Mendapatkan Bantuan

Mangsa yang berada dalam hubungan yang ganas selalunya akan merahsiakan keganasan tersebut. Oleh itu, penting untuk mereka mendapatkan bantuan daripada orang dewasa yang mereka percaya sama ada ibu bapa, guru, kaunselor sekolah atau penyedia perkhidmatan jagaan kesihatan atau mana-mana organisasi wanita seperti WCC.

Apa yang perlu dilakukan sekiranya anda berada dalam hubungan yang tidak sihat/toksik?

Situasi menjadi sukar apabila seseorang yang anda benar-benar mengambil berat, sepatutnya mengambil berat tentang anda juga, melayan anda secara tidak baik. Berkemungkinan dia juga melayan anda dengan baik selalunya. Berkemungkinan dia juga meminta maaf setelah melakukan kesilapan. Anda sering memujuk diri sendiri bahawa perkara yang berlaku tidaklah terlalu teruk dan tidak akan berulang. Tetapi anda sepatutnya dihormati.

Memahami Perkara Yang Terjadi

Langkah pertama adalah anda perlu memahami tentang apa yang sedang berlaku. Berlawanan dengan perhubungan sihat adalah perhubungan ganas. Keganasan bukan sekadar fizikal. Keganasan berlaku apabila seseorang cuba untuk mengawal dan menyakiti seseorang yang lain, sama ada melalui cara memukul, memekik atau memaksa melakukan perbuatan seks.

Jika anda rasa takut dan bimbang dengan teman lelaki atau wanita anda, atau takut dengan kelakuan atau percakapan mereka, anda berkemungkinan berada dalam perhubungan yang tidak sihat.

Anda semestinya teragak-agak kenapa orang tersebut melakukan sebegitu kepada anda. Seseorang yang menyakiti anda semestinya memberikan pelbagai alasan seperti, “Saya hanya bergurau”, “Saya sedang marah”, “Anda yang membuat saya bertindak sebegitu”, atau “Anda terlalu sensitif”. Seseorang yang cuba mengawal anda mengatakan mereka mengambil berat. Realitinya, dia bertindak sebegitu kerana dia tidak menghormati anda. Tidak ada sesiapa pun yang berhak mengawal dan menyakiti anda.

Ingat: Cara teman lelaki/wanita melayan anda bukan salah anda. Walaupun dia berasa kecewa atau marah tentang sesuatu, dia sepatutnya menghadapi perasaan tersebut dengan berbincang dengan anda atau dengan keluarganya.

Tolong Diri Sendiri

Langkah yang paling penting adalah dengan menolong diri anda kerana diri anda sangat bermakna. Dapatkan bantuan atau berbincang dengan seseorang yang dapat membantu anda. Berbincang dengan seseorang yang anda percaya tentang perkara yang terjadi dapat membantu anda menangani perasaan takut, risau dan rasa tidak bernilai. Ianya dapat membantu anda mendapatkan jalan penyelesaian. Jika anda seorang kanak-kanak, beritahu orang dewasa yang anda percaya seperti ibu bapa atau guru. Anda juga boleh mendapatkan bantuan di mana-mana organisasi wanita seperti WCC. Anda boleh membuat laporan polis jika anda berasa terancam. Jika anda mengalami gangguan seksual daripada teman lelaki/wanita, sila rujuk ruangan ini untuk mendapatkan maklumat tentang cara mendapatkan bantuan.

Ingat, anda tidak keseorangan. Kami ada di sini untuk membantu anda.

Menamatkan Perhubungan Tidak Sihat

Bukan mudah dan ada kalanya bahaya apabila anda hendak keluar daripada perhubungan yang tidak sihat/toksik. Berada dalam perhubungan yang tidak sihat/toksik bukan salah anda. Jangan rasa serba salah. Keadaan anda hanya akan menjadi lebih teruk sekiranya anda kekal dalam hubungan ini. Tamatkan.

Jika anda berasa tidak selamat atau anda perlu menamatkan perhubungan tersebut tetapi anda takut, ikuti langkah-langkah ini:

  • Cuba elak bersendirian dengan seseorang yang ganas.
  • Persiapkan alasan anda untuk beredar secepat mungkin daripada situasi tersebut.
  • Beritahu seseorang tentang ke mana anda pergi dan bila anda akan pulang.
  • Jika anda berada di luar, uruskan perjalanan pulang anda sendiri. Bawa telefon dan wang anda.
  • Percaya naluri anda – jika berasa sesuatu tidak baik, beredar serta merta.
  • Sekat orang tersebut di telefon anda, ini boleh mengelakkan gangguan jika anda telah meninggalkan perhubungan tersebut.
  • Hubungi mana-mana agensi wanita seperti WCC untuk membuat perancangan keselamatan.
  • Hubungi polis jika anda berasa dalam bahaya.

Soalan Lazim

Bolehkah remaja mempunyai hubungan dating?
Dating boleh menjadi pengalaman yang positif apabila teman lelaki/wanita anda menghormati dan menyokong keputusan kehidupan anda. Walau bagaimanapun, kebanyakan ibu bapa tidak menyokong anak-anak mereka untuk ber-dating ketika usia muda kerana mereka risau tentang keselamatan dan pembelajaran anda.

Bolehkah saya menghentikan teman lelaki/wanita daripada kelakuan ganas mereka?
Tidak boleh. Orang yang boleh menghentikan perbuatan tersebut adalah diri mereka sendiri. Teman lelaki/wanita anda perlu belajar menghormati sesama sendiri dan mengubah tingkah laku mereka. Jika tidak, keganasan tersebut tidak akan berhenti. Teman lelaki/wanita anda perlu bertanggungjawab dengan perbuatan mereka. Anda tidak perlu bertolak ansur dengan perbuatan tersebut. Jika teman lelaki/wanita anda tidak berubah, anda boleh membuat keputusan untuk meninggalkannya.

Jika saya mendapati teman lelaki/wanita saya ganas, perlukah saya mengakhiri perhubungan tersebut?
Bukan mudah untuk mengakhiri perhubungan. Anda masih sayangkan teman lelaki/wanita anda atau akan rasa kehilangan. Anda mungkin akan berasa terperangkap dan takut untuk meninggalkannya. Tetapi, jika anda merasakan diri anda tidak dihormati, adalah baik untuk mengakhirinya. Kekal dalam perhubungan sebegitu akan membuatkan anda rasa terancam dan lebih teruk. Perkara paling penting adalah fikirkan tentang keselamatan anda. Bincang dengan seseorang yang anda percaya seperti ibu bapa dan rakan-rakan tentang apa yang perlu dilakukan.

Saya telah mempunyai hubungan yang rapat dengan teman lelaki/wanita tetapi dia menyuruh saya menghantar gambar intim dan saya berasa tidak selesa. Apa yang patut saya lakukan?
Jangan hantar gambar dan video intim kepada sesiapapun. Berkemungkinan perhubungan tidak tahan lama dan apabila anda kongsikan secara dalam talian, anda tidak dapat mengawal gambar dan video tersebut. Hal ini kerana, gambar dan video tersebut boleh dilihat oleh lebih daripada seorang. Jika dia mengugut anda, beritahu orang dewasa yang anda percaya dan segera membuat laporan polis. Tidak ada sesiapa yang boleh memaksa anda membuat sesuatu yang anda tidak ingini.

Saya telah mempunyai hubungan seksual. Apa langkah-langkah keselamatan yang perlu saya ambil?
Jika anda sudah berada dalam perhubungan seksual, anda perlu mengambil kira beberapa perkara. Melakukan perhubungan seksual datang bersama dengan tanggungjawab yang berat dan boleh melibatkan komitmen yang besar dan emosi. Seks adalah perkongsian perhubungan intim antara fizikal dan emosi. Menghormati perasaan dan batas antara satu sama lain sangat penting. Jika anda seorang perempuan, anda juga perlu tahu bahawa anda boleh mengandung atau dijangkiti penyakit kelamin seperti gonorrhea dan sifilis. Anda perlu percaya orang yang anda bersama dan boleh memikul tanggungjawab jika anda menghadapi sebarang kesulitan.

Saya seorang perempuan berumur 16 tahun ke bawah dan mempunyai hubungan seksual. Adakah teman lelaki saya bersalah?
Ya! Jika anda berumur 16 tahun ke bawah, perhubungan seks dengan kebenaran atau tidak, ia merupakan kesalahan rogol bawah umur. Teman lelaki anda akan dikenakan dengan tindakan jenayah. Jika teman lelaki anda berumur 18 tahun ke bawah, dia boleh didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak di bawah Akta Kanak-Kanak.

Bolehkah saya mendapat penyakit kelamin (STD) jika melakukan hubungan seks?
Penyakit kelamin (STD) adalah jangkitan daripada seseorang kepada seseorang yang lain melalui perhubungan seksual. Penggunaan kondom boleh melindungi daripada penyakit kelamin. Jika anda mempunyai simptom STD, anda dan teman lelaki/wanita anda perlu membuat pemeriksaan secepat mungkin di klinik dan hospital yang menyediakan kaunseling, ujian darah, swab dan informasi perancangan. Anda perlu tahu bahawa seseorang yang dijangkiti STD nampak sihat dan tiada simptom. Sesetengan penyakit seperti papilloma virus (HPV) boleh membawa kepada kanser serviks dan wanita yang aktif dalam perhubungan seksual perlu menjalani ujian pap smears berkala di klinik.

Lihat sumber berguna mengenai Remaja & Keganasan.

Kembali ke laman utama Remaja & Keganasan