Apa itu Penderaan Seksual Kanak-kanak?

Penderaan seksual kanak-kanak adalah satu perbuatan yang mempergunakan kanak-kanak untuk kepuasan seksual oleh orang dewasa atau yang lebih tua. Ianya dipanggil sumbang mahram jika hubungan seksual berlaku di antara ahli keluarga seperti bapa, abang atau adik lelaki, datuk, bapa saudara, dan saudara-mara lain seperti yang ditetapkan dalam undang-undang.

Sentuhan kasih sayang antara seorang dewasa dan kanak-kanak tidak seharusnya dikelirukan dengan sentuhan yang bertujuan mendera kanak-kanak secara seksual. Seorang dewasa yang bertanggungjawab akan mengehadkan sentuhan mereka dengan seorang kanak-kanak, menghormati kanak-kanak tersebut disamping mengekalkan hubungan yang sihat dan mesra.

Menurut statistik parlimen, pada tahun 2017, daripada jumlah 1,535 kes rogol yang dilaporkan, 80% daripada mangsa adalah kanak-kanak, dibawah umur 18 tahun. Kebanyakan pesalah atau pendera biasanya orang yang dikenali oleh kanak-kanak seperti bapa, bapa tiri, datuk, saudara mara, guru dan jiran.

Penderaan seksual kanak-kanak boleh berlaku kepada mana-mana kanak-kanak, tanpa mengira jantina. Seorang kanak-kanak yang didera secara seksual akan merasakan bahawa kehidupan mereka berbeza dengan kanak-kanak lain. Mereka akan mengalami pelbagai emosi yang berbeza termasuklah:

Takut
  • kepada pendera
  • menimbulkan masalah
  • kehilangan orang dewasa yang mereka sayangi
  • dibawa keluar dari rumah
  • โ€œberbezaโ€ dengan orang lain
Marah
  • kepada pendera
  • kepada orang dewasa di sekeliling mereka yang tidak melindungi mereka
  • kepada diri mereka sendiri (kejadian berlaku disebabkan mereka sendiri)
Mengasingkan diri
  • kerana merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada diri mereka
  • kerana merasakan mereka terpaksa menghadapi masalah ini seorang diri
  • kerana sukar untuk menceritakan tentang penderaan yang dialami
Sedih
  • kerana sesuatu telah diambil daripada mereka
  • kerana kehilangan sebahagian daripada diri mereka
  • kerana mereka matang terlalu awal
  • kerana mereka dikhianati oleh seseorang yang mereka percaya
Rasa Bersalah
  • kerana mereka tidak dapat menghentikan penderaan ini
  • kerana percaya bahawa mereka yang โ€œmembenarkanโ€ penderaan ini
  • kerana merahsiakan perkara ini
Malu
  • kerana terlibat dalam penderaan ini
  • dengan reaksi tubuh badan mereka setelah penderaan berlaku
Keliru
  • kerana mereka masih menyayangi pendera
  • kerana perasaan mereka kerap berubah

Mengenalpasti Tanda-tanda Penderaan Seksual Kanak-kanak

Seorang kanak-kanak yang didera secara seksual akan menunjukkan tanda atau simptom penderaan. Ia mungkin ditunjukkan secara langsung atau tidak langsung. Anda mungkin mengalami kesukaran untuk mengenal pasti kanak-kanak yang didera secara seksual jika mereka tidak memberitahu anda secara langsung. Perhatikan tingkah laku mereka jika anda mengesyaki kanak-kanak tersebut didera secara seksual.

Tanda-tanda fizikal:
  • Gatal-gatal atau kemerahan pada kemaluan atau dubur
  • Sakit atau kecederaan kemaluan atau dubur
  • Sakit ketika membuang air kecil
  • Keputihan atau lelehan dari faraj / zakar
  • Sakit perut
  • Penyakit kelamin
  • Kehamilan
Tanda-tanda tingkah laku:
  • Suka berpaut/menghisap jari
  • Mengasingkan diri
  • Terbuang air kecil di tempat tidur yang tidak bersesuaian dengan umur
  • Ponteng sekolah/prestasi menurun di sekolah
  • Menyalahgunakan arak dan dadah
  • Melancap dengan berlebihan
  • Tingkah laku menggoda/pengetahuan dan aktiviti seksual tidak sesuai untuk umur
  • Percubaan bunuh diri
Tanda-tanda psikologi:
  • Sakit kepala/sakit perut
  • Sakit dada/keletihan
  • Insomnia (sukar tidur)
  • Sering menangis/ketakutan yang tidak menentu/ Histeria
  • Hilang selera makan
  • Kurang tumpuan
  • Kurang keyakinan diri

Jenis-jenis Penderaan Seksual Kanak-kanak

Penderaan seksual kanak-kanak boleh berlaku melalui pelbagai cara. Ini termasuklah:
Secara fizikal
  • Mencabul seorang kanak-kanak (contohnya, menyentuh payudara, faraj atau dubur kanak-kanak, menyuruh kanak-kanak menyentuh badannya sendiri atau badan pendera untuk kepuasan seksual, dll)
  • Melakukan hubungan seks melalui faraj atau dubur atau percubaan melakukan hubungan seks
  • Melakukan seks oral atau percubaan melakukan seks oral
  • Mempergunakan kanak-kanak melalui pelacuran dan/atau pornografi
Bukan fizikal
  • Menunjukkan pornografi kepada kanak-kanak
  • Mendedahkan diri mereka kepada kanak-kanak
  • Berkomunikasi secara seksual dengan kanak-kanak atau menggalakkan kanak-kanak berkomunikasi secara seksual (secara langsung atau dalam talian)
  • Menggalakkan kanak-kanak untuk melakukan perlakuan seksual
  • Melakukan perlakuan seks di hadapan kanak-kanak
  • Mengambil gambar kanak-kanak dalam gaya seksual

Pengantunan Kanak-kanak

Pengantunan kanak-kanak adalah perbuatan yang dilakukan oleh seorang dewasa dengan berkawan dan menjalinkan perhubungan rapat dengan kanak-kanak dengan niat untuk mempergunakan kanak-kanak tersebut untuk tujuan seksual. Ini merupakan proses di mana seorang dewasa cuba mendapatkan akses untuk mendekati kanak-kanak dengan mendapatkan kepercayaan daripada kanak-kanak dan ahli keluarganya.

Pengantunan boleh berlaku sama ada dalam realiti atau melalui dalam talian. Secara realiti, seorang dewasa akan cuba mendapatkan kepercayaan daripada kanak-kanak dan ahli keluarganya supaya dia tidak akan dituduh atas sebarang dakwaan penderaan seksual. Contohnya, dia secara sukarela membantu keluarga tersebut dari segi bantuan kewangan, menawarkan diri untuk mengasuh kanak-kanak, memberikan hadiah dan wang kepada kanak-kanak sebagai pertukaran untuk perhubungan seksual serta mula untuk menunjukkan bahan-bahan berunsur pornografi kepada kanak-kanak, dan lain-lain.

Manakala pengantunan melalui dalam talian pula berlaku dengan cara pendera tersebut akan berkomunikasi dengan kanak-kanak melalui sosial media untuk berkawan atau berpura-pura menjadi kawan bagi membentuk kepercayaan dalam perhubungan. Kadang kala, mereka akan membuat profil palsu untuk berkawan dan menunjukkan mereka seorang yang berbeza kepada kanak-kanak, berbual dengan kanak-kanak dan membuat temujanji untuk berjumpa dengan kanak-kanak.

Dengan penggubalan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, kini pengantunan kanak-kanak merupakan satu kesalahan jenayah dan boleh dikenakan tindakan undang-undang. (Rujuk Bahagian Undang-undang di Malaysia)

Rujuk buku, poster dan risalah serta video mengenai Penderaan Seksual Kanak-Kanak.

Kembali ke laman utama Penderaan Seksual Kanak-Kanak.