Apa itu Keganasan dalam Talian terhadap Wanita & Kanak-Kanak?
Keganasan dalam talian adalah sebarang jenis keganasan yang berlaku melalui internet dan/atau melalui mana-mana komunikasi teknologi. Ia boleh berlaku melalui mana-mana platform dalam talian (lebih dikenali sebagai online atau media sosial) seperti WhatsApp, Facebook, Instagram, WeChat, Twitter, dan sebagainya. Antara keganasan dalam talian adalah gangguan atau hendap siber, pengantunan kanak-kanak dalam talian, menghantar mesej, gambar atau video berunsur seksual, berkongsi atau memuat naik gambar atau video yang berunsur seksual tanpa kebenaran, dan sebagainya. Ia boleh berlaku kepada sesiapapun, tetapi majoriti mangsa adalah daripada golongan wanita dan kanak-kanak.
Penting untuk kita ingat bahawa keganasan dalam talian selalunya boleh berubah kepada keganasan secara fizikal seperti keganasan seksual. Seperti keganasan-keganasan lain, keganasan dalam talian boleh mendatangkan kesan yang buruk dan mendalam kepada mangsa.
Penting untuk kita fahami risiko tambahan daripada keganasan dalam talian: –
- Mangsa mungkin tidak mengetahui identiti sebenar pelaku;
- Pelaku tidak seharusnya berada berdekatan dengan mangsa untuk melakukan keganasan tersebut;
- Kadang-kala, lebih daripada seorang pelaku akan terlibat;
- Bahan-bahan yang eksplisit dan lucah dalam talian boleh dikongsi dengan cepat dan boleh wujud dalam talian untuk tempoh masa yang sangat lama;
- Alat untuk melakukan keganasan dalam talian mudah didapati dengan kos yang rendah.
Mangsa yang mengalami keganasan dalam talian boleh menunjukkan tanda-tanda seperti berikut: –
- Menghabiskan masa yang lebih lama atau masa yang sedikit dalam talian daripada kebiasaan;
- Dalam ketakutan, marah, tertekan dan mengasingkan diri selepas mengunakan internet;
- Menyimpan rahsia tentang dengan orang mereka bercakap dan apa-apa yang mereka lakukan dalam talian;
- Kerap menukar nombor telefon bimbit mereka.
Jenis-Jenis Keganasan dalam Talian terhadap Wanita & Kanak-Kanak
Gangguan melalui siber
Pelaku menggunakan platform media sosial seperti Facebook, dan/atau teknologi seperti telefon bimbit, untuk menghantar komen yang tidak dikehendaki, gambar-gambar atau video yang berunsur lucah untuk mengganggu atau mengancam keselamatan mangsa secara berulang kali dari semasa ke semasa. Pelaku mungkin memuat naik komen yang tidak sopan di ruangan komen untuk post yang dikongsi oleh mangsa. Pelaku juga boleh menyebarkan khabar angin, bohong dan maklumat yang memalukan mangsa.
Kadang-kala, pelaku mungkin menggalakkan atau menghasut orang lain untuk melakukan serangan teks untuk membuatkan mangsa tarik diri daripada media sosial. Ini termasuk juga di mana pelaku mencipta blog atau laman media sosial untuk menyebarkan fitnah dan mesej berniat jahat terhadap mangsa.
Mengambil/mengedarkan bahan berunsur seksual tanpa kebenaran
Pelaku mengambil dan/atau mengedarkan gambar dan/atau video mangsa yang berunsur seksual tanpa kebenarannya di platform media sosial. Mereka juga boleh menggunakan bahan-bahan tersebut untuk memaksa mangsa memenuhi kepuasan seksual pelaku atau wang. Sebagai contoh, memaksa mangsa berbogel di hadapan webcam atau memaksa mangsa membuat perlakuan/aksi seksual seperti menyentuh diri sendiri secara seksual dan pelaku memerhatikannya melalui webcam.
Ada kalanya, dalam perhubungan antara dua individu dewasa, video atau gambar seksual dikongsi atau diambil dengan kebenaran untuk simpanan peribadi. Tetapi, apabila perhubungan tersebut berakhir atau terdapat isu dalam perhubungan, pelaku menggunakan bahan-bahan ini untuk memanipulasi, menyakiti atau memfitnah mangsa dengan mengedarkannya dan/atau memuatnaik ke dalam laman web lucah.
Seterusnya, perbuatan menghantar atau menerima perkataan, gambar, atau video berunsur seksual melalui teknologi, biasanya melalui telefon bimbit dikenali sebagai “sexting”. Seseorang boleh melakukannya dengan rela hati sebagai isyarat intim, atau mungkin dipaksa oleh pasangan atau rakan sebaya mereka. Di Malaysia, perbuatan menghantar atau menerima gambar bogel, termasuk gambar anda sendiri adalah salah disisi undang-undang. Ia akan dikategorikan sebagai pornografi kanak-kanak jika melibatkan seseorang yang berumur bawah 18 tahun.
Pengantunan kanak-kanak dalam talian
Pengantunan kanak-kanak dalam talian adalah suatu proses di mana pelaku akan cuba berkawan dengan mangsa dan membina kepercayaan mangsa melalui platform dalam talian sebelum mengeksploitasi mangsa untuk seksual atau kewangan. Pelaku boleh menyamar sebagai remaja atau orang yang lebih muda atau orang daripada jantina yang berlainan untuk menjalinkan hubungan.
Pelaku mungkin menampilkan diri mereka seperti seorang yang ‘baik’. Contohnya seperti pendengar yang baik, memahami kesukaran yang mungkin dihadapi oleh mangsa, mengambil berat, dan sentiasa menghargai. Paling penting sekali, mereka memberikan perhatian yang mangsa perlukan. Komunikasi yang kerap dan mendalam sehingga hubungan ‘eksklusif’ dibina, di mana manipulasi pelaku akan bermula. Ini dinamakan sebagai romance/love scam.
Niat pelaku adalah untuk seksual atau kewangan. Jika untuk seksual, mereka mungkin mula memperkenalkan bahan berkaitan seksual secara perlahan-lahan dan menghilangkan kepekaan mangsa. Selepas dapat mengawal mangsa, mereka akan mula untuk meminta mangsa menghantar gambar seksual. Kemudian, apabila mangsa terperangkap, pelaku akan menjadi lebih manipulatif dan agresif (seperti menakut-nakutkan, mengugut atau mendera). Pelaku akan mengugut secara emosi untuk menutup mulut mangsa.
Jika niat pelaku untuk kewangan, mereka mungkin merekakan cerita untuk mendapatkan simpati mangsa. Contohnya seperti perlu bayar bil hospital yang tidak dijangka. Ia mungkin bermula dengan jumlah wang yang kecil dan meningkat kepada jumlah wang yang lebih besar.
Penyamaran dalam talian
Dalam jenis keganasan ini, pelaku menggunakan teknologi atau platform dalam talian untuk mereka identiti palsu atau menyamar sebagai profil mangsa untuk mendapatkan maklumat peribadi mangsa dan/atau untuk memalukan atau memfitnah mangsa. Pelaku juga boleh menyamar sebagai profil mangsa untuk mengeksploitasi orang lain. Ini termasuk mencuri kata laluan mangsa, berbual dengan rakan-rakan media sosial mangsa atau memuat naik komen lucah atau komen yang tidak sesuai untuk merendahkan atau merosakkan reputasi mangsa.
Mereka juga mungkin berpura-pura menjadi orang lain dan memikat mangsa ke dalam hubungan palsu. Sebaik sahaja mangsa terperangkap, mereka mungkin menipu atau mengeksploitasi mangsa secara seksual.
Hendap siber
Hendap siber terjadi apabila pelaku menggunakan teknologi atau perisian untuk menjejak dan memantau mangsa tanpa pengetahuan mangsa. Pelaku boleh memuat turun aplikasi tertentu atau peranti pengesan ke dalam telefon bimbit mangsa. Contohnya, untuk mengesan lokasi mangsa dan aktiviti media sosial mangsa. Mangsa mungkin tidak menyedarinya.
Sesetengah pelaku mungkin menipu mangsa untuk memuat turun perisian hasad (malwares) untuk mengambil alih kamera web atau peranti mangsa. Mereka mungkin secara senyap mengumpul data peribadi mangsa dengan memantau aktiviti media sosial.
Kesan-kesan Keganasan dalam Talian kepada Mangsa
Keganasan dalam talian terhadap wanita dan kanak-kanak sama berbahaya seperti keganasan luar talian atau fizikal. Selalunya orang cenderung untuk memandang rendah kesan keganasan dalam talian dan berfikir bahawa ‘tiada kontak fizikal’, maka ia tidak boleh menjadi teruk.
Kebanyakan masa mangsa dibiarkan bersendirian dengan pengalaman mereka, membawa kepada rasa malu, senyap dan mungkin mencederakan diri sendiri. Sebenarnya keganasan dalam talian boleh membawa kesan buruk kepada kesihatan fizikal dan mental mangsa. Di bawah adalah beberapa kesan-kesan keganasan dalam talian: –
Kesan fizikal
- Sakit kepala dan keletihan
- Masalah untuk tidur dan makan
- Mencederakan diri sendiri
- Membunuh diri
- Peningkatan tahap kebimbangan/tekanan
- Takut
- Kemurungan
- Kurang keyakinan diri
- Cenderung atau cuba untuk membunuh diri
- Ketidakupayaan untuk membentuk hubungan kepercayaan dengan orang lain
- Mengasingkan diri daripada ahli keluarga dan rakan-rakan
- Hilang keupayaan untuk bergerak dengan bebas dan berhubung dengan orang di dunia sebenar
- Hilang keupayaan untuk meluahkan perasaan secara bebas dan melibatkan diri dalam ruang dalam talian
- Kehilangan wang/aset/harta benda