
Undang-undang di Malaysia
Undang-undang berkenaan Keganasan Rumah Tangga di Malaysia
Akta Keganasan Rumah Tangga 1994
Pada tahun 1994, kerajaan Malaysia akhirnya telah mengisytiharkan keganasan rumah tangga sebagai satu isu awam yang serius dan menggubal Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (AKRT). Mangsa keganasan rumah tangga boleh mendapatkan perlindungan daripada terus didera oleh pendera di bawah AKRT.AKRT terpakai kepada ahli keluarga terdekat termasuklah pasangan, bekas pasangan, pasangan de facto, anak-anak (termasuk anak angkat), orang dewasa dengan kurang upaya fizikal atau mental, dan lain-lain orang yang dianggap sebahagian daripada keluarga tersebut. Lebih penting lagi, AKRT terpakai untuk semua orang, termasuk orang beragama Islam dan bukan Islam, warganegara mahupun bukan warganegara.
Kanun Keseksaan
AKRT ini dibaca bersama dengan Kanun Keseksaan untuk pertuduhan yang dikenakan terhadap pendera di mahkamah. Sila rujuk jadual di bawah untuk contoh-contoh pertuduhan yang boleh disabitkan terhadap pesalah keganasan rumah tangga.Seksyen Kanun Keseksaan | Kesalahan | Hukuman |
321 & 323 | Dengan sengaja menyebabkan kecederaan | Penjara maksimum 1 tahun / denda RM2,000 atau kedua-duanya |
324 | Dengan sengaja menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya | Penjara maksimum 10 tahun / denda / sebatan / mana-mana dua daripada yang di atas |
322 & 325 | Dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah | Penjara maksimum 7 tahun / denda |
326 | Dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah dengan menggunanakan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya | Penjara maksimum 20 tahun / denda / sebatan |
326A | Menyebabkan kecederaan kepada pasangan, bekas pasangan, kanak-kanak atau ahli keluarga yang lain | Dua kali ganda tempoh maksimum pemenjaraan |
507A | Menghendap | Penjara maksimum 3 tahun / denda / kedua-duanya |
Pada 2023, Kanun Keseksaan telah dipinda untuk memasukkan menghendap (stalking) sebagai jenayah. Menghendap meliputi kelakuan gangguan berulang (sekurang-kurangnya dua kali) yang menyebabkan kesusahan, ketakutan atau kebimbangan terhadap keselamatan seseorang, dan termasuk mengikut, berkomunikasi, menghampiri, atau menghantar apa-apa kepada seseorang.
Rujuk buku, poster dan risalah serta video mengenai Keganasan Rumah Tangga.
Kembali ke laman utama Keganasan Rumah Tangga.