Mitos & Realiti
Mitos: Apa-apa yang berlaku di internet adalah tidak nyata. Mangsa tidak berhadapan dengan ancaman bahaya yang sebenar.
Realiti: Pada hakikatnya, mangsa berhadapan bahaya yang lebih serius. Hanya dengan satu klik, pelaku boleh mendatangkan bahaya kepada mangsa tanpa perlu mendekatinya secara fizikal. Oleh sebab itu, mangsa mungkin tidak mengetahui identiti pelaku. Apabila dimuat naik dalam talian, komen, imej, video, atau pos yang mengandungi ancaman berkemungkinan wujud dalam ruang siber untuk jangka masa yang lama, dan mungkin akan dikongsi oleh orang ramai.
Mitos: Keganasan akan berhenti sekiranya mangsa mematikan komputer/telefon bimbitnya.
Realiti: Tidak, keganasan dan ancaman tidak akan terhenti di situ. Disebabkan mangsa telah meninggalkan “kesan digital” yang akan kekal lama di atas talian, pelaku boleh mendapatkan maklumat peribadi mangsa dengan mudah. Maklumat-maklumat ini boleh digunakan untuk terus mengganggu dan menakut-nakutkan mangsa. Selain itu, pelaku berupaya untuk mencuri identiti mangsa dan menyamar sebagainya untuk melakukan pelbagai jenayah lain.
Mitos: Keganasan dalam talian adalah “normal” dan mangsa akan belajar daripadanya.
Realiti: Keganasan dalam talian adalah tidak normal dan tidak patut diambil ringan. Perbuatan tersebut tidak harus dinormalisasikan, walaupun dalam ruang siber.
Mitos: Ianya tidak dikira sebagai keganasan dalam talian jika pelaku telah memadam komen, gambar, atau pos asalnya kerana kandungan media tersebut tidak lagi wujud dalam ruang siber.
Realiti: Walaupun pos asal telah dipadam pelaku, ia masih dianggap satu bentuk pencabulan hak dan penyalahgunaan maklumat. Komen, imej, video, dan/atau pos yang telah dipadam masih boleh dijumpai dalam talian kerana ia berkemungkinan besar telah dikongsi dan diedarkan oleh orang lain dalam ruang maya tersebut.
Mitos: Pelaku adalah orang tidak dikenali yang pakar dalam mengendalikan teknologi.
Realiti: Keganasan dalam talian boleh dilakukan orang yang dikenali mangsa, seperti pasangan atau kawan rapat mereka sendiri. Terdapat banyak aplikasi, peranti, dan perisian sedia ada di internet yang membantu memudahkan pelaku memerhatikan segala gerak-geri mangsa.
Mitos: Tiada apa-apa yang boleh dilakukan mangsa mengenai keganasan dalam talian.
Realiti: Terdapat banyak langkah yang boleh diambil mangsa dalam mengatasi keganasan dalam talian. Ini termasuk membuat laporan kepada platform media sosial yang berkenaan, memfailkan laporan polis, dan membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Cyber999. (Rujuk bahagian Mendapatkan Bantuan)
Mitos: Keganasan dalam talian tidak dianggap sebagai satu jenayah kerana tiada undang-undang khusus yang digubal untuknya.
Realiti: Keganasan dalam talian adalah satu jenayah. Terdapat banyak undang-undang yang boleh digunakan untuk mendakwa pelaku termasuk Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. (Rujuk bahagian Undang-undang di Malaysia)
Mitos: Wanita memuat naik pos di atas talian untuk menarik perhatian ramai, jadi mereka harus menerima semua maklum balas dengan hati yang terbuka.
Realiti: Ini adalah tanggapan yang salah. Menulis komen berunsur seksual dan tidak sopan, dan/atau menganggu wanita dalam talian merupakan pencabulan hak seseorang individu. Tujuan wanita tersebut memuat naik pos itu adalah tidak penting .
Lihat sumber berguna mengenai Keganasan Dalam Talian.
Kembali ke laman utama Keganasan Dalam Talian.
