Perceraian
Pasangan yang tidak dapat menyelesaikan konflik boleh memilih untuk membubarkan perkahwinan. Terdapat beberapa jenis perceraian mengikut hukum Syarak di negara kita, namun empat jenis perceraian utama yang selalu digunakan adalah Talaq, Ta’liq, Khulu’ (tebus talaq) dan Fasakh. Satu lagi jenis perceraian adalah Li’an tetapi ia jarang digunapakai di Malaysia.
Jenis-jenis Perceraian
- Talaq: Talaq adalah di mana suami melepaskan ikatan perkahwinan dengan menggunakan lafaz cerai. Talaq juga berlaku apabila suami melanggar lafaz Ta’liq yang dibuatnya semasa upacara nikah. Selain itu, isteri boleh mencabar permohonan cerai Talaq suami sekiranya isteri yakin bahawa konflik rumah tangga yang berlaku berpunca dari suami.
- Ta’liq: Cerai Ta’liq ialah pelanggaran lafaz perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah dan sebarang pelanggaran syarat-syarat perjanjian oleh suami memberikan hak kepada isteri untuk membuat aduan dan menuntut haknya di Mahkamah Syariah. Syarat-syarat Ta’liq ini secara kebiasaannya telah disediakan oleh jurunikah. Walau bagaimanapun, pihak-pihak berkebebasan untuk menambah sebarang syarat sebagai Ta’liq selagi mana ianya tidak bertentangan dengan hukum Syarak.
- Khulu’ (Tebus Talaq): Jenis cerai yang khusus untuk isteri yang ingin menuntut cerai tanpa sebarang kesalahan dari pihak suami. Khulu’ dilafazkan oleh suami atas permohonan isteri dengan bayaran tertentu oleh isteri kepada suami atas persetujuan bersama. Sekiranya tidak ada persetujuan dengan jumlah yang perlu dibayar oleh isteri, Mahkamah berkuasa untuk menaksirkan jumlah tersebut. Antara faktor yang diambil kira oleh Mahkamah adalah jumlah mas kahwin (Mahr), status sosio-ekonomi pihak-pihak sebelum dan semasa perkahwinan, dan sebab perlunya perceraian.
- Fasakh: Pembubaran perkahwinan oleh Mahkamah Syariah disebabkan oleh sesuatu keadaan yang diharuskan oleh hukum Syarak. Contohnya, suami atau isteri menghilangkan diri selama tempoh lebih daripada satu tahun, suami tidak memberi nafkah dalam tempoh tiga bulan berturut-turut, suami atau isteri menganiayai pasangannya dan lain-lain keadaan yang dibenarkan oleh hukum Syarak termasuk pasangan dipenjarakan, pasangan mempunyai penyakit kelamin dan/atau suami mati pucuk.
- Li’an: Pertuduhan zina oleh suami terhadap isterinya.
Syarat Perceraian
- Perkahwinan itu didaftarkan di Malaysia mengikut Enakmen/Akta Undang-Undang Keluarga Islam negeri-negeri berkenaan;
- Pernikahan itu memenuhi Hukum Syarak; dan
- Permohonan perceraian boleh difailkan di tempat tinggal atau mastautin suami atau isteri.
Prosedur Perceraian
- Mengikut Hukum Syarak, apabila suami isteri berdepan dengan konflik, pihak-pihak digalakkan untuk mendapatkan khidmat nasihat dari ahli keluarga terdekat.
- Sekiranya pihak-pihak memerlukan kaunseling secara formal, mereka boleh merujuk kepada Unit Kaunseling Jabatan Agama negeri masing-masing dalam usaha menyelamatkan perkahwinan tersebut. Jika pendamaian tidak dapat dicapai atau salah satu pihak enggan hadir ke sesi kaunseling, Pegawai Agama akan memutuskan bahawa proses kaunseling tidak dapat diteruskan dan menasihati pihak-pihak untuk memohon kepada Mahkamah Syariah untuk bercerai.
- Pihak-pihak digalakkan mendapatkan nasihat guaman sebelum memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Syariah, untuk memastikan hak mereka terjamin semasa proses perceraian. Sekiranya pihak-pihak tidak mampu membiayai kos guaman, mereka boleh mendapatkan bantuan daripada Jabatan Bantuan Guaman dan Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam di negeri masing-masingApabila permohonan perceraian didaftarkan di Mahkamah, Mahkamah akan mengeluarkan saman terhadap suami anda.
- Apabila isteri memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Syariah, Mahkamah akan mengeluarkan saman terhadap suami yang mewajibkan kehadiran beliau. Sekiranya saman telah diserah secara ke diri ke atas suami dan beliau gagal hadir ke Mahkamah tanpa sebab, waran tangkap boleh dikeluarkan terhadap beliau untuk memaksa kehadiran.
- Mahkamah akan mengkaji permohonan perceraian oleh pihak menuntut (Plaintif) dan menentukan sama ada terdapat persetujuan oleh kedua belah pihak untuk bercerai.
- Untuk permohonan cerai Talaq, jika persetujuan dicapai, satu perintah persetujuan cerai akan direkodkan oleh Mahkamah. Sekiranya pihak yang kena tuntut (Defendan) tidak bersetuju dengan permohonan cerai tersebut, Mahkamah akan merujuk permohonan itu kepada Jawatankuasa Pendamai untuk mencari jalan penyelesaian. Jawatankuasa Pendamai yang dipengerusikan oleh Pegawai yang dilantik oleh Mahkamah Syariah terdiri daripada seorang wakil pasangan masing-masing, seperti ahli keluarga terdekat dan orang yang berpengetahuan tentang latar belakang pasangan tersebut.
- Manakala bagi tuntutan cerai Fasakh, Ta’liq dan/atau Khulu’ (Tebus Talaq), sekiranya Defendan bersetuju untuk bercerai, Mahkamah boleh mengubah permohonan cerai tersebut kepada cerai secara Talaq biasa. Sekiranya tiada persetujuan bersama untuk bercerai, Defendan akan diperintahkan untuk memfailkan Pembelaan dan/atau Tuntutan Balas untuk menjawab permohonan cerai oleh Plaintif. Selepas pemfailan Pembelaan dan/atau Tuntutan Balas, pihak-pihak akan memulakan pengurusan kes untuk perbicaraan yang akan ditetapkan oleh Mahkamah kemudian.
- Pada tarikh perbicaraan, pihak-pihak perlu mengemukakan keterangan dalam bentuk saksi-saksi dan/atau apa-apa dokumen yang berkaitan dengan tuntutan yang difailkan, termasuk bukti perkahwinan, sijil lahir anak dan sebagainya. Mahkamah akan mendengar keterangan kedua-dua pihak dan membuat keputusan sama ada membenarkan atau menolak permohonan cerai tersebut.
- Mahkamah akan memutuskan sesuatu permohonan cerai berdasarkan kepada bukti dan keterangan yang dikemukakan.
- Pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rendah boleh merayu ke Mahkamah Tinggi Syariah dan seterusnya.
Tuntutan Berkaitan Perceraian
Isteri boleh menuntut hak-hak mereka semasa atau lanjutan kepada permohonan perceraian. Tuntutan-tuntutan utama yang berkaitan dengan perceraian adalah:
- Nafkah Iddah kepada isteri dalam tempoh Iddah;
- Nafkah anak-anak dan hak tempat tinggal;
- Hadhanah atau hak penjagaan anak;
- Harta sepencarian; dan
- Mut’ah
Nafkah Iddah
- Nafkah Iddah adalah perbelanjaan diri isteri yang wajib ditanggung oleh suami sepanjang tempoh Iddah (tiga kali suci dan/atau sehingga anak dalam kandungan dilahirkan).
- Untuk nafkah isteri yang tertunggak, jumlah hutang tersebut boleh dituntut pada ketika ini.
Nafkah anak-anak dan hak tempat tinggal
- Seorang isteri berhak menuntut perbelanjaan nafkah anak-anak yang dilahirkan semasa perkahwinan terhadap bapa anak-anak tersebut / bekas suami.
- Tanggungjawab nafkah anak-anak terletak pada bapa / bekas suami.
- Lanjutan kepada perceraian, seseorang isteri boleh terus menetap di rumah kelamin sepanjang tempoh Iddah dan/atau sekiranya anak-anak masih di bawah umur dan memerlukan tempat tinggal. Sekiranya isteri berkahwin semula ataupun melakukan perkara-perkara yang tidak bermoral secara terbuka, hak tempat tinggal ini boleh terlucut.
Hadhanah atau hak penjagaan anak
- Hadhanah atau hak penjagaan anak merupakan hak mutlak seorang ibu semasa perkahwinan ataupun semasa dan selepas perceraian sekiranya anak-anak masih kecil.
- Sekiranya berlaku perebutan hak penjagaan anak semasa perceraian, Mahkamah dalam membuat keputusan akan mempertimbangkan perkara-perkara berikut:
- Kebajikan kanak-kanak: ini merupakan faktor utama yang dipertimbangkan oleh Mahkamah untuk menentukan siapa yang berhak menjaga kanak-kanak tersebut
- Umur kanak-kanak: bagi anak yang kecil, hak penjagaan kekal dengan ibu
- Pilihan kanak-kanak, sekiranya kanak-kanak tersebut telah mencapai umur mumayiz di mana mereka berkeupayaan membuat pilihan
- Sesuatu perintah berkenaan dengan hak penjagaan boleh diubah pada bila-bila masa sekiranya berlaku perubahan matan yang mempengaruhi kebajikan kanak-kanak termasuk mengambil kira pilihan kanak-kanak yang telah mumayiz, atau di mana ibu telah hilang kelayakan hak penjagaan tersebut atas apa-apa sebab.
- Pihak yang tidak mendapat hak penjagaan adalah berhak mendapat hak lawatan dan bersama anak-anak tersebut dari masa ke semasa.
Harta sepencarian
- Harta sepencarian adalah apa-apa harta yang diperolehi semasa dalam perkahwinan, walaupun harta tersebut mungkin didaftarkan dalam nama salah seorang pasangan.
- Mahkamah akan memutuskan tuntutan harta sepencarian berpandukan kepada sumbangan secara langsung atau tidak langsung oleh pihak yang menuntut.
- Bekas isteri boleh menuntut apa-apa harta yang diperolehi semasa dalam perkahwinan walaupun ianya didaftarkan atas nama bekas suami, sekiranya beliau dapat membuktikan sumbangannya sebagai seorang isteri/ibu, termasuk sumbangan tenaga terhadap kebajikan keluarga, sumbangan tenaga yang membolehkan suami mengumpul harta, dan keperluan anak-anak yang belum dewasa.
- Harta sepencarian tidak terhad kepada aset tetap seperti rumah. Ia juga merangkumi aset lain seperti kenderaan, wang dalam akaun bank dan pelaburan.
Mut’ah
- Mut’ah adalah sumbangan saguhati oleh seseorang suami kepada isteri yang diceraikan tanpa salah/aib isteri.
- Di Malaysia, secara amnya, Mahkamah boleh membenarkan tuntutan isteri untuk mut’ah. Dalam menentukan jumlah mut’ah, Mahkamah akan mengambil kira sumbangan isteri, tempoh perkahwinan, kedudukan pihak-pihak semasa dan selepas perceraian dan sebab perceraian.
- Salah satu cara pengiraan mut’ah adalah mengambil kira nafkah harian isteri didarab dengan tempoh perkahwinan.
Ruju’
Ruju’ bermaksud “kembali”, iaitu mengembalikan isteri kepada pertalian perkahwinan setelah beliau diceraikan dengan talaq raj’i, iaitu perceraian dengan satu atau dua talaq yang tidak diikuti dengan habis iddah. Ruju’ boleh dibuat dengan menggunakan lafaz tertentu dalam tempoh iddah.
Ruju’ hanya boleh dilakukan jika isteri itu telah diceraikan dengan talaq raj’i iaitu talaq satu dan talaq dua sahaja. Sebaliknya jika isteri itu diceraikan dengan talaq bain (talaq tiga), maka ruju’ tidak boleh dilakukan.
Tempoh ruju’ bermula daripada saat isteri diceraikan hinggalah tamat tempoh iddah atau mana-mana tempoh iddah yang berpanjangan, contohnya jika isteri sedang mengandung ketika suami melafazkan cerai (dalam keadaan ini, tempoh iddah isteri yang mengandung berlanjutan sehingga anak dilahirkan). Jika tempoh iddah telah tamat, maka suami itu tidak boleh lagi melakukan ruju’ melainkan dengan akad nikah dan mas kahwin yang baru.
Soalan Lazim (FAQ)
Perceraian
Jika suami enggan melafazkan talaq, bolehkah wanita memohon cerai?
Boleh. Wanita atau isteri boleh memohon cerai daripada suami melalui fasakh, ta’liq dan tebus talaq (khulu’). Sila rujuk Jabatan Bantuan Guaman dan Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam di negeri masing-masing
Adakah perceraian boleh dilakukan di negeri lain di Malaysia (bukan negeri asal pasangan berkahwin)?
Boleh. Permohonan perceraian boleh dibuat di negeri di mana anda tinggal. Contohnya, jika anda lahir di Kuala Lumpur, kad pengenalan beralamat di Kuala Lumpur dan berkahwin di sana tetapi anda menetap di Pulau Pinang, anda boleh mendapatkan surat anak kariah daripada kariah masjid tempatan (Pulau Pinang) untuk mengesahkan anda telah menetap di kawasan tempat tinggal sekarang (dalam bidang kuasa yang sama), dan membuat permohonan untuk bercerai di Pulau Pinang. Anda tidak perlu membuat permohonan untuk bercerai di Kuala Lumpur.
Isteri mendapati bahawa suaminya telah mencabul anak sendiri dan mahu meminta cerai. Tetapi suami enggan menceraikannya. Apa tindakan yang boleh isteri ambil?
Isteri mempunyai pilihan untuk menuntut fasakh sekiranya suami enggan menceraikannya. Dalam Islam, isteri tidak perlu taat kepada suami yang melakukan kemungkaran dan isteri juga harus membuat laporan polis berkenaan jenayah yang dilakukan suami demi kebajikan beliau dan anak-anak.
Dalam tempoh iddah, adakah isteri dan anak-anak berhak untuk terus tinggal di rumah?
Ya. Suami sewajarnya berpindah keluar untuk menjamin kebajikan isteri dan anak-anak terpelihara. Selepas tempoh iddah, bekas isteri berhak menuntut tempat tinggal atau sewaan kepada anak-anak yang masih di bawah umur 18 tahun, ataupun yang masih bergantung kepada ibubapa untuk perbelanjaan diri.
Benarkah suami boleh ruju’ semula tanpa persetujuan isteri?
Tidak benar. Suami hanya boleh ruju’ semula dengan isterinya dalam tempoh iddah jika perceraian tersebut dibuat melalui talaq raj’i dengan persetujuan isteri.
Nafkah
Adakah suami perlu memberi nafkah kepada isteri?
Ya. Nafkah ialah pemberian yang wajib diberikan oleh suami kepada isteri dan anak-anaknya. Ia merangkumi perbelanjaan makan, minum, tempat tinggal, pakaian, pendidikan, rawatan kesihatan dan sebagainya. Isteri tidak bertanggungjawab terhadap nafkah anak-anak. Kewajipan ini bertumpu ke atas suami dan saudara mara lelaki sebelah suami, contohnya datuk atau bapa saudara kepada anak-anak.
Bagaimana untuk menuntut nafkah tertunggak?
Tuntutan boleh dibuat di Mahkamah Syariah. Kedua-dua suami isteri harus mengemukakan bukti. Sekiranya suami tidak memberi nafkah kepada isteri, isteri boleh memfailkan tuntutan untuk nafkah tertunggak di Mahkamah. Isteri juga boleh mengambil kira keperluan rumah, bil elektrik dan air, dan belanja tahunan anak-anak seperti kos pembelajaran di universiti dan lain-lain yang merangkumi nafkah anak tersebut. Bapa bertanggungjawab menyediakan keperluan ini selagi anak belum berkahwin (bagi anak perempuan) dan belum bekerja (bagi anak lelaki).
Bolehkah isteri menuntut mut’ah?
Boleh. Mut’ah ialah satu pemberian oleh suami kepada isteri jika isteri diceraikan tanpa sebab yang patut. Mut’ah juga adalah satu pemberian dari suami kepada bekas isteri untuk memulakan kehidupan baru selepas perceraian.
Bekas suami tidak membayar nafkah, apa yang perlu saya lakukan?
Sebagai permulaan, bekas isteri harus menuntut perintah Mahkamah untuk bayaran nafkah dari bekas suami. Setelah mendapatkan perintah tersebut, dan suami cuai atau gagal untuk membuat bayaran, bekas isteri boleh memohon bantuan dari Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di Mahkamah Syariah negeri masing-masing untuk menuntut bayaran nafkah dari bekas suami seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah Syariah. Antara lain, pihak BSK boleh mengeluarkan Saman Penghutang Penghakiman untuk memaksa bekas suami hadir ke Mahkamah dan mematuhi perintah Mahkamah tersebut. Sekiranya bekas suami gagal hadir, satu waran tangkap boleh dikeluarkan terhadap beliau untuk memaksa kehadiran beliau di Mahkamah. Kaedah-kaedah lain yang boleh diguna pakai oleh bekas isteri untuk merealisasikan perintah nafkah tersebut adalah melalui writ penyitaan dan jualan, serta prosiding hiwalah (garnishee proceedings).
Hadhanah atau Hak Penjagaan Anak
Siapa yang layak menjaga anak-anak?
Ibu adalah orang yang paling layak menjaga anak-anak selepas perceraian melainkan bapa dapat membuktikan kepada Mahkamah Syariah bahawa ibu tidak dapat atau tidak layak menjalankan tanggungjawabnya. Selepas ibu, orang yang paling layak adalah nenek sebelah ibu, diikuti dengan bapa kandung dan saudara perempuan lain sebelah ibu, misalnya ibu saudara kepada anak-anak.
Adakah bekas isteri yang tidak bekerja layak mendapat hak jagaan anak?
Ya. Mahkamah akan tetap memberikan hak jagaan anak kepada bekas isteri yang tidak bekerja jika Mahkamah berpendapat bahawa kebajikan anak-anak lebih terjamin. Bekas suami bertanggungjawab memberikan wang nafkah anak kepada bekas isteri atau mana-mana orang lain yang diberikan hak jagaan anak tersebut.
Adakah seseorang ibu hilang kelayakan terhadap penjagaan anak sekiranya berkahwin lain?
Tidak. Ibu (ataupun bapa) hanya akan kehilangan hak jagaan anak sekiranya Mahkamah mendapati bahawa ibu atau bapa tersebut tidak lagi dapat menjamin kebajikan anaknya atau mendedahkan anaknya kepada kemudaratan.
Kos Bayaran Peguam Syarie
Berapakah kos untuk melantik Peguam Syarie?
Tiada jumlah bayaran yang tetap tetapi bergantung kepada jenis kes yang dibawa. Bagi mereka yang tidak mampu untuk melantik peguam persendirian, Jabatan Bantuan Guaman (JBG) dan Pusat Bantuan Guaman (Legal Aid Centre, LAC) sedia membantu anda mendapatkan khidmat peguam dengan bayaran kos yang minima.
Lihat sumber berguna mengenai perceraian Syariah.
Kembali ke laman utama Syariah: Perkahwinan, Perceraian dan Faraid
