
Undang-undang di Malaysia
Undang-undang yang berkaitan dengan Gangguan Seksual
Akta Antigangguan Seksual 2022
Tontonilah video yang memaparkan perjalanan NGO-NGO wanita dalam melobi ke arah penggubalan Akta Antigangguan Seksual 2022.
Akhirnya, Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta) yang dinanti-nantikan telah diluluskan di Dewan Rakyat pada Julai 2022 dan diwartakan pada Oktober 2022. Ini adalah perkembangan yang positif, kerana Akta ini memperuntukkan hak ganti rugi untuk mana-mana orang yang telah diganggu secara seksual, dan menubuhkan Tribunal untuk Anti Gangguan Seksual bagi pengadu untuk mendapatkan ganti rugi. Akta ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran terhadap pencegahan gangguan seksual, dan memperuntukkan perkara-perkara yang menyokong usaha di atas.
Definisi gangguan seksual
Di bawah Akta tersebut, gangguan seksual ditakrifkan sebagai sebarang kelakuan yang tidak diingini yang bersifat seksual, dalam apa-apa bentuk, sama ada secara lisan, bukan lisan, visual, isyarat atau fizikal, yang ditujukan kepada seseorang yang secara munasabahnya menyinggung perasaan atau menghina atau suatu yang mengancam kepada kesejahteraannya.
Bagi kebimbangan yang dibangkitkan tentang jurang dalam definisi ini, sila rujuk Memorandum yang disediakan oleh Gabungan Advokasi Anti Gangguan Seksual yang terdiri daripada JAG, ENGENDER dan Young Women Making Change.
Tribunal untuk Anti Gangguan Seksual
Akta ini menubuhkan Tribunal bagi Anti Gangguan Seksual yang akan diketuai oleh seorang Presiden dan Timbalan Presiden yang dilantik dalam kalangan anggota Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan. Ahli lain yang dilantik hendaklah terdiri daripada:
- Tidak kurang daripada lima orang anggota yang sedang atau yang pernah memegang jawatan dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, atau peguam bela dan peguam cara yang menjalankan amalan sekurang-kurangnya 7 tahun; dan
- Tidak kurang daripada lima orang anggota yang mempunyai pengetahuan atau pengalaman praktikal dalam perkara yang berhubung dengan gangguan seksual.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan melantik ahli Tribunal dan Ketua Setiausaha Kementerian akan menjadi Pentadbir Anti Gangguan Seksual.
Aduan yang difailkan Tribunal tidak boleh merangkumi isu yang menjadi subjek prosiding antara pihak yang sama di mana-mana mahkamah, kecuali aduan itu melibatkan perlakuan jenayah.
Bagi maklumat lanjut tentang tribunal, klik di sini.
Pengendalian Prosiding
Kes-kes akan dibicarakan di Tribunal oleh panel yang terdiri daripada tiga orang ahli di mana seorang ahli akan memainkan peranan sebagai Pengerusi. Pengerusi hendaklah merupakan Presiden, Timbalan Presiden, anggota yang pernah atau sedang memegang jawatan dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, atau peguam bela dan peguam cara yang menjalankan amalan sekurang-kurangnya 7 tahun. Dua ahli yang selebihnya ialah orang yang mempunyai pengetahuan atau pengalaman praktikal dalam perkara yang berhubung dengan gangguan seksual. Sekurang-kurangnya seorang ahli panel perlu terdiri daripada seorang wanita.
Pendengaran tribunal adalah tertutup kepada orang ramai dan hanya pihak kepada prosiding boleh hadir untuk melindungi privasi. Perwakilan oleh peguam tidak dibenarkan melainkan perkara itu melibatkan isu undang-undang yang rumit. Sekiranya satu pihak dibenarkan perwakilan undang-undang, pihak yang lain juga berhak untuk mendapatkan hak yang sama. Jika kanak-kanak atau orang kurang upaya ialah pihak dalam prosiding, maka dia boleh diwakili oleh penjaga ad litem atau sahabat, tertakluk kepada syarat yang dikenakan oleh Tribunal.
Award dan Perintah
Ia adalah mandatori bagi Tribunal, jika boleh dilaksanakan, Award perlu dilaksanakan dalam masa 60 hari dari tarikh pendengaran pertama.
Dalam membuat suatu award, Tribunal boleh mengarahkan responden untuk:
- mengeluarkan suatu pernyataan permohonan maaf kepada pengadu (termasuk menerbitkan permohonan maaf berkenaan sekiranya perbuatan itu dilakukan di tempat awam); atau
- membayar pampasan atau ganti rugi tidak melebihi RM 250,000 untuk sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami oleh pengadu. Tribunal juga boleh mengarahkan pihak-pihak untuk menghadiri mana-mana program yang difikirkan perlu oleh Tribunal.
Tribunal boleh menolak sesuatu aduan gangguan seksual yang dianggap remeh atau menyusahkan oleh Tribunal.
Award Tribunal mesti dipatuhi dalam tempoh tiga puluh (30) hari dari tarikh award itu dibuat. Jika tidak, orang berkenaan telah melakukan kesalahan dan boleh dikenakan denda, penjara, atau kedua-duanya, bergantung sama ada pampasan atau ganti rugi telah diberikan.
Award yang dibuat oleh Tribunal disifatkan sebagai perintah Mahkamah. Oleh itu, award adalah muktamad dan dikuatkuasakan kepada mana-mana pihak dalam prosiding.
Terdapat jurang yang ketara dalam akta ini dari segi perlindungan untuk mangsa yang perlu ditangani dengan peraturan, garis panduan dan dasar selanjutnya. Bagi ketahui lebih lanjut mengenai perkara ini, rujuk Memorandum yang disediakan oleh Gabungan Advokasi Anti Gangguan Seksual yang terdiri daripada JAG, ENGENDER dan Young Women Making Change.
Kanun Keseksaan
Terdapat beberapa bahagian dalam Kanun Keseksaan yang boleh memberi perlindungan. Walau bagaimanapun, ianya adalah terhad.
Seksyen | Istilah Undang-Undang | Hukuman |
354 | Mencabul kehormatan (Menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah ke atas seseorang dengan niat untuk mencabul kehormatannya). | Penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu. |
355 | Menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah ke atas seseorang dengan niat untuk menjatuhkan kehormatannya kecuali didesak dengan bangkitan-marah yang serius. | Penjara maksimum 2 tahun atau denda atau kedua-duanya. |
377D | Melanggar kesopanan. | Penjaran maksimum 2 tahun. |
509 | Perkataan atau isyarat dengan niat mengaibkan kehormatan seseorang. | Penjara maksimum 5 tahun atau denda atau kedua-duanya. |
Akta Kerja 1955
Pada tahun 2012, gangguan seksual dimasukkan di bawah bahagian XVA Akta Kerja 1955. Definisi gangguan seksual diberikan di bawah Seksyen 2. Ia mendefinisikan gangguan seksual sebagai sebarang perlakuan yang tidak diinginkan yang bersifat seksual, sama ada lisan, bukan lisan, visual, isyarat atau fizikal, ditujukan kepada seseorang dimana ianya menyinggung perasaan atau memalukan atau mengancam kesejahteraannya, yang timbul dari dan semasa dia bekerja. Ini hanya terhad kepada gangguan seksual di tempat kerja.
Bahagian XVA, Seksyen 81A hingga 81G, menyatakan cara mengadu gangguan seksual di tempat kerja dan kewajipan untuk majikan menyiasat mengenai aduan gangguan seksual. Ia juga menyenaraikan tindakan yang boleh diambil oleh majikan sekiranya gangguan seksual terbukti. Malangnya, Akta ini mempunyai banyak batasan.
Akta Perhubungan Perusahaan 1967
Sekiranya anda dipecat secara tidak adil atau meletak jawatan anda kerana gangguan seksual, Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dapat membantu anda mendapatkan pekerjaan semula atau pampasan sebagai ganti rugi melalui Jabatan Perhubungan Perusahaan jika ianya terbukti tidak adil.
Kod Amalan Pencegahan dan Pembasmian Gangguan Seksual di Tempat Kerja
Pada tahun 1999, Kementerian Sumber Manusia memperkenalkan Kod Amalan mengenai Pencegahan dan Pembasmian Gangguan Seksual di Tempat Kerja. Ini untuk mendorong majikan menggunakan Kod Amalan dalam kes-kes gangguan seksual dan kaedah dalaman untuk mencegah gangguan seksual di tempat kerja.
Kod ini berfungsi sebagai panduan praktikal kepada syarikat untuk menubuhkan kaedah mereka sendiri untuk menangani isu gangguan seksual di tempat kerja. Malangnya, Kod Amalan ini tidak berkesan kerana ia hanya garis panduan semata-mata dan syarikat tidak diwajibkan untuk mematuhinya.
Pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam Dikemas kini 2018
Pada tahun 2018, Jabatan Perkhidmatan Awam mengeluarkan pekeliling – garis panduan yang lebih komprehensif untuk menangani gangguan seksual di tempat kerja bagi penjawat awam di negara ini. (Garis Panduan Mengendalikan Gangguan Seksual di Tempat Kerja Dalam Perkerjaan Awam)
Akta Komunikasi & Multimedia 1998
Seksyen 233 di bawah Akta Komunikasi & Multimedia 1998 boleh memberi perlindungan daripada gangguan seksual dalam talian.