Mendapatkan Bantuan

Jika anda diganggu secara seksual, disini terdapat beberapa langkah yang boleh anda ambil:-

Bersuara. Beritahu pelaku bahawa kelakuannya tidak boleh diterima dan anda mahu dia untuk MENGHENTIKAN perbuatannya itu. Berikut merupakan cara yang boleh anda gunakan:

  • “Apabila anda melihat saya seperti itu, saya berasa tidak selesa. Saya mahu kamu MENGHENTIKANNYA! “
  • “Saya telah berkata ‘tidak’ sebelum ini apabila anda telah bertanya kepada saya, dan saya tidak akan mengubah fikiran saya. Sekiranya anda tidak berhenti, saya perlu memberitahu XXXX.” (XXXX boleh merupakan sesiapa sahaja atau pihak berkuasa yang boleh membantu untuk menghentikan gangguan tersebut)
  • “Saya akan membuat laporan jika anda menyentuh saya atau menyatakan seperti itu lagi.”
  • “Ya, saya boleh melawak, tetapi apa yang anda katakan bukanlah sesuatu yang lawak – ia adalah gangguan seksual. Kalau anda tidak berhenti, saya perlu bercakap dengan XXXX.”


Catatkan butiran kejadian.
Catatkan butiran tentang bila, di mana dan bagaimana kejadian tersebut berlaku. Jika orang yang sama juga mengganggu mana-mana rakan sekerja anda, minta mereka menyimpan rekod juga.

Beritahu seseorang. Jika gangguan berterusan, beritahu seseorang yang dapat membantu dan memberi sokongan emosi. Bercakap dengan seseorang dapat membantu untuk berurusan dengan perasaan takut, risau dan tidak berharga yang selalu dialami oleh mangsa.

Dapatkan bantuan dari mana-mana NGO. Hubungi atau pergi ke mana-mana NGO seperti WCC untuk berbincang tentang langkah-langkah yang boleh di ambil untuk menghentikan gangguan seksual tersebut. WCC boleh memberikan khidmat kaunseling dan sokongan mahkamah untuk kes anda.

Dapatkan bantuan kesihatan. Gangguan seksual boleh menyebabkan kesihatan mental anda terjejas. Anda boleh mendapatkan kaunseling atau terapi daripada pakar psikiatri untuk merawat keadaan mental anda. Laporan penilaian kesihatan mental boleh digunakan sebagai salah satu bukti untuk menunjukkan kesan gangguan seksual yang berlaku kepada anda.

Buat aduan kepada Tribunal bagi Antigangguan Seksual. Malaysia telah meluluskan Akta Antigangguan Seksual 2022. Akta ini memperuntukkan suatu hak tebus rugi bagi mana-mana orang yang diganggu secara seksual di dalam semua aspek kehidupan mereka. Satu Tribunal bagi Antigangguan Seksual akan ditubuhkan di bawah Akta ini, namun masih belum berkuat kuasa sehingga kini.

Buat laporan polis. Sekiranya laporan polis dibuat, pihak polis akan merujuk kepada undang-undang jenayah am (Kanun Keseksaan) untuk mendakwa pelaku. Sekiranya anda mempunyai laporan perubatan yang menunjukkan penilaian mental disebabkan oleh gangguan seksual, anda boleh menyerahkannya kepada polis untuk tujuan penyiasatan.

Laporan polis boleh dibuat di mana-mana balai polis. Untuk laporan polis, berikut merupakan maklumat yang diperlukan:

  • Bila: Bila kejadian berlaku? – Tarikh dan masa kejadian.
  • Mana: Di mana kejadian berlaku? – Lokasi kejadian.
  • Apa dan Bagaimana: Apa kejadian, bagaimana ia berlaku dan berapa kali kejadian berlaku? – Maklumat kejadian.
  • Siapa: Siapa yang terlibat dan siapa pelaku?
  • Kesan: Apa kesan kepada anda selepas kejadian? Kemurungan, dll.
  • Mengapa: Mengapa anda membuat laporan polis? Untuk keselamatan, untuk tindakan daripada polis, dll.

Dengan membuat laporan polis, ia akan memberikan mesej yang jelas kepada pelaku bahawa perlakuannya adalah salah. Dengan penyiasatan polis, pelaku boleh didakwa di mahkamah. (Rujuk Bahagian Undang-undang di Malaysia)

Saman pelaku. Jika anda ingin menyaman pelaku melalui saman sivil, dapatkan nasihat daripada peguam. Seperti kes mahkamah yang lain, mesti ada bukti yang mencukupi. Peguam yang mewakili anda akan memfailkan saman di mahkamah. Walaubagaimanapun, membawa kes ke mahkamah selalunya mahal dan akan mengambil masa yang panjang.

Apa yang perlu anda lakukan sekiranya anda diganggu di tempat kerja anda?

Jika anda mengalami gangguan seksual dalam apa jua cara di tempat kerja anda, pastikan anda merekodkan semua maklumat berkaitan kejadian. Cetak mesej, emel atau bahan-bahan seksual yang dihantar oleh pelaku, jika ada. Walaupun peruntukan undang-undang berkaitan kesalahan gangguan seksual adalah terhad, namun kesalahan gangguan seksual di tempat kerja diperuntukkan di bawah Akta Kerja 1955 sejak tahun 2012. (Rujuk Bahagian Undang-undang di Malaysia). Dengan bersuara, anda dapat membantu diri anda dan juga mangsa lain. Kes anda juga dapat membantu untuk membendung pelaku daripada mengulangi perbuatannya pada masa akan datang.

(a) Membuat aduan bertulis kepada Bahagian Sumber Manusia/Pengurus/Ahli Lembaga Pengarah.

Lampirkan semua bukti yang dikumpulkan (seperti nota bertulis, rakaman video, mesej WhatsApp, dll) dan buat aduan secara bertulis melalui surat atau emel kepada Bahagian Sumber Manusia (Human Resource (HR) department), pengurus atau Ahli Lembaga Pengarah atau mana-mana pihak berkuasa di tempat kerja anda. Di dalam surat atau emel, jelaskan bahawa anda mahu syarikat anda untuk mengambil tindakan yang sepatutnya berkenaan gangguan yang anda hadapi. Majikan anda harus atau mungkin mempunyai protocol atau tatacara siasatan untuk menangani isu gangguan seksual di tempat kerja. Anda mempunyai hak untuk meminta siasatan dijalankan.

Setelah menerima aduan, majikan anda akan melakukan siasatan dalaman menggunakan pihak yang neutral. Dengan hasil siasatan tersebut, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pelaku.

(b) Membuat aduan bertulis kepada Jabatan Tenaga Kerja.

Jika majikan anda gagal untuk mengambil tindakan, anda boleh buat aduan secara bertulis melalui surat atau emel kepada Jabatan Tenaga Kerja. Pastikan anda menghantar sesalinan aduan tersebut kepada majikan anda juga. Dengan melakukan sedemikian, majikan akan menyedari bahawa perkara ini adalah serius dan telah dibawa kepada perhatian pihak Jabatan Tenaga Kerja.

Jabatan Tenaga Kerja akan mengarahkan majikan anda untuk menjalankan siasatan terhadap aduan anda dan menghantar laporan siasatan dalam tempoh masa 30 hari. Jika aduan dilakukan terhadap seorang pemilik tunggal (sole proprietor), maka Jabatan Tenaga Kerja sendiri akan menjalankan siasatan. Berdasarkan hasil siasatan, tindakan sewajarnya akan diambil. Segala keputusan yang diambil akan dimaklumkan kepada anda dengan secepat mungkin.

Sekiranya langkah-langkah yang disenaraikan di atas tidak dapat diambil atau tiada tindakan diambil oleh majikan anda, maka anda harus meminta bantuan dari agensi luar.

Sekiranya anda menghadapi pembalasan kerana membuat aduan mengenai gangguan seksual atau anda sendiri mengambil keputusan untuk meletak jawatan kerana gangguan seksual, anda boleh mendapatkan bantuan daripada Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP).

(a) Sekiranya anda dipecat secara tidak adil.

Anda boleh buat aduan kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) dalam tempoh 60 hari dari tarikh pemecatan tersebut, dengan menyatakan pemecatan adalah tidak adil dan tanpa sebab yang munasabah dan memohon untuk diterima semula. Ini diperuntukkan di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967. Pihak JPP akan memanggil anda dan majikan anda untuk mesyuarat penyelesaian aduan tersebut. Majikan anda harus membuktikan bahawa pemecatan adalah bersebab.

Sekiranya pemecatan itu didapati tidak adil, maka JPP boleh mencadangkan untuk anda diterima semula atau anda diberikan pampasan sebagai ganti. Sekiranya penyelesaian tidak dicapai, kes boleh dirujuk kepada Menteri Sumber Manusia untuk tindakan selanjutnya. Sekiranya anda gagal menghadiri mana-mana mesyuarat tanpa alasan yang munasabah, aduan anda akan dianggap sebagai ditarik balik. (Rujuk Bahagian Undang-Undang di Malaysia).

(b) Sekiranya anda meletak jawatan kerana gangguan seksual.

Sekiranya anda meletak jawatan kerana keadaan menjadi sangat teruk dan syarikat tidak mengambil apa-apa tindakan, perletakan jawatan anda boleh dianggap sebagai “pembuangan terancang/pemecatan konstruktif”. Anda boleh membuat laporan ke JPP. Dalam kes sebegini, anda sebagai pengadu perlu membuktikan bahawa anda telah mengambil segala langkah untuk menghentikan gangguan tersebut.

(c) Dapatkan bantuan daripada organisasi wanita seperti WCC.

Hubungi atau datang ke pejabat WCC untuk berbincang tentang kes gangguan seksual yang dihadapi oleh anda supaya pekerja sosial dapat memberi kaunselling, terangkan pilihan dan langkah-langkah yang anda boleh ambil.

Apa yang perlu anda lakukan sekiranya anda diganggu dalam talian?

Sekiranya anda diganggu dalam talian, pastikan anda catatkan butir-butir kejadian dan kumpulkan bukti seperti tangkapan skrin (screenshot), mesej, pautan URL dan gambar-gambar.

Sesetengah aplikasi platform dalam talian mempunyai mekanisme mereka sendiri untuk membuat laporan. Ketahui cara untuk melaporkan pos yang dikongsi dan buat laporan ke platform-platform tersebut. Dengan berbuat demikian, pos yang tidak sesuai dapat dipadamkan atau dibuang.

Tambahan lagi, anda boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap pelaku. Anda perlu membuat laporan polis. Laporan polis boleh dibuat di mana-mana balai polis. Untuk laporan polis, berikut adalah maklumat uang diperlukan:

  • Bila: Bila kejadian berlaku? – Tarikh dan masa kejadian.
  • Apa, Mana dan Bagaimana: Apa yang berlaku, dan platform dalam talian mana, dan bagaimana ia berlaku dan berapa kali? – Maklumat kejadian.
  • Siapa: Siapa yang terlibat dan siapa pelaku?
  • Kesan: Apa kesan selepas kejadian? Kemurungan, dll.
  • Kenapa: Kenapa laporan dibuat? Untuk keselamatan, untuk tindakan polis, dll.

Polis akan melakukan siasatan dan menyerahkan hasil penyiasatan kepada Pejabat Pendakwaan Negeri yang kemudian akan memutuskan sama ada akan mendakwa suspek atas jenayah yang dilakukan. Sekiranya terdapat bukti yang mencukupi, suspek akan didakwa di mahkamah. Jika tidak, tindakan selanjutnya tidak akan diambil.

Anda juga boleh membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Aduan boleh dibuat melalui dalam talian atau di mana-mana pejabat SKMM. Aduan anda akan didaftarkan dengan satu nombor rujukan. Sebaiknya anda membuat laporan polis terlebih dahulu dan melampirkan laporan tersebut dengan aduan anda. Siasatan akan dilakukan dan tindakan sewajarnya akan diambil. Untuk maklumat lebih lanjut, anda boleh melayari laman web SKMM di https://www.mcmc.gov.my/en/make-a-complaint/complaint-circle

 

Soalan Lazim

Apa yang boleh saya lakukan jika saya diberhentikan oleh syarikat saya kerana mengadu tentang gangguan seksual?
Jika anda dibuang kerja kerana anda menyuarakan bantahan terhadap gangguan, anda harus menghubungi Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) dan memfailkan aduan dalam tempoh 60 hari. Kami menggalakkan mangsa gangguan seksual untuk bersuara, supaya dengan sokongan dan bukti yang cukup, kerajaan akan memperuntukkan undang-undang dan dasar yang berkesan terhadap gangguan itu. (Rujuk Bahagian Mendapatkan Bantuan)

Bagaimana pula jika saya terpaksa meletak jawatan kerana keadaan menjadi sangat teruk?
Sekiranya anda meletakkan jawatan kerana situasi itu teruk, ini dipanggil “pemecatan konstruktif” (constructive dismissal) dan anda juga boleh mengambil tindakan untuk ini, tetapi anda perlu membuktikan bahawa anda telah mencuba pelbagai cara untuk menghentikan gangguan. Nyatakan sebab dalam surat peletakan jawatan anda. Anda boleh membuat laporan kepada JPP. (Rujuk Bahagian Mendapatkan Bantuan)

Jika saya membuat laporan polis, undang-undang apa yang boleh digunakan oleh pihak polis atau pendakwaan untuk mendakwa pesalah di mahkamah?
Terdapat beberapa peruntukkan dalam Kanun Keseksaan (undang-undang jenayah) yang boleh digunakan oleh polis untuk situasi gangguan seksual, seperti:-

  • Seksyen 354: Serangan atau penggunaan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan.
  • Seksyen 377D: Melanggar kesopanan.
  • Seksyen 509: Perkataan atau isyarat dengn niat mengaibkan kehormatan seseorang.

Buat laporan polis supaya siasatan yang diperlukan dapat dilakukan. Jika anda berdiam diri, anda tidak boleh menghentikan gangguan tersebut.

Adakah wanita sahaja yang menjadi mangsa gangguan seksual?
Tidak, tetapi kebanyakan kes melibatkan lelaki mengganggu wanita. Tidak banyak lelaki yang diganggu secara seksual. Kadang kala, lelaki juga boleh menganggu lelaki lain.

Bagaimana anda mengetahui bahawa tingkah laku seksual “tidak diinginkan”?
Gangguan seksual dilihat dari perspektif mangsa. Jika seseorang merasa tidak selesa atau malu dengan tingkah laku anda, maka itu merupakan kelakuan yang tidak diinginkan. Sekiranya tingkah laku tidak mendapat galakan, atau jika mereka mula menghindarkan anda atau menjadi tertekan, ini adalah tanda-tanda bahawa perhatian tidak diingini.

Hanya dengan satu jenaka adakah ia dikira sebagai gangguan seksual?
Walaupun satu jenaka sahaja tidak boleh menjadi gangguan, ianya boleh menyumbang kepada “persekitaran yang tidak sihat”. Dalam keadaan ini, persoalannya sama ada orang yang “munasabah” akan tersinggung perasaannya. Dalam kes-kes yang sangat serius, satu kejadian boleh mewujudkan “persekitaran yang tidak sihat” sehingga menyinggung dan menakutkan bahawa ia mengganggu keupayaan seseorang untuk bekerja atau belajar. Sebagai contoh, majikan memberitahu kepada pekerja bahawa jawatan atau kedudukan pekerja tersebut akan dipengaruhi jika dia membenarkan kegiatan seksual.

Mengapa sesetengah orang mengganggu orang lain secara seksual?
Kebanyakan orang yang menggangu orang lain berbuat demikian secara sedar atau tidak sedar untuk menyatakan dominasi atau kuasa mereka. Yang lain mengganggu rakan sebaya mereka dalam usaha untuk mendapatkan persetujuan rakan sebaya.

Bagaimanakah kita dapat menghentikan gangguan seksual?
Anda boleh menghentikan gangguan seksual dengan cara seperti:

  • Kongsi maklumat ini dengan orang lain.
  • Sokonglah orang yang anda kenal yang menghadapi masalah ini. Galakkan mereka untuk menentang dan mengambil tindakan.
  • Sekiranya anda memerhatikan perbuatan gangguan seksual, berani untuk menjadi saksi.
  • Jangan menerima gangguan seksual sebagai cara mudah gurauan atau sebagai perkara jenaka. Bersuara dan beritahu mereka untuk berhenti.
  • Sokong polisi di syarikat anda dan undang-undang yang bertujuan untuk mencegah gangguan seksual.
  • Sokong mana-mana kempen berkaitan Akta Antigangguan Seksual 2022.

Rujuk risalah dan video mengenai Gangguan Seksual.

Kembali ke laman utama Gangguan Seksual.