Mitos & Realiti

 

Mitos:  Penderaan seksual hanya berlaku kepada anak orang lain.
Realiti: Sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa tanpa mengira kelas sosio-ekonomi, jantina, atau agama.

Mitos: Pendera adalah orang yang berbahaya, pelik atau orang jahat.
Realiti: Kebanyakan pendera dikenali oleh mangsa sendiri (seperti bapa, adik-beradik, rakan-rakan, saudara-mara, jiran, guru dan lain-lain)

Mitos: Penderaan seksual terhadap kanak-kanak biasanya menggunakan keganasan.
Realiti: Keganasan jarang digunakan. Kebanyakan pendera menggunakan proses pengantunan, memberikan kanak-kanak hadiah atau mengancam keselamatannya atau keselamatan orang yang disayanginya. Pendera juga akan meyakinkan mangsa kanak-kanak bahawa tiada sesiapa yang akan mempercayai mereka. Kanak-kanak sering diajar untuk mematuhi orang yang berkuasa (orang dewasa) tanpa persoalan dan menjadikan mereka mangsa penderaan seksual yang rentan (vulnerable).

Mitos: Kanak-kanak berbohong tentang penderaan seksual atau membayangkan ia berlaku.
Realiti: Jarang sekali untuk kanak-kanak berbohong tentang penderaan seksual. Lebih kerap, seorang kanak-kanak boleh menarik balik atau mengurangkan pendedahan sebelumnya kerana panik, ketidakselesaan, atau tekanan keluarga.

Mitos: Pendera seksual kanak-kanak biasanya homoseksual.
Realiti: Sebilangan besar pendera seksual kanak-kanak adalah heteroseksual.

Mitos: Penderaan seksual terjadi apabila ada hubungan seks (kemasukan zakar ke dalam faraj). Jika tiada hubungan seks, maka tiadalah penderaan seksual.
Realiti: Sebarang penderaan seksual, samada hubungan seks yang lengkap atau tidak lengkap, boleh membawa kesan trauma yang sama kepada kanak-kanak.  Kanak-kanak akan berasa tidak berdaya, marah, bersalah, malu, dan keliru.

Mitos: Pesalah boleh dipercayai jika mereka berjanji tidak akan melakukan perbuatan mereka lagi.
Realiti: Pesalah tidak akan menghentikan perbuatan mereka kecuali mereka mendapatkan bantuan. Pesalah sumbang mahram cenderung untuk mengehadkan kelakuan seksual mereka dalam keluarga sahaja, namun tetapi ada juga yang mencari mangsa di luar keluarga mereka. Mereka harus dipaksa untuk mendapatkan bantuan profesional.

Mitos: Jika sesuatu “seperti itu” berlaku, ibu mangsa sentiasa tahu.
Realiti: Kebanyakan ibu tidak tahu mengenai penderaan seksual tersebut, malah menyalahkan diri mereka kerana tidak mengetahui selepas pendedahan dibuat. Malah, terdapat juga kes-kes dimana ibu menyedari penderaan itu tetapi disebabkan takut kepada suami mereka, mereka tidak mendedahkan perkara tersebut.

Rujuk buku, poster dan risalah serta video mengenai Penderaan Seksual Kanak-Kanak.

Kembali ke laman utama Penderaan Seksual Kanak-Kanak.