Mendapatkan Bantuan

Jika anda didera atau mengetahui bahawa seseorang itu didera, ini adalah masa untuk mendapatkan bantuan.

stock-square-bw-help

Bagaimana Untuk Membantu Seseorang Yang Didera?

Adalah penting untuk membantu menghentikan keganasan yang dialami mangsa. Kadang kala mangsa keganasan rumah tangga mungkin tidak bersedia untuk membuat laporan terhadap penderanya. Dia mungkin memerlukan sedikit sokongan dan kaunseling sebelum membuat laporan. Anda boleh memainkan peranan dalam membantunya. NGO seperti WCC juga dapat membantu memberikan kaunselling kepada mangsa keganasan rumah tangga untuk membantunya memahami keperluan sebelum mengambil tindakan selanjutnya. Dengan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994, keganasan rumah tangga adalah satu kesalahan jenayah. Agensi kerajaan seperti polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan hospital, akan membantu jika mangsa ingin mengambil tindakan.

Bagaimana Anda Boleh Membantu Mangsa Keganasan Rumah Tangga?

 
Apa Yang Boleh Dilakukan
  • Cari ruang yang senyap dimana mangsa boleh bercakap dengan anda secara bersendirian.
    Ramai mangsa keganasan rumah tangga berasa segan sekiranya orang lain mengetahui tentang hal tersebut. Oleh yang demikian, penting untuk memberi jaminan kerahsiaan maklumat kepada mereka. Seseorang mangsa mungkin hanya inginkan orang lain untuk mendengarnya atau mengambil tindakan untuk menghentikan keganasan. Ingat, jangan sesekali memaksa mangsa untuk melakukan sesuatu yang dia tidak sanggup untuk lakukan.
  • Percayakan mangsa dan beri sokongan. Yakinkan mangsa bahawa apa yang berlaku bukan salah mereka.
    Apabila mangsa berasa yang mereka tidak dipercayai, mereka tidak akan mendedahkan kejadian yang berlaku dan peluang untuk membantu mereka akan hilang. Ada kalanya, mangsa mungkin menyalahkan diri sendiri. Ingatkan mereka bahawa tiada siapa yang layak didera dan tiada sebab untuk keganasan berlaku dalam rumah tangga.
  • Hormati keperluan mangsa untuk kerahsiaan.
    Ia amat penting untuk menghormati kepercayaan yang mangsa letak atas anda. Jaga kerahsiaan maklumat mereka. Ini akan membantu melindungi mereka daripada tindak balas daripada pendera atau orang ramai/komuniti.
  • Pastikan mangsa selamat.
    Jika mangsa keganasan rumah tangga dikejar atau diikuti oleh seseorang apabila dia datang kepada anda untuk bantuan, anda perlu terus membawanya ke balai polis demi keselamatannya.
  • Ambil tahu tentang latar belakang mangsa; seperti etnik mangsa, bahasa dan status kewarganegaraan mangsa.
    Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 terpakai untuk semua orang tanpa mengira kewarganegaraan, etnik atau status imigresen. Jika seseorang individu tidak fasih dalam bahasa yang anda gunakan, cuba dapatkan seorang jurubahasa. Ingat, bercakap dengan nada kuat tidak akan meningkatkan kefahaman seseorang terhadap sesuatu bahasa itu.
  • Tawarkan bantuan untuk menemani mangsa ke balai polis, jika perlu.
    Seorang mangsa keganasan rumah tangga mungkin takut untuk pergi sendirian dan mungkin tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Dia juga mungkin tidak mempunyai kenderaan sendiri. Dengan menawarkan untuk menemani mangsa, secara tidak langsung anda akan memberikan sokongan kepadanya.
  • Jika mangsa memerlukan bantuan perubatan, bawa dia terus ke Jabatan Kecemasan di mana-mana hospital kerajaan.
    Sekiranya anda berasa mangsa cedera dan memerlukan bantuan perubatan, mangsa mesti dibawa ke hospital untuk rawatan kesihatan. Di samping itu, sebarang bukti fizikal penderaan perlu direkodkan sebaik mungkin kerana ia akan membantu dalam penyiasatan polis.
 
Apa Yang Tidak Boleh Dilakukan?
  • JANGAN menyalahkan mangsa atau bertanya apa telah dia lakukan sehingga mengakibatkan keganasan berlaku.
    Soalan seperti, “Apa yang telah kamu lakukan?” meletakkan kesalahan keganasan pada mangsa. Keganasan rumah tangga ialah penyalahgunaan kuasa dalam hubungan. Pelaku adalah orang yang bertanggungjawab atas keganasan terhadap mangsa. Menyalahkan mangsa dengan berkata, “Mengapa kamu cakap begitu? Patutlah dia naik marah!” akan menyebabkan mangsa bertukar fikiran dan anda akan hilang peluang untuk membantu mangsa.
  • JANGAN meremehkan keganasan yang berlaku atau mencadangkan kepada mangsa untuk memaafkan pendera atau bersabar dan cuba lagi.
    Keganasan rumah tangga adalah isu yang serius. Ia bukan sahaja menyebabkan kemudaratan fizikal dan emosi kepada seseorang, tetapi juga, dalam kes yang teruk, ia boleh menyebabkan kematian. Apabila keganasan rumah tangga bermula, ia akan terus meningkat sekiranya tindakan tidak diambil.
  • JANGAN membuat sebarang keputusan untuk mangsa atau mengharapkan mangsa untuk membuat keputusan dengan segera.
    Pastikan yang anda tidak membuat sebarang keputusan bagi pihak mangsa atau memaksa mangsa untuk membuat keputusan. Sentiasa beri mangsa pilihan yang boleh diambil dan kesan-kesan daripada pilihannya. Keputusan untuk memutuskan kitaran keganasan harus dibuat oleh mangsa sendiri. Berikan mangsa masa dan ruang untuk membuat keputusan.
  • JANGAN cadangkan pertemuan bersama antara mangsa dan penderanya.
    Keganasan rumah tangga adalah penyalahgunaan kuasa dalam hubungan apabila seseorang itu cuba untuk mengawal mangsanya. Usaha untuk menemukan pendera dengan mangsa boleh menyebabkan mangsa berasa lebih takut. Mangsa mungkin tidak akan bercerita tentang kejadian kerana takut akan pembalasan pendera di rumah. Sekiranya mangsa meminta untuk mengadakan pertemuan dengan pendera, anda perlu merujuk mereka kepada kaunselor terlatih.
  • Jika mangsa telah meninggalkan rumahnya, JANGAN maklumkan lokasi baharu mangsa kepada sesiapa tanpa kebenaran mangsa.
    Mangsa selalunya hanya akan meninggalkan rumah kerana takut akan keselamatan dirinya sendiri. Lokasi baharunya mesti dirahsiakan bagi melindunginya daripada sebarang gangguan daripada pendera, rakan-rakan atau keluarganya. Ingat, keganasan rumah tangga yang teruk boleh membawa maut kepada mangsa.

Agensi-agensi Kerajaan Yang Dapat Membantu Mangsa Keganasan Rumah Tangga

Mendapatkan Bantuan daripada Polis

Membuat Laporan Polis
  1. Anda boleh pergi ke mana-mana balai polis dan buat laporan polis.
  2. Dalam laporan polis, anda perlu jelaskan secara bertulis tentang kejadian yang berlaku. Terangkan kejadian itu dengan jelas, contohnya seperti:
    • Bila: Bila ia berlaku? Nyatakan tarikh dan masa kejadian.
    • Mana: Di manakah ia berlaku – lokasi?
    • Apa: Apakah kejadian itu?
    • Siapa: Siapa yang terlibat dan siapakah pendera itu?
    • Bagaimana: Bagaimanakah ia berlaku?
    • Kesan: Apakah kesannya terhadap mangsa selepas kejadian? Lebam, cedera dll.
    • Kenapa: Kenapa laporan dibuat? Untuk perlindungan terhadap pendera, untuk tindakan polis, dll.
  3. Bagi menjimatkan masa, anda boleh menulis atau menaip dan mencetak laporan terperinci sebelum ke balai polis. Hanya Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang diterima untuk laporan polis. Jika anda tidak boleh bercakap atau menulis dalam mana-mana satu bahasa tersebut, anda boleh membawa seseorang yang boleh membantu dalam terjemahan.
  4. Pegawai Polis di kaunter aduan akan mencetak sesalinan laporan polis untuk anda.
  5. Pegawai Polis di kaunter aduan kemudian akan merujuk anda kepada Pegawai Penyiasat atau Investigating Officer (IO) dalam Bahagian Siasatan Seksual, Wanita, dan Kanak-kanak (D11) dari Balai Polis Daerah di tempat anda membuat laporan.
  6. IO akan menemu bual anda untuk mendapatkan butiran terperinci kejadian. Ini dipanggil sebagai kenyataan polis yang akan digunakan untuk siasatan kes.
  7. IO akan memanggil pendera (suspek yang disyaki) untuk siasatan dan rakaman kenyataan.
  8. IO kemudian akan menyerahkan kertas siasatan kepada Pejabat Pendakwaan Negeri yang akan memutuskan sama ada untuk menuduh atau tidak menuduh suspek untuk jenayah yang dilaporkan.
  9. Dalam keadaan di mana anda tidak mahu membuat laporan polis, anda digalakkan untuk membuat laporan pengiring atau cover report pula. Cover report sama seperti laporan polis KECUALI di akhir laporan di mana anda akan menyatakan bahawa tujuan laporan tersebut adalah untuk rakaman sahaja dan tidak mahu tindakan diambil terhadap pelaku tersebut. Laporan sebegini akan mendokumen kejadian keganasan rumah tangga tetapi tidak akan melibatkan proses siasatan.
Memohon Perintah Perlindungan Interim (IPO)

Perintah Perlindungan Interim (IPO – Interim Protection Order) ialah satu peruntukan penting dalam Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. IPO memberi perlindungan perundangan sementara untuk mangsa, anak-anaknya dan saudara maranya. IPO adalah perintah mahkamah untuk hentikan suami, ibu bapa atau saudara yang mendera daripada meneruskan kelakuan ganas terhadap mangsa. IPO adalah sementara dan sah selagi siasatan dijalankan oleh polis. IPO selalunya diguna pakai sebagai penghalang yang kuat terhadap keganasan berterusan.

  1. Jika anda risau akan keselamatan diri anda atau anak-anak, atau menghadapi keganasan berterusan daripada pendera, anda mesti memaklumkan kepada IO yang anda mahu mendapatkan IPO. Anda juga boleh meminta supaya IPO tersebut menyertakan anak-anak anda atau ahli keluarga yang lain yang juga risau akan keselamatan mereka.
  2. Jika IO berpendapat yang anda patut mendapat IPO, IO tersebut akan menyerahkan kepada anda satu surat rujukan yang mengesahkan bahawa kes tersebut adalah di bawah siasatan polis. Anda kemudiannya perlu membawa surat rujukan tersebut ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama dengan kad pengenalan anda, kad pengenalan/surat beranak anak-anak, dan laporan perubatan kerajaan (jika ada). Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kemudiannya akan membantu anda memohon IPO di Mahkamah Majistret. Sesalinan IPO akan diberi kepada anda.
  3. Sekiranya anda mahu mengambil barang milik anda, tetapi terlalu takut untuk kembali ke rumah anda, anda boleh membuat permintaan kepada IO supaya ditemani oleh seorang pegawai polis untuk pergi mengambil barang-barang anda.
  4. Apabila IPO dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret, polis akan menyerahkan IPO tersebut kepada pendera dalam tempoh 7 hari.
 
Memohon Perintah Perlindungan (PO)

Apabila siasatan polis selesai, IPO tidak lagi boleh diguna pakai. Jika pelaku dituduh di mahkamah dengan kesalahan keganasan rumah tangga, mahkamah boleh mengeluarkan Perintah Perlindungan (PO – Protection Order) untuk perlindungan mangsa.

  1. Anda perlu membuat permintaan tersebut kepada IO dan Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
  2. Syarat atau peruntukan tambahan boleh dimasukkan dalam PO, seperti menghalang pendera daripada memasuki rumah anda atau tempat kerja anda, atau menjaga jarak sekurang-kurangnya 50 meter daripada anda. PO boleh memberi perlindungan maksima kepada anda sehingga setahun.
  3. Jika PO dilanggar, anda patut membuat laporan kepada polis dengan segera.

Mendapatkan Bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) boleh membantu mangsa keganasan rumah tangga melalui beberapa cara. Sekiranya anda membuat aduan dengan JKM, mereka akan:

  • memberikan anda kaunseling,
  • menggalakkan anda untuk membuat laporan polis,
  • menggalakkan anda untuk dapatkan pemeriksaan perubatan di Pusat Krisis Bersepadu (OSCC – One Stop Crisis Centre) di hospital kerajaan jika perlu,
  • membantu anda dengan permohonan IPO,
  • membantu anda dengan permohonan PO jika pendera dituduh,
  • mengeluarkan Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO – Emergency Protection Order),
  • menyediakan tempat perlindungan sementara jika perlu,
  • menyediakan bantuan kewangan jika perlu, dan/atau
  • merujuk anda ke agensi yang berkaitan untuk tujuan tertentu.
 
Bantuan dengan permohonan Perintah Perlindungan Interim (IPO)
  1. Dengan surat rujukan untuk IPO daripada polis, Pegawai Kebajikan Masyarakat akan membantu anda untuk memohon IPO di Mahkamah Majistret.
  2. Pegawai Kebajikan Masyarakat akan membuat temu janji untuk ke Mahkamah Majistret bersama dengan anda untuk memohon IPO.
  3. Di Mahkamah Majistret, anda akan ditemu bual oleh majistret tentang kes anda.
  4. Sekiranya pihak Mahkamah Majistret berpuas hati bahawa anda memang memerlukan IPO, majistret akan mengeluarkan IPO kepada anda. Setiap agensi yang terlibat (seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan polis) juga akan menerima satu salinan IPO, dan polis akan serahkan sesalinan IPO kepada pendera.
  5. Jika pendera terus mengganggu anda, anda boleh membuat satu lagi laporan polis dan meminta IO untuk mengambil tindakan selanjutnya. Jika IPO masih sah, maka tindakan boleh diambil terhadap pendera kerana melanggar IPO atau ingkar perintah Mahkamah. Sekiranya Perintah Perlindungan Interim (IPO) anda dilampirkan dengan kuasa penangkapan, Pegawai Penyiasat boleh mengambil tindakan segera dengan menangkap pendera. Dalam proses memohon untuk IPO, adalah dinasihatkan untuk meminta majistret untuk kuasa penangkapan dilampirkan kepada IPO. Anda boleh bertanya dengan Pegawai Kebajikan Masyakarat anda mengenai perkara ini.
 
Pengeluaran Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO)
  1. Jika anda memerlukan perlindungan dengan segera, anda perlu maklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang terdekat.
  2. Pegawai Kebajikan Masyarakat yang diberi kuasa akan menemu bual anda, mengisikan borang yang berkaitan, dan mengeluarkan Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO – Emergency Protection Order) kepada anda. Laporan polis tidak diperlukan dalam permohonan EPO.
  3. Setiap EPO akan sah untuk 7 hari sahaja dan tidak boleh diperbaharui. Anda boleh buat keputusan untuk tindakan seterusnya dalam tempoh 7 hari tersebut. Fungsi EPO adalah sama seperti IPO dan PO, dan jika dilanggar pendera boleh dihukum.

Mendapatkan Bantuan Perubatan daripada Hospital Kerajaan

  1. Jika anda cedera, sila pergi ke Jabatan Kecemasan hospital kerajaan terdekat untuk rawatan perubatan. Anda akan dirawat dalam bilik persendirian dipanggil Pusat Krisis Bersepadu (OSCC – One Stop Crisis Centre)*.
  2. Jika terdapat kaunter atau pondok polis, anda perlu memaklumkan kepada pegawai polis yang anda adalah mangsa keganasan rumah tangga yang mendapatkan rawatan perubatan. Polis akan memberikan anda Borang 59 untuk doktor catatkan kecederaan yang dialami oleh mangsa.
  3. Pihak hospital akan menyediakan laporan perubatan, iaitu dokumen rasmi untuk kecederaan yang dialami. Ia adalah rekod perubatan yang boleh digunakan sebagai bukti dalam mahkamah sekiranya kes tersebut dibawa ke mahkamah.
*OSCC disediakan di semua hospital kerajaan di seluruh negara. Di Pulau Pinang, terdapat enam OSCC di hospital besar dan daerah. Apabila mangsa pergi ke OSCC, dia boleh mendapatkan bantuan daripada polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Kesedaran Wanita (WCC) yang bekerjasama dengan hospital-hospital di Pulau Pinang.

Mendapatkan Bantuan daripada Jabatan Agama Islam

Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 terpakai untuk semua orang, termasuk mereka yang beragama Islam dan bukan Islam.

  1. Jika anda beragama Islam dan terpaksa meninggalkan rumah anda untuk keselamatan, anda mesti memaklumkan Jabatan Agama Islam yang anda telah meninggalkan kediaman suami isteri dan sebab anda melakukannya.
  2. Keselamatan dan kesejahteraan anda adalah diutamakan. Anda boleh membuat aduan kepada Jabatan Agama Islam setelah membuat laporan polis, atau selepas anda menjalani pemeriksaan perubatan. Jabatan Agama Islam akan merekod aduan anda dan menghubungi pendera untuk tujuan kaunseling pasangan untuk pendamaian, jika perlu.

Mendapatkan Bantuan daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO)

Hubungi mana-mana organisasi wanita seperti WCC untuk bantuan. Kami memberi kaunseling segera kepada mangsa yang sedang melalui krisis.

  1. Pegawai sosial kami boleh menemani anda ke balai polis, hospital, dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jika perlu. Jika kes masuk mahkamah, kami akan memberi sokongan di mahkamah.
  2. Kami boleh menyediakan tempat perlindungan sementara untuk anda dan anak-anak anda.

Pelan Keselamatan: Meninggalkan Pasangan yang Ganas

Jika anda berasa keselamatan anda dan anak-anak anda terancam, rancang sekarang untuk suatu jalan keluar kecemasan. Keselamatan anda dan juga anak-anak anda adalah perkara yang paling penting. Sekiranya anda berada dalam situasi keganasan rumah tangga, adalah perlu untuk anda:

  1. Memastikan anda mempunyai nombor telefon penting untuk anda dan anak-anak anda hubungi seperti polis, saudara, rakan, dan NGO wanita tempatan.
  2. Kawan atau jiran yang anda boleh maklumkan tentang penderaan. Minta mereka memanggil polis jika mereka mendengar bunyi yang tidak menyenangkan daripada keganasan yang berlaku.
  3. Anda perlu tahu bagaimana untuk keluar dari rumah anda dengan selamat. Berlatih untuk mencari cara untuk keluar.
  4. Memastikan apa-apa objek atau senjata berbahaya dari rumah dapat dibuang atau dihapuskan.
  5. Walaupun anda tidak merancang untuk keluar, fikirkan di mana anda boleh pergi. Fikirkan bagaimana anda boleh pergi ke tempat yang selamat. Menyiapkan beg untuk keluar dari rumah lebih awal (lihat senarai semak di bawah). Sembunyikan beg tersebut di mana ia mudah untuk anda dapatkan.
  6. Menyusun lebih banyak pelan keselamatan untuk diri anda.
 
Senarai Semak Pelan Keselamatan

Sekiranya anda mempertimbangkan meninggalkan pendera dan rumah anda, fikirkan tentang:

  1. Dua tempat yang anda boleh pergi jika anda meninggalkan rumah anda.
  2. Bagaimana anda boleh membawa anak-anak anda dengan selamat. Ada kalanya apabila membawa anak-anak anda bersama anda, boleh membahayakan nyawa anda. Anda perlu melindungi diri anda supaya dapat melindungi anak-anak anda.
  3. Meletakkan satu beg yang anda gunakan setiap hari. Sembunyikan di mana ia mudah untuk anda dapatkan.
  4. Orang yang boleh membantu anda jika anda meninggalkan rumah anda. Fikirkan tentang orang yang akan menyimpan beg untuk anda. Fikirkan tentang orang yang mungkin memberi pinjaman kewangan kepada anda.
  5. Membuka akaun bank atau mendapatkan kad kredit baru dan anda sebagai penama.

Sekiranya anda dan anak-anak anda merasa terancam dan anda perlu meninggalkan rumah, ingatlah petua-petua ini. Simpan beg keperluan di tempat yang selamat dan tersembunyi di mana pendera tidak dapat menemuinya, seperti:

  • Kad pengenalan, sijil kelahiran, lesen memandu, sijil perkahwinan, sijil sekolah
  • Wang tunai, barang kemas, buku bank, kad ATM, kad kredit, pasport, polisi insurans
  • Pakaian dan kasut
  • Telefon bimbit, telefon dan buku alamat/butiran penting
  • Kunci – rumah, kereta, pejabat, peti deposit keselamatan

Sediakan pelan sekiranya anda terpaksa meninggalkan rumah secara tiba-tiba. Sekiranya pintu rumah dikunci, pastikan anda mempunyai kunci rumah pendua untuk keluar dari rumah. Simpan nombor telefon penting dengan anda pada setiap masa. Ini termasuk keluarga dekat, kawan, polis dan hospital. Pertimbangkan adakah ketika itu adalah masa terbaik untuk pergi.

Rancang dengan teliti untuk membawa anak-anak anda dengan anda sekiranya anda membuat keputusan untuk pergi terutama jika mereka masih muda. Jika anda pergi tanpa mereka, anda mungkin tidak mempunyai akses mudah kepada mereka selepas itu. Kadang kala pasangan anda boleh memaksa anda untuk kembali menggunakan anak-anak sebagai alasan.

Jika anda telah meninggalkan pendera anda, fikirkan mengenai:

  • Mendapatkan Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan membuat laporan polis terhadap pendera.
  • Mendapatkan Perintah Perlindungan Interim (IPO) dari mahkamah. Simpan salinan dengan anda sepanjang masa.
  • Menukar kunci di rumah anda.
  • Memberitahu rakan sekerja, sahabat dan jiran bahawa pendera anda tidak lagi hidup sebumbung dengan anda.
  • Memberitahu orang yang menjaga anak anda nama orang yang dibenarkan untuk menjemput mereka. Jika anda mempunyai IPO yang melindungi anak-anak anda, berikan guru dan pengasuh mereka salinannya.
  • Memberitahu seseorang di tempat kerja tentang apa yang telah berlaku. Minta untuk pejabat menapis panggilan anda. Fikirkan dan amalkan pelan keselamatan untuk tempat kerja anda. Gunakan pelbagai laluan untuk pulang ke rumah, jika boleh.
  • Tidak melawat kedai-kedai yang sama yang anda lakukan semasa anda berada bersama pendera.

Soalan Lazim

Adakah pasangan saya akan dipenjarakan jika saya membuat laporan polis?
Di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994, keganasan rumah tangga adalah suatu jenayah. Tujuan laporan polis anda adalah untuk memfailkan aduan rasmi mengenai keganasan pasangan anda dan tidak segera memasukkannya ke penjara. Apabila anda membuat laporan polis, Pegawai Penyiasat akan berjumpa dengan anda untuk merekodkan keterangan anda berdasarkan laporan polis anda. Kemudian, Pegawai Penyiasat akan menghubungi pasangan anda untuk mengambil keteranganya. Setelah siasatan selesai proses tersebut, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pula akan memutuskan sama ada untuk mendakwa pasangan anda berdasarkan keganasannya dan bukti yang dikumpulkan. Hanya sekiranya pasangan anda didapati bersalah oleh mahkamah, dia akan dipenjarakan.

Bagaimana jika polis enggan mengambil laporan saya?
Tiada pegawai polis boleh menolak mana-mana orang daripada membuat laporan di mana-mana balai polis. Sekiranya berlaku kepada anda, anda boleh mengadu kepada Ketua Balai Polis di balai polis itu sendiri.

Bolehkah saya menghubungi polis jika saya dikurung oleh suami saya?
Ya, anda boleh. Telefon 999 dan mereka akan mengarahkan panggilan anda ke balai polis terdekat. Beritahu polis alamat rumah anda dan mereka akan segera menghantar pegawai polis ke rumah anda. Sekiranya pasangan anda berada ketika polis tiba, beranikan diri memberitahu polis bahawa anda memerlukan pertolongan. Kemudian, ikut pegawai polis ke balai polis dan anda mungkin secara rasmi membuat laporan polis terhadap pasangan anda kerana mengurung anda di dalam rumah anda.

Bolehkah saya membuat laporan polis terhadap pasangan saya dan memaklumkan pihak polis supaya tidak mengambil sebarang tindakan?
Boleh. Laporan itu boleh dibuat untuk keselamatan dan juga disimpan sebagai rekod penderaannya terhadap anda.

Saya ingin membuat laporan polis tetapi saya tidak fasih dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris, apa boleh saya boleh lakukan?
Anda perlu memberitahu kepada Pegawai Polis yang bertugas di kaunter aduan di balai polis. Mereka akan menyediakan seorang penterjemah atau meminta orang yang menemani anda ke balai polis untuk menjadi terjemah jika fasih dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris. Anda boleh meminta ahli keluarga atau rakan-rakan yang fasih Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris untuk menemani anda dan membantu dalam penterjemahan.

Saya didera secara mental dan emosi, tetapi bukan secara fizikal. Bolehkah saya membuat laporan polis?
Penderaan emosi adalah salah satu jenis keganasan rumah tangga di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. Oleh itu, anda mempunyai hak untuk membuat laporan polis. Anda juga boleh mendapatkan laporan penilaian daripada pakar psikiatri sebagai bukti penderaan emosi telah memberi kesan negatif kepada kesihatan mental anda, untuk menyokong laporan polis anda.

Sekiranya teman lelaki saya memukul saya, bolehkah saya membuat laporan polis?
Ya, anda boleh membuat laporan polis untuk serangan. Walau bagaimanapun, Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 tidak meliputi hubungan ini, tetapi dia boleh didakwa di bawah Kanun Keseksaan.

Bolehkah saya mendapatkan perintah perlindungan tanpa membuat laporan polis. Saya masih mempertimbangkan samada untuk membuat laporan polis terhadap suami saya yang mendera?
Jika anda berkemungkinan untuk didera secara fizikal atau telah didera secara fizikal, anda boleh memohon untuk Perintah Perlindugan Kecemasan (EPO, Emergency Protection Order) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di daerah anda tanpa membuat laporan polis. EPO akan dikeluarkan oleh pegawai JKM yang diberi kuasa dalam tempoh masa 24 jam. EPO sah untuk 7 hari dan tidak boleh diperbaharui.

Bolehkah saya memohon untuk Perintah Perlindungan Interim (IPO) walaupun perkahwinan saya bersama dengan pendera tidak berdaftar?
Ya, anda boleh memohon untuk IPO. Anda perlu membawa bukti perkahwinan anda, seperti gambar, kepada agensi untuk menunjukkan yang anda telah menjalani suatu upacara perkahwinan bersama dengan pendera.

Bagaimana jika pasangan saya menyakitkan atau mengancam saya setelah saya memperoleh Perintah Perlindungan Interim?
Anda perlu membuat laporan polis dan menghubungi Pegawai Penyiasat polis dengan segera. Sekiranya Perintah Perlindungan Interim (IPO) anda dilampirkan dengan kuasa penangkapan, Pegawai Penyiasat boleh mengambil tindakan segera dengan menangkapnya. Dalam proses memohon untuk IPO, adalah dinasihatkan untuk meminta majistret untuk kuasa penangkapan dilampirkan kepada IPO. Anda boleh bertanya dengan Pegawai Kebajikan Masyakarat anda mengenai perkara ini.

Bagaimanakah saya dapat mengambil barangan saya selepas meninggalkan rumah?
Selepas anda membuat laporan polis, beritahu Pegawai Penyiasat polis bahawa anda perlu mengambil barang-barang milik anda. Mereka akan mengarahkan seorang pegawai polis untuk menemani anda ke rumah anda untuk mengambil barang-barang anda. Anda juga boleh ditemani pegawai kebajikan juga.

Ke manakah saya boleh pergi jika keganasan berlaku pada waktu malam dan saya tidak mempunyai sesiapa untuk memberi perlindungan pada masa tersebut?
Anda boleh pergi ke hospital kerajaan terdekat di Jabatan Kecemasan. Beritahu jururawat kakitangan yang bertanggungjawab mengenai keadaan kecemasan anda dan bahawa anda memerlukan tempat yang selamat untuk bermalam. Jururawat akan menguruskan bilik untuk anda. Anda boleh menghubungi WCC atau mana-mana NGO lain untuk membantu keesokan harinya.

Jika saya meninggalkan rumah saya, adakah saya mempunyai hak untuk mengambil anak-anak saya?
Kedua-dua ibu dan bapa mempunyai hak penjagaan yang sama ke atas anak-anak. Anda mempunyai hak untuk membawa mereka bersama anda apabila anda meninggalkan rumah anda. Ini penting jika anda takut bahawa pasangan anda mungkin mendera anak anda atau mereka masih muda dan pasangan anda mungkin tidak dapat menjaga mereka.

Sebagai seorang Islam, jika saya dipukul oleh suami saya, bagaimana caranya saya meninggalkan rumah saya tanpa dituduh nusyuz?
Anda boleh pergi ke Jabatan Agama Islam untuk membuat aduan tentang penderaan. Anda perlu memberitahu Ustaz bahawa anda telah meninggalkan rumah untuk mencari tempat yang lebih selamat. Lebih baik jika anda mempunyai laporan polis mengenai kejadian penderaan yang berlaku kepada anda.

Apa yang menghentikan mangsa-mangsa untuk meninggalkan pendera mereka?
Terdapat banyak faktor yang mengakibatkan mangsa tidak dapat lari atau meninggalkan suatu perhubungan yang ganas. Sebagai contoh, kebergantungan kewangan, kurang sokongan daripada keluarga atau rakan-rakan, dan anak-anak. Kadang kala, mangsa masih mempunyai harapan yang tinggi bahawa pendera akan berubah. Oleh itu, ianya bukan senang untuk mangsa meninggalkan perhubungan yang ganas.

Rujuk bukuposter dan risalah serta video mengenai Keganasan Rumah Tangga.

Kembali ke laman utama Keganasan Rumah Tangga.