Mitos & Realiti

Trauma yang dialami oleh mangsa rogol selalunya diburukkan lagi dengan mitos yang menggalakkan masyarakat untuk menyalahkan mangsa, bukannya perogol. Mitos membenarkan perogol melepaskan diri daripada jenayah yang mereka lakukan dan mangsa tidak mendapat galakkan untuk membuat laporan polis atau mendapat bantuan sebenar.

Mitos: Hanya wanita cantik & muda dirogol.
Realiti: Mangsa rogol boleh jadi sesiapa sahaja tanpa mengira peringkat umur, daripada kanak-kanak hingga warga tua. Perogol memilih untuk menyerang mangsa mereka yang rentan dan lemah. Penampilan mangsa jarang dipertimbangkan. Jenayah rogol berlaku apabila terdapat peluang dan tiada kaitan dengan penampilan atau umur mangsa.

Mitos: Wanita yang memakai pakaian seksi atau menggoda akan menyebabkan lelaki untuk merogol.
Realiti: Perogol memilih mangsanya berdasarkan tahap kerentanan, kelemahan mereka dan juga peluang yang ada, tanpa mengambil kira penampilan atau kelakuan mangsa. Satu-satunya orang yang patut disalahkan untuk kejadian rogol adalah perogol itu sendiri. Kanak-kanak, wanita tua, dan wanita yang berpakaian sederhana atau wanita yang memakai tudung juga turut dirogol. Rogol tidak berkaitan dengan cara pemakaian wanita atau tingkah laku mereka. Ini adalah mitos yang menyokong tingkah laku perogol dan meletakkan kesalahan ke atas mangsa.

Mitos: Lelaki merogol kerana mereka tidak dapat mengawal nafsu. Kebanyakan perbuatan rogol adalah tindakan spontan dimana perogol itu tidak dapat mengawal dirinya.
Realiti: Majoriti besar kejadian rogol yang berlaku adalah sesuatu yang dirancang. Perbuatan rogol bukanlah disebabkan oleh lelaki tidak dapat mengawal nafsu dan bertindak sedemikian secara spontan tetapi ianya suatu keganasan yang dirancang terlebih dahulu. Majoriti besar perogol didorong oleh kuasa, kawalan dan kemarahan, bukannya untuk kepuasan seksual.

Mitos: Wanita selalu menipu tentang dirogol.
Realiti: Wanita jarang berbohong mengenai kejadian rogol. Kajian menunjukkan bahawa kadar laporan palsu mengenai kejadian rogol adalah hanya 2% – 3%, sama seperti jenayah-jenayah yang lain. Realitinya, kajian secara global menunjukkan bahawa hanya 1 daripada 10 kes rogol dilaporkan dan hanya 1 daripada 10 kes yang dilaporkan dibawa ke mahkamah.

Mitos: Kebanyakan wanita dirogol oleh orang yang tidak dikenali.
Realiti: Statistik polis menunjukkan bahawa hanya sebilangan kecil kes rogol dilakukan oleh orang yang tidak dikenali. Dalam 90% kes yang dilaporkan, wanita mengenali perogol tersebut. Dalam kes-kes tersebut, perogol terdiri daripada kenalan, rakan, malah ahli keluarga juga.

Mitos: Kebanyakan rogol berlaku di lorong-lorong gelap, kawasan terbiar dan tempat-tempat yang berbahaya.
Realiti: Statistik menunjukkan bahawa lebih kurang 70% daripada kejadian rogol berlaku di dalam rumah dan bangunan. Walaupun secara amnya, wanita perlu berhati-hati pada waktu malam, di jalan-jalan yang sunyi, atau di kawasan yang gelap, ianya penting untuk mengetahui bahawa wanita juga berisiko tinggi untuk dirogol di tempat yang biasa mereka lalui.

Mitos: Seorang suami tidak mungkin mendera isterinya secara seksual.
Realiti: Walaupun dalam ikatan perkahwinan, seseorang isteri boleh didera secara seksual jika dia tidak rela atau dipaksa untuk bersetubuh dengan suaminya. Sesetengah negara mempunyai undang-undang terhadap rogol dalam perkahwinan. Kebanyakan wanita yang mengalami keganasan rumah tangga juga mengalami penderaan seksual dalam perkahwinan mereka. Di Malaysia, menjadi satu kesalahan jika suami mencederakan isteri untuk tujuan mengadakan hubungan seks.

Mitos: Wanita boleh mengelak dari dirogol jika dia benar-benar mahu.
Realiti: Kebanyakan mangsa tidak melawan kerana takut, terkejut atau berfikir bahawa jika mereka melawan situasi akan bertambak buruk. Rogol adalah jenayah yang boleh mengancam nyawa dan apa sahaja yang dilakukan oleh mangsa rogol untuk bertahan adalah tindakan yang sesuai.

Mitos: Mangsa rogol akan menjadi histeria.
Realiti: Mangsa rogol boleh menunjukkan pelbagai tindak balas emosi terhadap serangan. Dia mungkin akan nampak tenang, menyendiri, histeria atau nampak seperti “biasa”.  Dia juga boleh bertindak balas dengan ketawa, marah, gelisah, atau terkejut. Setiap mangsa menghadapi trauma penderaan dengan cara yang berbeza. Kita tidak sepatutnya mengharap tingkah laku mereka seperti yang kita mahu atau mengikut kebiasaan. Kebanyakan mangsa rogol akan mengambil tempoh masa yang lama sebelum memberitahu tentang kejadian rogol dan akhirnya memberanikan diri sendiri untuk memberitahu seseorang. Anda perlu dengar dan beri sokongan kepada mangsa.

Rujuk bukuposter dan risalah serta video mengenai Rogol.

Kembali ke laman utama Rogol.