegang teguh kepada prinsip hormat dan kepelbagaian. Inilah kekuatan yang kami terus pupuk dan buktikan sehingga hari ini.

Kami terus melakukan usaha berterusan dalam menambahbaik kehidupan wanita dalam komuniti dan bekerjasama dengan NGO lain serta agensi-agensi kerajaan. Selain daripada kaunseling dan ceramah kesedaran komuniti serta aktiviti yang telah kami laksanakan, kami juga mula menjalankan kerja penyelidikan.

Dekad Kedua (1996-2005)

Salah satu daripada kejayaan utama dekad ini adalah kami menjalinkan kerjasama dengan Pusat Krisis Bersepadu (One Stop Crisis Centre atau dikenali sebagai OSCC) yang ditubuhkan di Hospital Pulau Pinang apabila Akta Keganasan Rumah Tangga dikuatkuasakan mulai tahun 1996. Kami bekerjasama rapat dengan OSCC bagi memastikan mangsa keganasan rumah tangga dan penderaan seksual mempunyai akses segera perkhidmatan perubatan dan polis. Kami juga mula melatih anggota perubatan profesional, kakitangan kebajikan dan polis supaya mereka lebih memahami dan peka terhadap isu ini ketika berurusan dengan mangsa yang telah mengalami trauma. 

Sekali lagi, kami sedar bahawa kami perlu dekat dengan komuniti. Maka, kami mula memperluaskan program Bijak Itu Selamat dan Respek ke sekolah rendah dan sekolah menengah. Apabila pembaharuan undang-undang yang memberi kesan kepada wanita dan kanak-kanak di Malaysia menjadi keutamaan, WCC mengetuai kempen melobi untuk melaksanakan undang-undang anti-gangguan seksual bersama NGO wanita lain yang dikenali sebagai Kumpulan Tindakan Bersama untuk Kesaksamaan Gender (Joint Action Group for Gender Equality, JAG).

Pada tahun 2002, WCC mengambil langkah penting untuk menukar nama kepada Pusat Kesedaran Wanita (Women’s Centre for Change) bagi mencerminkan fokus organisasi kami yang lebih luas, iaitu memperkasakan wanita melalui pendidikan dan advokasi. Perkhidmatan bagi wanita dalam krisis tetap menjadi teras kerja kami tetapi kami juga menyedari betapa pentingnya untuk mewujudkan penyelesaian lain dalam menangani isu keadilan sosial dan kesaksamaan gender yang berlaku dalam dunia ini pasca 2000.

Dekad Ketiga (2006-2015)

Tahun 2008 menyaksikan kemenangan besar Pakatan Rakyat (kini Pakatan Harapan) dimana Kerajaan Negeri Pulau Pinang diambil alih daripada Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-12 pada 8 Mac. Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi Wanita, Keluarga dan Pembangunan Komuniti yang baru, YB Lydia Ong Kok Fooi, dengan kerjasama Ahli Parlimen ketika itu, YB Chong Eng, berjumpa dengan semua NGO wanita di Pulau Pinang untuk merangka strategi-strategi bagi kerajaan negeri untuk menambahbaik kehidupan wanita. Salah satu strateginya adalah untuk membentuk kerjasama pintar (smart partnership) dengan NGO yang berpengalaman bagi memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada wanita dan kanak-kanak, terutamanya di kawasan yang kurang akses terhadap perkhidmatan.

Sebagai pengiktirafan perkhidmatan dan pengalaman WCC dalam membantu wanita dan kanak-kanak dalam krisis selama dua dekad, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengadakan kerjasama pintar dengan WCC untuk memperluaskan perkhidmatannya ke Seberang. Kerajaan negeri bersetuju untuk memberikan dana untuk menubuhkan pusat perkhidmatan baru di Seberang Perai manakala WCC diberikan tugas untuk melatih dan mengurus kakitangan baru dan operasi pusat tersebut. Projek kerjasama ini dinamakan sebagai Pusat Perkhidmatan Wanita (PPW). Pada 19 Januari 2009, PPW dengan bangganya memulakan perkhidmatannya di Seberang Perai.

Pada tahun 2009 juga, WCC menguatkan kerjasama dengan Hospital Pulau Pinang agar perkhidmatan sokongan mangsa yang diberikan kepada mangsa keganasan rumah tangga dan jenayah seksual yang mendapatkan rawatan di OSCC di Jabatan Kecemasan di hospital lebih sistematik. Kakitangan WCC akan pergi ke OSCC untuk mengendalikan mangsa jenayah seksual atau keganasan rumah tangga apabila mendapatkan persetujuan mangsa dewasa atau penjaga mangsa kanak-kanak. Sokongan mangsa yang mendapatkan bantuan di OSCC Hospital Pulau Pinang dibentuk secara rasmi pada tahun 2010. Pada tahun berikutnya, iaitu tahun 2011, WCC memperluaskan perkhidmatannya ke Hospital Seberang Jaya menerusi pejabat PPW.

Pada tahun 2012, WCC Penang berpindah ke sebuah bangunan tiga tingkat di No. 241, Jalan Burma. Bangunan ini dibeli melalui usaha pengumpulan dana yang kami jalankan secara besar-besaran. Dalam dekad ketiga kami, khususnya mulai dari tahun 2015, WCC mula mengumpul data mengenai perkhidmatan sokongan mangsa kami dalam sistem keadilan jenayah secara sistematik. Data ini termasuk sokongan mahkamah dan melobi untuk penambahbaikan agensi kerajaan di peringkat negeri dan nasional.

Dekad Keempat (Selepas Tahun 2016)

Hari ini, WCC  diiktiraf di seluruh negara sebagai organisasi wanita yang mempunyai reputasi yang tinggi. Matlamat kami untuk menghapuskan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak dan menegakkan kesaksamaan gender tetap menjadi teras usaha kami.

Kami mempunyai 16 kakitangan dan 30-50 sukarelawan dari pelbagai latar belakang etnik, sosial dan profesional yang bekerja rapat dalam semua bidang, iaitu program seranta, perkhidmatan, penerbitan dan advokasi.

Kerja WCC telah berkembang sejak beberapa dekad lalu. Selain daripada perkhidmatan kaunseling dan perlindungan, kami menjalankan program seranta di sekolah, kolej dan komuniti serta memberi sokongan kepada mangsa keganasan seksual.

Pada tahun 2020, pandemik Covid-19 yang tidak pernah terjadi sebelum ini telah merevolusikan cara kerja kebanyakan organisasi. WCC perlu menyesuaikan diri dengan ‘normal baru’ dalam masa yang singkat. Oleh sebab program fizikal tidak dapat dijalankan, kami memanfaatkan media sosial dengan membangunkan dan mencipta semula program dan aktiviti kami dalam talian. Peralihan ini membolehkan kami menjangkaui batas geografi dan berhubung dengan ramai orang di seluruh negara dan membina rangkaian dan rakan kongsi baru yang  diluar jangkaan kami.

Bersama Kumpulan Tindakan Bersama untuk Kesaksamaan Gender (Joint Action Group for Gender Equality, JAG), kami secara aktif melobi kerajaan untuk menguatkuasakan undang-undang dan memberi sokongan yang lebih baik kepada mangsa keganasan seksual. Kami juga terus terlibat dengan aktif dengan media untuk meningkatkan kesedaran tentang kesaksamaan gender dan isu yang memberi kesan terhadap wanita dan kanak-kanak, khususnya keganasan berdasarkan gender.

Ahli Gabungan Tindakan Bersama untuk Kesaksamaan Gender (JAG)

JAG ialah gabungan 15 buah organisasi hak asasi wanita di Malaysia. Kami telah melobi pembaharuan undang-undang dan dasar yang bertumpu kepada wanita dan kanak-kanak. JAG terdiri daripada ahli-ahli berikut:

Women’s Centre for Change (WCC)
Tel: 04-228 0342
Emel: wcc@wccpenang.org
Laman web: wccpenang.org

All Women’s Action Society (AWAM)
85, Jalan 21/1, Sea Park, 46300 Petaling Jaya, Selangor.
Tel: 03-7877 4221
Hotline: 03-7877 0224 / 016-237 4221
Emel: awam@awam.org.my
Laman web: www.awam.org.my

Association of Women Lawyers
Emel: awlmsia@gmail.com
Laman web: www.awlmalaysia.org

Autism Inclusiveness Direct Action Group (AIDA)
Emel: aida.enquiry@gmail.com

Foreign Spouses Support Group (FSSG)
Emel: foreignspouses@gmail.com
Laman web: fssg.com.my

Justice for Sisters
Emel: justiceforsisters@gmail.com
Laman web: justiceforsisters.wordpress.com

KRYSS Network
Emel: info@kryss.network
Laman web: kryss.network 

Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER)
D-3-33, Block D, 8 Avenue, Pusat Perniagaan Section 8,
Jalan Sg Jernih 8/1, 46050 Petaling Jaya, Selangor.

Tel: 03-7960 4977
Emel: info@empowermalaysia.org
Laman web: empowermalaysia.org

Persatuan Sahabat Wanita Selangor (PSWS)
No. 11A, Jalan Restu 1, Taman Restu, 43000 Kajang, Selangor.
Tel: 03-8737 8380
Emel: sahabatwanita@gmail.com
Laman web: persatuansahabatwanita.org

Perak Women for Women (PWW)
15, Market Street, 30000 Ipoh, Perak.
Tel: 05-246 9715
Emel: perakwomenforwomen@gmail.com
Laman web: ngo.pww.org.my

Sarawak Women for Women Society (SWWS)
Unit 16, Level 4, La Promenade Mall 2, Hock Seng Lee Tower,
Kuching-Samarahan Expressway, 94300 Kota Samarahan, Sarawak.

Tel: 082-368 853
Hotline: 013-804 4285 / 016-582 2660
Emel: info@sarswws.org
Laman web: sarswws.org

Sabah Women’s Action-Resource Group (SAWO)
Lot 24, 2nd Floor, Block C Damai Point, 88300 Kota Kinabalu, Sabah.
Tel: 088-269 291
Hotline: 088-280 200 / 011-2790 8020
Emel: sawo.women@yahoo.com
Laman web: sawo.org.my

Sisters in Islam (SIS)
No. 4 Lorong 11/8E 46200 Petaling Jaya, Selangor.
Tel: 03-7960 3357 / 5121 / 6733
Emel: sis@sistersinislam.org.my
Laman web: sistersinislam.org

Tenaganita
12, Jalan 6/11, 46000 Petaling Jaya, Selangor.
Tel: 03-7770 3671 / 3691
Hotline: 012-335 0512 / 012-339 5350
Emel: general@tenaganita.net
Laman web: tenaganita.net

Women’s Aid Organisation (WAO)
P.O.Box 493, Jalan Sultan 46760 Petaling Jaya, Selangor.
Tel: 03-7957 5636 / 0636 (general enquiries)
Hotline: 03-3000 8858
SMS/WhatsApp TINA: 018-988 8058
Emel: info@wao.org.my
Laman web: wao.org.my