Pusat Perkhidmatan Wanita (PPW)
Tontonilah video di bawah untuk maklumat lanjut tentang PPW.
Dengan penubuhan PPW, kami dapat mengembangkan perkhidmatan kami kepada penduduk Seberang Perai. Pada 19 Januari 2009, PPW mula beroperasi di lot kedai yang disewa. Pada tahun 2018, WCC membeli sebuah rumah teres dua tingkat dan beroperasi di premis berkenaan.
Perkhidmatan Kami
Perkhidmatan PPW adalah sama dengan WCC di bahagian Pulau. Kami menyediakan perkhidmatan kaunseling, menjalankan program seranta di sekolah dan komuniti serta melobi hak mangsa keganasan seksual dan keganasan rumah tangga.
Perkhidmatan Kaunseling
PPW menyediakan perkhidmatan kaunseling untuk wanita dan kanak-kanak yang mengalami krisis. Kami menyediakan kaunseling telefon, bersemuka dan dalam talian dalam bahasa pilihan klien. Kami juga menawarkan tempat perlindungan sementara untuk wanita dan kanak-kanak mereka yang mengalami keganasan rumah tangga.
Sebagai sebahagian daripada organisasi, PPW mula bekerjasama dengan Pusat Krisis Bersepadu (One Stop Crisis Centre, OSCC) di Jabatan Kecemasan di Hospital Seberang Jaya pada Mac 2012. Kami juga telah memperluaskan kerjasama kami dengan Hospital Kepala Batas dan Hospital Bukit Mertajam. Melalui kerjasama dengan OSCC, PPW bersedia untuk memberikan sokongan emosi kepada klien keganasan rumah tangga dan keganasan seksual yang dirujuk oleh OSCC. Kebanyakan mangsa keganasan seksual adalah kanak-kanak.
Advokasi
Kami percaya bahawa penting untuk mangsa keganasan rumah tangga dan jenayah seksual mendapatkan maklumat dan sokongan undang-undang yang diperlukan agar mereka dapat mengakses keadilan melalui sistem sedia ada. Justeru itu, kami juga memberikan sokongan emosi, nasihat undang-undang dan sokongan di mahkamah untuk mangsa dan ahli keluarga mereka yang sedang menghadapi proses mahkamah.
Program Seranta
PPW menjalankan pelbagai program pencegahan penderaan seksual di sekolah yang menyasarkan berlainan peringkat umur di Seberang Perai. Program OK Tak OK WCC adalah untuk mengajar kanak-kanak sekolah rendah mengenai sentuhan yang baik dan sentuhan yang tidak baik dan untuk memberitahu orang dewasa yang dipercayai sekiranya mereka mengalami penderaan. Kami juga melatih guru sekolah cara untuk menjalankan program OK Tak OK untuk murid-murid mereka melalui program Bijak Itu Selamat. Di samping itu, PPW turut menjalankan program Cybersafety dan Respek untuk pelajar sekolah menengah.
Kami juga bekerjasama rapat dengan pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang, hospital, klinik komuniti dan organisasi lain untuk menjalankan program kesedaran mengenai pelbagai topik seperti keganasan rumah tangga, penderaan seksual kanak-kanak, kemahiran keibubapaan (parenting skills) dan lain-lain. Salah satu projek utama kami adalah untuk memperkasakan klien kami yang kebanyakannya terdiri daripada ibu tunggal. Hasilnya, kami menerbitkan buku “Hear Our Stories” pada tahun 2014.
Ulangtahun ke-10 PPW
Penubuhan dan peruntukan dana untuk PPW pada tahun 2009 mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam usaha mengakhiri keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak. Dengan sokongan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, WCC dapat memberi perkhidmatan kepada wanita dan kanak-kanak di Seberang Perai dengan lebih baik.
Sempena ulang tahun ke-10 kerjasama pintar antara WCC dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, kami menganjurkan hari Penang Goes Orang: I Stop VAWC (Violence Against Women and Children, Keganasan Terhadap Wanita dan Kanak-kanak) bersama-sama dengan Penang Women’s Development Corporation. Sebanyak 5,000 orang dari pelbagai latar belakang mengambil bahagian dalam hari yang bermakna ini.

Hubungi PPW
Waktu Operasi: Isnin hingga Jumaat, 9 pagi hingga 5 petang
Lokasi: 13, Lorong Sutera 6, Taman Sutera, 13700 Seberang Jaya, Pulau Pinang
Tel: 04-398 8340
Hotline: 016-439 0698
Emel: ppw@wccpenang.org
