Mendapatkan Bantuan
Apa Yang Harus Saya Lakukan Jika Saya Dirogol?

Jangan mandi dan jangan tukar pakaian anda, walaupun anda benar-benar mahu lakukan sedemikian. Bukti penting kejadian rogol, seperti air mani, darah, air liur, rambut dan sebagainya akan terhapus jika anda mandi atau tukar baju.
Beritahu seseorang yang anda percayai. Beritahu seseorang yang anda percayai tentang kejadian rogol adalah penting, walaupun anda memutuskan untuk tidak pergi kepada polis. Anda juga boleh menghubungi mana-mana organisasi wanita seperti WCC untuk mendapatkan perkhidmatan kaunseling. Cara ini boleh membantu anda menangani perasaan takut, kebimbangan, dan ketidakpastian yang sering dialami oleh mangsa rogol.
Dapatkan teman untuk membantu anda. Trauma kejadian rogol boleh menyebabkan kesukaran bagi mangsa rogol untuk membuat laporan bersendirian. Minta rakan atau ahli keluarga untuk pergi bersama anda ke hospital dan/atau balai polis untuk mendapatkan bantuan perubatan atau membuat laporan polis, atau menghubungi organisasi wanita untuk kaunseling.
Dapatkan rawatan dan pemeriksaan di mana-mana Hospital Kerajaan
- Pergi ke kaunter pendaftaran di Jabatan Kecemasan di mana-mana hospital kerajaan dengan segera.
- Anda akan dibawa ke bilik khas yang dipanggil sebagai Pusat Krisis Bersepadu atau One Stop Crisis Centre (OSCC).
- Anda akan diberikan dengan borang kebenaran untuk doktor melakukan pemeriksaan fizikal. Doktor hanya akan memeriksa dan merawat kecederaan anda selepas menerima borang kebenaran anda.
- Anda boleh membuat laporan polis di pondok polis yang berada di hospital.
- Selepas laporan polis dibuat, pemeriksaan kesihatan secara terperinci akan dijalankan untuk mengumpulkan bukti kejadian rogol. Doktor akan memeriksa alat sulit dan pakaian anda. Anda akan diperiksa dengan kehadiran seorang pegawai polis. Anda mungkin akan berasa tidak selesa, namun ia sangat penting untuk pengumpulan bukti dengan segera.
- Bukti yang dikumpulkan akan diserahkan kepada pegawai polis untuk tujuan penyiasatan.
- Dengan kebenaran anda, anda akan dirujuk kepada pakar atau NGO untuk kaunseling jika perlu.
- Jika anda tidak ingin membuat laporan polis, doktor tersebut akan membuat pemeriksaan fizikal dan merawat kecederaan dan mendapatkan sampel darah untuk mengesan sebarang jangkitan. Dan hanya dengan kebenaran anda, mereka akan munguruskan untuk perkhimatan kaunseling dan rawatan susulan.
Dapatkan Bantuan daripada Polis
- Buat laporan polis dengan segera. Laporan polis boleh dibuat di mana-mana balai polis. Walaupun laporan polis tidak wajib jika anda berumur 18 tahun dan ke atas, namun tetapi apabila anda melaporkan kejadian rogol, ia akan membantu untuk mencegah pelaku daripada mencederakan wanita lain.
- Untuk laporan polis, berikut merupakan maklumat yang diperlukan:
- Bila: Bila kejadian tersebut berlaku? – Tarikh dan masa kejadian.
- Mana: Di mana kejadian berlaku? – Lokasi kejadian.
- Apa dan Bagaimana: Apa kejadian dan bagaimana ia berlaku dan berapa kali? – Maklumat kejadian.
- Siapa: Siapa yang terlibat dan siapa pelaku?
- Kesan: Apa kesan kepada anda selepas kejadian? Lebam, kecederaan, dll.
- Mengapa: Mengapa anda membuat laporan polis? Untuk tindakan daripada polis, dll.
- Jika laporan dibuat 72 jam selepas kejadian, kejadian rogol tersebut dianggap sebagai ‘cold case’. Bermaksud bukti rogol mungkin telah hilang.
- Seorang Pegawai Penyiasat (Investigating Officer, IO) daripada Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) daripada Balai Polis Daerah akan ditugaskan untuk membuat siasatan selanjutnya. Contohnya, membawa anda ke hospital kerajaan untuk mendapatkan rawatan, pergi ke tempat kejadian untuk mengumpulkan bukti, dll.
- Suspek tersebut akan direman semasa siasatan berjalan.
- IO akan menghantar hasil penyiasatan kepada Pejabat Pendakwaan Negeri untuk menentukan samada suspek boleh didakwa atas kesalahan jenayah tersebut. Jika bukti mencukupi, suspek akan didakwa di mahkamah. Jika tidak, suspek akan dilepaskan.
Bagaimana Saya Boleh Membantu Seorang Mangsa Rogol?
Jika rakan anda telah dirogol, dia akan mengalami gangguan emosi – dia mungkin tenang, dalam kemurungan, histeria atau dia juga boleh bertindak balas dengan ketawa, marah, tidak peduli atau terkejut. Setiap mangsa mengalami trauma yang berbeza. Ketakutan mangsa yang terbesar adalah apabila tiada siapa yang mempercayainya.
Ia juga salah satu sebab yang menyebabkan mangsa tidak melaporkan atau membuat laporan lewat berkenaan kejadian rogol – adalah penting untuk anda mempercayainya. Percayalah kepadanya dan ia akan mendorong dan membantu mangsa merasa didengari dan difahami. Dia mungkin merasakan bahawa dia tidak berkuasa, dan ini akan menyebabkan dia menjadi berasa tidak berdaya dengan keyakinan diri yang rendah.
Penting untuk memberitahu mangsa bahawa dia mengendalikan situasinya dengan cara yang terbaik. Terangkan pilihan yang mangsa boleh lakukan untuk mendapatkan keadilan dengan memberikan maklumat mengenai prosedur membuat laporan polis, prosedur perubatan seperti pemeriksaan di hospital dan perkhidmatan kaunseling. Mangsa mungkin tidak ingat semua yang anda terangkan tetapi tidak mengapa. Anda boleh mengulangi maklumat kemudian. Anda tidak perlu menggesanya untuk membuat pilihan.
Berikut adalah apa yang boleh anda lakukan:
- Mendengar kepada mangsa.
- Percaya kepada mangsa. Adalah penting untuk mangsa rogol mengetahui bahawa orang percaya kepada mereka. Hanya segelintir sahaja yang menipu bahawa mereka telah dirogol.
- Berterima kasih kerana memberitahu anda. Biarkan dia tahu bahawa anda memahami betapa sukarnya untuk memberitahu apa yang berlaku.
- Menyokong dan beritahu dia bahawa itu bukan salahnya. Dia tidak melakukan apa-apa untuk dirogol, dan tidak ada wanita yang patut dirogol. Satu-satunya orang yang perlu dipersalahkan adalah perogol.
- Pastikan mangsa rasa berharga dan nyatakan rasa hormat anda ke atas kekuatan mangsa.
- Hormati keputusan mangsa dan biarkan dia membuat pilihan sendiri.
- Galakkan mangsa membuat laporan polis dan/atau hubungi organisasi wanita seperti WCC untuk bercakap dengan kaunselor. Tindak balas setiap wanita terhadap penderaan seksual adalah berbeza. Disebabkan oleh kesan emosi yang teruk seperti rasa malu, menyalahkan diri, ketakutan, kecederaan, dan impaknya perlu difahami sebelum sebarang pemulihan dapat dimulakan. Seorang kaunselor yang berpengalaman boleh membantu.
Soalan Lazim
Apakah perbezaan antara rogol dan seks?
Rogol bukan seks tetapi merupakan keganasan dan jenayah yang serius. Manakala seks melibatkan persetujuan bersama kedua-dua belah pihak.
Apa itu rogol bawah umur?
Rogol bawah umur adalah hubungan seksual dengan perempuan berusia bawah umur 16 tahun, dengan atau tanpa kerelaannya.
Kenapa lelaki merogol?
Anggapan masyarakat adalah lelaki merogol kerana tidak dapat mengawal nafsu. Ia adalah satu tanggapan yang salah. Realitinya, rogol bukanlah disebabkan oleh lelaki tidak dapat mengawal nafsu mereka tetapi ia adalah mengenai kuasa dan kawalan ke atas mangsa dan menggunakan mangsa sebagai objek seks.
Apakah perbezaan antara jenayah rogol dan jenayah seksual yang lain?
Undang-undang mentakrifkan rogol sebagai kemasukan zakar lelaki ke dalam faraj wanita tanpa kerelaan wanita tersebut. Wanita dan lelaki boleh didera secara seksual dengan cara lain, seperti seks oral secara paksaan, liwat, dan sentuhan seksual yang tidak diingini. Bagi jenayah-jenayah ini, pelaku boleh didakwa dibawah seksyen undang-undang lain bawah Kanun Keseksaan, seperti mencabul, seks luar tabii (liwat), dan mengaibkan kehormatan.
Jika saya dirogol, adakah saya akan hamil atau mendapat penyakit kelamin?
Ya, anda berisiko untuk hamil dan mendapat penyakit kelamin (Sexually Transmitted Disease – STD) jika perogol tidak menggunakan kondom semasa merogol anda. Jika anda berada di dalam situasi ini, segera dapatkan rawatan di mana-mana hospital kerajaan yang berdekatan dan membuat laporan polis.
Perlukah wanita perlu mengahwini perogolnya?
Tidak perlu. Kadang kala, terdapat tekanan kepada wanita untuk berkahwin dengan perogol, terutama sekali apabila wanita itu mengandung akibat daripada jenayah rogol yang terjadi. Tiada siapa yang boleh dipaksa untuk berkahwin dengan perogol. Jika wanita tersebut berkahwin dengan perogol, berkemungkinan besar perogol akan terus menderanya selepas berkahwin.
Adakah seorang wanita boleh berkahwin setelah dirogol?
Sudah tentu boleh. Kejadian rogol yang telah berlaku tidak akan mengurangkan nilai diri wanita tersebut dan satu-satunya orang yang perlu dipersalahkan adalah perogol dan bukannya wanita tersebut. Ia adalah penting untuk mendapatkan bantuan dari segi kaunselling bagi wanita tersebut supaya dia boleh meneruskan hidup secara normal. Wanita tersebut boleh berkahwin dengan seseorang yang menyayanginya dan boleh mempunyai anak.
Rujuk buku, poster dan risalah serta video mengenai Rogol.