Mendapatkan Bantuan
Apa perlu anda buat jika mengalami keganasan dalam talian?
Sekat dan putuskan semua komunikasi dengan pelaku
- Hentikan semua komunikasi dengan pelaku dan jangan layan sebarang tuntutannya lagi. Sekat nombor telefon bimbit pelaku dan akaun media sosialnya.
- Tukar nombor telefon bimbit dan alamat e-mel anda jika perlu.
- Tukar semua kata laluan akaun media sosial anda dengan segera. Letakkan kata laluan yang lebih kukuh. Lebih baik anda mempunyai kata laluan yang berbeza untuk akaun yang berbeza.
- Mungkin berguna untuk memuat turun perisian anti-malware dan mengimbas telefon bimbit dan komputer dengan kerap.
- Keluar atau nyahaktifkan akaun media sosial anda buat sementara waktu.
Rekodkan butiran dan bukti kejadian. Butiran seperti bila, di mana dan bagaimana kejadian itu berlaku dan bukti keganasan dalam talian seperti tangkapan skrin (screenshots), gambar dan mesej teks adalah sangat penting jika anda ingin mengambil tindakan terhadap pelaku. Rekod semua komunikasi dan simpan secara digital serta salinan fotokopi. Jangan padamkan bukti dalam talian ini.
Laporkan kepada penyedia perkhidmatan masing-masing. Selepas anda merekodkan semua bukti, adalah penting untuk menghubungi pembekal perkhidmatan masing-masing untuk membantu anda. Beberapa platform media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, dan lain-lain mempunyai mekanisma pelaporan tersendiri. Ketahui cara membuat laporan dan seterusnya buat laporan kepada platform masing-masing. Dengan berbuat demikian, siaran dan/atau ulasan yang tidak sesuai boleh dikeluarkan.
Beritahu seseorang yang anda percaya. Bercakap dengan seseorang yang anda percaya dan beritahu mereka tentang kejadian. Ia boleh membantu anda menangani perasaan takut, bimbang dan tidak berharga yang sering dialami mangsa. Jika anda seorang kanak-kanak, bercakap dengan orang dewasa yang anda percaya seperti ibu bapa atau guru.
Dapatkan bantuan daripada mana-mana organisasi wanita. Hubungi atau pergi ke mana-mana pejabat organisasi wanita seperti WCC. WCC menyediakan perkhidmatan kaunseling dan nasihat undang-undang kepada wanita dan kanak-kanak yang mengalami keganasan.
Dapatkan bantuan perubatan atau profesional. Keganasan dalam talian boleh membawa kesan jangka masa pendek atau panjang. Dapatkan kaunseling atau terapi daripada pakar psikiatri untuk menangani keadaan mental anda. Laporan penilaian kesihatan mental boleh digunakan sebagai salah satu bukti kesan keganasan dalam talian terhadap anda.
Buat laporan polis. Pergi ke mana-mana balai polis untuk membuat laporan rasmi terhadap pelaku. Bawa salinan cetak semua bukti yang telah anda kumpulkan. Untuk laporan polis, di bawah adalah maklumat yang diperlukan.
- Bila: Bila kejadian berlaku? – Tarikh dan masa kejadian.
- Mana: Media sosial yang mana?
- Siapa: Siapa yang terlibat? – Identiti dan maklumat suspek.
- Apa: Apa kejadian tersebut? – Maklumat tentang kejadian.
- Bagaimana: Bagaimana ia berlaku dan berapa kali berlaku?
- Kesan: Apakah kesan terhadap anda selepas kejadian? Kerosakan, kerugian atau sebarang kecederaan yang dialami, kemurungan, ketakutan, dsb.
- Kenapa: Kenapa laporan dibuat? Untuk mengambil tindakan, untuk perlindungan, dll.
Pihak polis akan menyiasat dan menyerahkan hasil penyiasatan kepada Pejabat Pendakwaan Negeri untuk memutuskan sama ada untuk menuduh atau tidak menuduh suspek bagi jenayah yang dilaporkan. Jika terdapat bukti yang mencukupi, suspek tersebut akan didakwa di mahkamah. Jika tidak, suspek akan dilepaskan.
Contoh laporan polis

Jika anda mengalami keganasan rumah tangga atau keganasan seksual, sila rujuk bahagian ISSUES di laman web WCC mengenai Keganasan Rumah Tangga, Rogol dan Penderaan Seksual Kanak-kanak untuk maklumat lanjut. [Link to Issues page]
Buat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Cyber999 (MyCERT). Anda boleh buat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Aduan boleh dibuat melalui online atau di mana-mana pejabat SKMM. Aduan anda akan didaftarkan dengan suatu nombor rujukan. Anda dinasihatkan untuk membuat laporan polis dahulu dan lampirkan laporan tersebut dengan aduan anda. Siasatan akan dilakukan dan tindakan yang perlu akan diambil. Anda juga boleh menghubungi Cyber999.
Maklumat SKMM dan Cyber999 adalah seperti berikut:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)
- Hotline: 1800-188-030
- WhatsApp: 016-220 6262
- Aduan dalam talian: https://aduan.skmm.gov.my/
- Hadir ke Jabatan Perlindungan Dan Biro Aduan di Cyberjaya
- Muat turun aplikasi melalui Google Playstore atau iOS App Store
- Aduan dalam talian: https://www.mycert.org.my/
- Cyber999 Hotline (waktu pejabat sahaja): 1-300-88-2999
- Cyber999 Kecemasan (24jam): 019-266 5850
- CYBER999 SMS Repot: 15888
- Twitter: @mycert
- E-mel: cyber999@cybersecurity.my
