PROGRAM SERANTA
Penglibatan Komuniti
Program Seranta Sekolah
Melalui program ini, kami mendidik kanak-kanak dan remaja tentang keselamatan diri yang berkaitan penderaan seksual kanak-kanak. Tujuan program seranta adalah untuk meningkatkan kesedaran berkenaan keganasan seksual dan mendidik kanak-kanak dan remaja tentang hak mereka supaya untuk tidak didera.
Selama bertahun-tahun, kami telah membangunkan pelbagai program yang menyasarkan kumpulan kanak-kanak dan remaja. Kami juga melatih guru dan pendidik supaya mereka lebih peka terhadap tanda-tanda penderaan serta prosedur laporan dan dapat menggunakan bahan rujukan kami untuk mencegah penderaan berkenaan.
Program seranta WCC adalah:
- Latihan Bijak Itu Selamat (BIS) untuk pendidik
- Program OK Tak OK untuk kanak-kanak
- Program Keselamatan Siber (Cybersafety) untuk remaja
- Program RESPEK untuk remaja
- Program Finding My Voice untuk kanak-kanak perempuan
- Program Boyz untuk kanak-kanak lelaki
Latihan Bijak Itu Selamat (BIS) untuk Pendidik
Pada 2001, WCC membangunkan pakej pendidikan Bijak Itu Selamat (BIS – Be Smart, Be Safe) bagi melatih guru dan pendidik untuk menjalankan program pencegahan penderaan seksual kanak-kanak bagi kanak-kanak yang berumur 10 hingga 12 tahun. Sejak itu, program ini juga telah diperluaskan kumpulan sasarnya merangkumi kanak-kanak kecil.
Pakej BIS ini boleh didapati dalam tiga bahasa (Bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin) yang mengandungi manual latihan bertajuk “Mengajar Kanak-kanak Langkah Keselamatan”, satu pendrive yang mengandungi klip video dan dua buku kartun yang bertajuk “Nina dan Rahsianya” dan “Saya dan Suara Kecil Saya”.
WCC juga menjalankan latihan selama satu hari untuk guru dan pendidik yang berminat menjalankan program BIS. Mereka dilengkapkan dengan kemahiran dan maklumat untuk mengenal pasti dan bertindak balas kepada kes penderaan seksual kanak-kanak.
Latihan BIS ini memberikan maklumat kepada guru dan pendidik agar mereka tahu cara untuk mengajar kanak-kanak mengenai kemahiran keselamatan diri dan lebih peka terhadap kanak-kanak yang pernah didera. Mereka boleh mengajar kanak-kanak supaya lebih tegas terhadap keselamatan peribadi mereka. Guru dan pendidik juga akan belajar tentang kepentingan untuk mendengar luahan kanak-kanak dan dilengkapkan dengan pengetahuan mengenai cara-cara mendapatkan bantuan sekiranya perlu.
Memandangkan situasi Covid-19, kami kini menjalankan latihan dalam talian. Bagi guru atau pendidik yang berminat dalam program ini, sila hubungi WCC di wcc@wccpenang.org.
Program OK Tak OK untuk Kanak-Kanak
Dalam sesi selama satu jam ini, fasilitator kami akan menggunakan senario animasi dan contoh dari video OK Tak OK untuk membantu kanak-kanak yang berusia 10 hingga 12 tahun memahami sentuhan yang baik dan tidak baik. Video tersebut juga mengajar kanak-kanak tentang cara-cara melindungi diri dan mendapatkan bantuan daripada orang dewasa yang dipercayai.
Bagi kanak-kanak yang berumur 8 hingga 10 tahun, fasilitator kami memberi tumpuan kepada keselamatan peribadi dengan menggunakan contoh dari video OK Tak OK dan buku kartun. Kaedah ini berbeza daripada kaedah pembelajaran yang normal di bilik darjah dan lebih cenderung kepada kaedah informal dan kreatif semasa membincangkan isu ini. Kanak-kanak akan mengingati kisah-kisah dan kemahiran yang diajar apabila maklumat tersebut disampaikan dengan cara yang sensitif, tetapi menyeronokkan.
Kami juga telah menerbitkan empat buah buku kartun dalam talian untuk kanak-kanak yang berjudul Lisa dan Rahsianya, Yusri dan Rahsianya, Sara Kata “Tak Nak” dan Samir dan Kawan Onlinenya. bagi menggalakkan kanak-kanak untuk mendapatkan bantuan sekiranya berlaku penderaan seksual.
Program Cybersafety WCC
Program Cybersafety WCC menekankan mengenai bahayanya dunia siber. Program ini menyentuh isu kepercayaan dan bagaimana kita berkongsi maklumat dengan rakan-rakan. Selain itu, kami juga akan membincangkan tentang bahayanya aplikasi sembang (chat), sexting (menghantar, menerima atau berkongsi mesej seksual dan lucah), hendap siber dan buli siber. Akhir sekali, kami akan membuat kesimpulan dengan mengajar kanak-kanak dan remaja cara untuk melayari internet secara selamat dan cara-cara untuk mendapatkan bantuan.
Selain mendidik remaja, kami juga melatih para guru dan pendidik untuk menjalankan program ini di sekolah. Pakej Program Cybersafety WCC mengandungi panduan fasilitator, pendrive yang mengandungi empat video berkenaan bahaya dalam talian dan risalah bertajuk “Jaringan Siber Selamat”.
Kami juga menjalankan ceramah selama 1.5 jam mengenai keselamatan siber di sekolah. Ceramah ini merangkumi topik cara berkawan, pelbagai jenis bahaya di dunia siber dan cara untuk mendapatkan bantuan.
Program Finding My Voice untuk Remaja Perempuan
Bagi menghapuskan keganasan berasaskan gender, adalah penting untuk bekerjasama dengan anak muda, terutama sekali remaja perempuan untuk membantu mereka membina kemahiran dalam menguruskan konflik agar mereka dapat menyelesaikan konflik tanpa menggunakan keganasan. Program Finding My Voice adalah program yang berjalan selama 6 jam dan khas untuk remaja perempuan berumur antara 14 hingga 16 tahun. Program ini bertujuan untuk memperkasakan mereka untuk membuat keputusan yang lebih baik mengenai kehidupan mereka. Dengan menggunakan pendekatan yang menggalakkan peserta memberi pandangan, fasilitator kami akan membimbing mereka untuk berfikir tentang perkara yang mereka mahu dalam kehidupan mereka, mengembangkan kemahiran berunding dan mencari penyelesaian dalam situasi konflik.
Program BOYZ
Adalah penting untuk terus mencabar sistem kepercayaan yang mengekalkan ketidakseimbangan kuasa antara lelaki dan gadis/wanita. Selagi wanita dianggap sebagai orang bawahan lelaki, keganasan berasaskan gender akan terus berlaku. WCC percaya bahawa pentingnya untuk melibatkan lelaki dalam proses untuk menghapuskan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak. Oleh itu, kami membangunkan Program Boyz untuk remaja lelaki sekolah menengah yang berusia 16 dan 17 tahun. Fasilitator lelaki kami akan membimbing remaja lelaki untuk membincangkan tentang tingkah laku yang boleh diterima atau tidak dan membongkar stereotaip terhadap lelaki dan wanita.
Program RESPEK
Saling menghormati adalah penting untuk membina hubungan yang sihat. Ia adalah penting untuk melibatkan remaja dalam perbincangan ini kerana mereka selalunya memilih untuk terlibat dalam hubungan intim pada usia yang awal tetapi mereka tidak mempunyai pendedahan kepada maklumat yang tepat. Program RESPEK kami memberi tumpuan kepada pelajar-pelajar sekolah menengah dan memberi peluang kepada remaja untuk meneroka topik yang berkaitan dengan persahabatan, dating, keselamatan peribadi dan keganasan seksual. Dengan menghapuskan tanggapan yang salah dan meningkatkan kesedaran terhadap gender, risiko remaja diseksploitasi akan berkurang dan mereka akan lebih cekap dalam membuat pilihan yang sihat dalam hubungan mereka.
Ceramah Kesedaran Komuniti
Bagi merealisasikan visi kami dimana masyarakat yang bebas daripada keganasan dan diskriminasi gender dan wanita dapat memanfaatkan potensi mereka secara sepenuhnya , ia amat penting untuk melibatkan pelbagai individu dan sektor dalam masyarakat. Oleh itu, kami juga memberikan ceramah tentang keganasan rumah tangga, penderaan seksual kanak-kanak, pemekaan gender dan pemerkasaan wanita kepada komuniti, koperasi, NGO dan jabatan kerajaan. Setiap tahun, WCC menjalankan lebih kurang 20 ceramah dan bengkel untuk komuniti ini. Disebabkan oleh Covid-19, kami kini menjalankan lebih banyak program dalam talian supaya kami dapat berhubung dengan lebih ramai orang. Topiknya merangkumi keganasan dalam talian terhadap wanita dan keusahawanan digital.