Mendapatkan Bantuan

Jika anda tahu tentang mana-mana kanak-kanak yang didera secara seksual, anda boleh membantu dengan mengikuti langkah-langkah berikut:

Bagaimanakah Saya Boleh Membantu Seseorang Kanak-Kanak Yang Didera Secara Seksual?

  • Bertenang dan yakin.
  • Percaya kepada mangsa kanak-kanak dan beritahu perkara tersebut kepada mereka. Kanak-kanak jarang berbohong tentang penderaan seksual.
  • Dengar tetapi jangan beri tekanan untuk mendapatkan maklumat.
  • Bersabar dan gunakan bahasa yang difahami oleh kanak-kanak.
  • Benarkan kanak-kanak meluahkan perasaannya.
  • Beri jaminan kepada bahawa perkara yang berlaku itu bukan salahnya.
  • Jangan cuba untuk berhadapan dengan pendera sendirian.
  • Lindungi kanak-kanak tersebut daripada penderaan selanjutnya.
  • Dapatkan rawatan di mana-mana hospital kerajaan dengan segera untuk kanak-kanak tersebut.
  • Laporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau polis di daerah anda.
  • Bantu kanak-kanak itu untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.
  • Teruskan untuk memberi sokongan dan jaminan.
 

Melaporkan tentang Penderaan Seksual Kanak-kanak

 

Mendapatkan Bantuan daripada Polis

Dengan penggubalan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, ianya adalah wajib untuk membuat laporan polis berkenaan kes penderaan seksual kanak-kanak. Jika tidak, anda boleh dikenakan hukuman.

Tugas polis adalah untuk menyiasat laporan yang dibuat dan mengumpulkan bukti untuk pertuduhan suspek.

  1. Seorang dewasa perlu menemani kanak-kanak yang didera atau disyaki didera ke balai polis untuk membuat laporan polis. Laporan polis boleh dibuat di mana-mana balai polis, tanpa mengira tempat kejadian. Orang dewasa seperti ibu/bapa/penjaga atau mana-mana orang dewasa yang dipercayai (saudara-mara, guru) atau pegawai kebajikan.
  2. Untuk laporan polis, berikut adalah maklumat yang diperlukan:
    • Bila: Bila kejadian berlaku? – Tarikh dan masa kejadian
    • Mana: Dimanakah ia berlaku? – Lokasi kejadian
    • Apa dan Bagaimana: Apa kejadian tersebut, bagaimana ia berlaku dan berapa kali berlaku? – Maklumat tentang kejadian
    • Siapa: Siapa yang terlibat dan siapakah pendera itu?
    • Kesan: Apakah kesan terhadap mangsa selepas kejadian? Lebam, cedera, dll
    • Kenapa: Kenapa laporan dibuat? Untuk perlindungan terhadap pendera, untuk tindakan polis, dll.
  3. Seorang Pegawai Penyiasat (IO – Investigating Officer) daripada Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) di balai polis daerah tersebut akan ditugaskan untuk membuat penyiasatan, termasuk mengambil keterangan daripada pengadu dan membawa kanak-kanak ke Jabatan Kecemasan di hospital kerajaan.
  4. Di Jabatan Kecemasan di hospital kerajaan, kanak-kanak akan dirawat di bilik persendirian dikenali sebagai Pusat Krisis Bersepadu (OSCC –One Stop Crisis Centre) bersama dengan kehadiran IO. IO akan melakukan siasatan lanjut berdasarkan laporan polis (contohnya, mengambil keterangan daripada pihak yang terlibat termasuk suspek, pergi ke tempat kejadian untuk mengumpulkan bukti, dll)
  5. Suspek tersebut boleh direman semasa siasatan dijalankan.
  6. IO tersebut akan menyerahkan hasil penyiasatan kepada Pejabat Pendakwaan Negeri untuk memutuskan sama ada untuk menuduh atau tidak menuduh suspek untuk jenayah yang dilaporkan. Jika terdapat bukti yang mencukupi, suspek tersebut akan didakwa di mahkamah. Jika tidak, suspek akan dilepaskan.
  7. Bagi kanak-kanak yang tidak dapat menerangkan penderaan, Pusat Temuduga Kanak-Kanak (Child Interview Centre, CIC) akan diaturkan oleh IO. CIC menyediakan ruang mesra kanak-kanak di mana mangsa penderaan boleh berkongsi cerita mereka dengan selamat semasa proses penyiasatan.
 

Mendapatkan Bantuan daripada Hospital Kerajaan

  1. Anda boleh terus membawa kanak-kanak ke kaunter pendaftaran di Jabatan Kecemasan di mana-mana hospital kerajaan tanpa perlu pergi ke balai polis.
  2. Anda perlu membuat laporan polis di pondok polis di hospital sebelum sebarang rawatan dilakukan terhadap kanak-kanak tersebut.
  3. Kanak-kanak tersebut akan dibawa ke bilik khas dikenali sebagai Pusat Krisis Bersepadu (OSCC –One Stop Crisis Centre) untuk rawatan kesihatan dan pemerhatian. Rawatan awal akan diberikan jika terdapat lebam atau kecederaan.
  4. Pasukan SCAN (Penderaan dan Pengabaian Kanak-kanak yang Disyaki)* dari hospital akan memeriksa kanak-kanak tersebut. Pemeriksaan, pengambilan darah, dan semua pengumpulan spesimen akan dilakukan di OSCC. Bukti yang dikumpul akan diserahkan kepada polis untuk penyiasatan. Selepas pemeriksaan di OSCC, kanak-kanak akan dimasukkan ke wad pediatrik atau ginekologi.
  5. Laporan pemeriksaan akan dihantar ke wad untuk doktor mengambil tindakan selanjutnya. Doktor akan merujuk kanak-kanak tersebut kepada pekerja sosial perubatan dan psikiatri kanak-kanak untuk kaunseling. Kanak-kanak juga akan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan NGO. Semasa kanak-kanak berada di wad, mereka akan menerima perhatian dari segi perubatan dan kaunseling. Apabila kanak-kanak telah sihat dan dibenarkan pulang, Pegawai Kebajikan Daerah bertanggungjawab untuk memastikan kanak-kanak tersebut ditempatkan di rumah yang selamat jika pendera tersebut tinggal di rumah yang sama.

*Setiap hospital kerajaan mempunyai Pasukan Penderaan dan Pengabaian Kanak-kanak yang Disyaki atau Suspected Child Abuse and Neglect (SCAN) Team yang akan memantau kes penderaan seksual kanak-kanak. Kumpulan tersebut merangkumi pakar kanak-kanak, pakar sakit puan, pekerja sosial perubatan, psikatrik termasuk juga doktor-doktor dan jururawat daripada Pusat Krisis Bersepadu (OSCC) Jabatan Kecemasan.

Mendapatkan Bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)

Anda boleh melaporkan kes kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Pegawai Pelindung Kanak-kanak dari JKM akan memastikan keselamatan dan kebajikan kanak-kanak tersebut.

  1. Jika kes penderaan seksual kanak-kanak dilaporkan kepada JKM, selepas menerima laporan, Pegawai Pelindung Kanak-kanak akan membawa kanak-kanak tersebut ke OSCC di Jabatan Kecemasan di hospital kerajaan untuk mendapatkan rawatan kesihatan. Pegawai Pelindung Kanak-kanak atau penjaga kanak-kanak perlu membuat laporan polis di pondok polis.
  2. Kanak-kanak akan dimasukkan ke dalam wad di hospital untuk pemeriksaan kesihatan. Selepas discaj, Pegawai Pelindung Kanak-kanak, dengan Perintah Mahkamah, boleh melakukan lawatan ke rumah kanak-kanak untuk memastikan keselamatan kanak-kanak. Mereka juga akan memberikan kaunseling kepada kanak-kanak dan ibu bapa kanak-kanak tersebut, sekiranya perlu.
 

Bagaimana Saya Boleh Mencegah Penderaan Seksual Kanak-kanak?

 
Lindungi anak anda

Sentiasa berwaspada apabila meninggalkan anak anda. Pendera biasanya berada dalam kalangan ahli keluarga dan/atau kenalan anda. Orang yang tidak dikenali jarang menjadi pendera.

Ianya adalah mitos untuk menganggap bahawa penderaan seksual kanak-kanak dilakukan oleh orang yang tidak dikenali. Malah, sesiapa sahaja yang mempunyai akses kepada kanak-kanak boleh melakukannya. Melalui 90% kes yang dilaporkan, pesalah adalah seseorang yang dikenali oleh kanak-kanak. Penting untuk anda mengajar anak anda untuk mengenali sesuatu perbuatan penderaan dan memberitahu orang dewasa yang dipercayai secepat mungkin seperti ibu bapa atau guru tentang kejadian tersebut.

Ajari anak anda tentang keselamatan tubuh badan mereka

Kanak-kanak mestilah diajar untuk menyayangi dan menghormati tubuh badan mereka sendiri dan mereka juga perlu diberitahu tentang peraturan mengenai cara orang dewasa boleh menyentuh mereka. Ajar mereka cara untuk mengenali sentuhan yang sesuai dan juga sentuhan yang tidak sesuai. Kanak-kanak biasanya dapat menilai samada sesuatu itu betul atau salah dengan menggunakan perasaan dan mendengar kata hati mereka. Ingatkan kanak-kanak ayat dibawah ini:

“Ini adalah tubuh badan saya. Tubuh badan saya sangat istimewa dan penting. Saya mestilah menghormati dan menjaganya tubuh badan saya!”

Ajar anak anda bahagian tubuh badan yang tidak boleh disentuh orang lain seperti mulut, buah dada, bahagian sulit dan punggung. Bahagian ini adalah miliknya sahaja dan tidak boleh disentuh tanpa kebenarannya. Hanya doktor, jururawat atau ibu boleh menyentuh bahagian tersebut untuk tujuan kesihatan atau perubatan.

Gunakan bahasa yang sesuai untuk bahagian-bahagian tubuh badan

Ajar kanak-kanak menggunakan istilah tubuh badan yang betul seperti zakar, faraj, payudara dan bukannya kata-kata seperti “pek-pek” (faraj), dan “ku-ku” (zakar). Penggunaan perkataan yang betul untuk bahagian-bahagian tubuh badan adalah penting kerana jika seseorang menyentuh bahagian sulit mereka, mereka dapat memberitahu anda perkara yang terjadi.

Ajari anak anda untuk mengikut kata hatinya sendiri

Kanak-kanak boleh belajar untuk mempercayai perasaan mereka tentang orang dan sentuhan. Kata hati secara langsung akan memberitahu mereka apabila ada perkara yang salah. Sentuhan yang membuatkan kanak-kanak berasa keliru dan tidak selesa, itu adalah kata hati yang memberitahu mereka bahawa sentuhan itu tidak baik. Ajar anak anda untuk mempercayai kata hati atau intuisi mereka.

Ajar anak anda untuk berkata “JANGAN!”

Ingatkan kanak-kanak yang mereka mempunyai hak ke atas tubuh badan mereka dan mereka berhak berkata “JANGAN!” kepada sesiapa sahaja yang menyentuh mereka dengan cara yang tidak disenangi. Walaupun orang yang menyentuh mereka itu adalah seseorang yang mereka sayang, percaya dan hormat seperti bapa, adik-beradik lelaki, datuk, pak cik atau sesiapa sahaja. Galakkan kanak-kanak memberitahu anda atau orang dewasa dan kawan yang dipercayai jika mereka disentuh dengan cara yang tidak sesuai.

Ajar anak anda untuk tidak menyimpan rahsia

Terangkan perbezaan rahsia yang baik dan rahsia yang tidak baik. Selalunya pendera akan memberitahu kanak-kanak bahawa “ini adalah rahsia antara kamu dan saya.” Ini menyebabkan mereka mempunyai perasaan bersalah untuk mendedahkan tentang penderaan yang dialami. Ingatkan kanak-kanak berulang kali bahawa rahsia yang membuatkan mereka rasa tidak selesa adalah rahsia yang tidak baik dan mereka mesti memberitahu orang dewasa yang dipercayai.

Soalan Lazim (FAQs)

Siapa yang boleh membuat laporan polis berkenaan kes penderaan seksual kanak-kanak?
Sesiapa sahaja yang mempunyai pengetahuan atau mengesyaki bahawa kanak-kanak didera secara seksual boleh membuat laporan polis.

Bolehkah pengadu kes penderaan seksual kanak-kanak dikenakan saman fitnah atau saman malu?Tidak boleh. Pengadu bagi kes penderaan seksual kanak-kanak dilindungi dibawah Akta Kanak-kanak 2001 daripada sebarang liabiliti untuk fitnah kerana pemberian maklumat berkenaan.

Jika kanak-kanak memberitahu bahawa dia didera secara seksual lama dahulu, bolehkah laporan polis masih boleh dibuat?
Boleh. Anda masih boleh membuat laporan polis tentang kejadian yang telah berlaku lama dahulu. Pihak polis akan menyiasat untuk mengumpulkan bukti. Jika bukti mencukupi, tindakan lanjut akan diambil.

Adakah wajib untuk melaporkan sebarang kes penderaan seksual kanak-kanak?
Ya. Terdapat dua akta yang mewajibkan orang awam untuk melaporkan kes penderaan seksual terhadap kanak-kanak. Pertama adalah Akta Kanak-Kanak 2001, sesiapa sahaja yang percaya bahawa seseorang kanak-kanak didera secara seksual mempunyai kewajipan untuk memaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Kedua adalah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017, anda boleh didenda maksimum RM5,000 untuk kegagalan memberi maklumat kepada pihak polis tentang kes penderaan seksual kanak-kanak.

Bolehkah pengadu kes penderaan seksual kanak-kanak menarik balik laporan polis mereka?
Apabila laporan polis dibuat, pihak polis akan membuka Kertas Siasatan (Investigation Paper – IP) dan menyiasat kes tersebut. Kertas Siasatan tersebut akan dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk membuat keputusan sama ada untuk mendakwa suspek atau tidak. Jika pengadu ingin menarik balik laporan polis, beliau harus memaklumkan kepada pihak polis dan TPR. Hanya TPR mempunyai kuasa untuk memutuskan untuk meneruskan kes walaupun pengadu menarik balik laporan polis mereka.

Adakah ia satu kesalahan jika seorang bapa menunjukkan pornografi kepada anaknya?
Ya, ia adalah satu kesalahan jenayah di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 untuk kesalahan amang seksual bukan fizikal atas seseorang kanak-kanak.

Di bahagian mana di hospital yang akan merawat mangsa penderaan seksual kanak-kanak?
Semua mangsa penderaan seksual kanak-kanak akan dirawat di sebuah unit di bawah Jabatan Kecemasan di semua hospital kerajaan iaitu Pusat Krisis Bersepadu (One Stop Crisis Centre – OSCC). OSCC dibuka 24 jam setiap hari dan merawat kes-kes melibatkan keganasan rumah tangga, penderaan seksual, penderaan kanak-kanak dan pengabaian.

Adakah Akta Kanak-Kanak 2001 digunapakai untuk warganegara dan bukan warganegara?
Akta Kanak-Kanak 2001 terpakai untuk kesemua kanak-kanak yang tinggal di Malaysia.

Adakah ia dianggap sebagai rogol jika berlaku kemasukan zakar ke faraj tanpa ejakulasi?
Ya. Kemasukan zakar ke dalam faraj sudah cukup bagi kesalahan rogol.

Apa itu pengantunan?
Pengantunan (grooming) adalah satu istilah yang digunakan untuk menerangkan proses di mana seorang dewasa cuba untuk mendekati seseorang yang lain dengan niat seksual untuk memperoleh kepercayaan kanak-kanak, rakan-rakan atau ahli keluarga melalui tindakannya. Pengantunan boleh berlaku di dalam realiti dan dalam talian.  Dalam realiti, ia boleh berlaku di rumah, kawasan kejiranan, sekolah, dan lain-lain. Secara dalam talian, pendera akan cuba untuk berkawan atau berpura-pura menjadi kawan kepada mangsa dan menjalinkan satu perhubungan yang dipercayai oleh mereka.

Mengapa kanak-kanak tidak memberitahu ibu bapa tentang penderaan yang berlaku?
Terdapat pelbagai sebab mengapa kanak-kanak tidak serta merta memberitahu ibu bapa tentang penderaan yang berlaku. Selalunya, kanak-kanak akan berasa keliru dan tidak boleh membezakan antara penderaan, pengantunan dan kasih sayang. Selain itu, pendera tersebut mungkin memujuk kanak-kanak untuk menyimpan rahsia dan jika mereka memberitahu orang lain tiada siapa akan percaya. Kadang kala, pendera adalah seseorang yang dikenali dan dipercayai oleh ibu bapa mereka.

Mengapa seorang kanak-kanak mendera secara seksual kanak-kanak lain?
Situasi apabila kanak-kanak yang melakukan penderaan seksual terhadap kanak-kanak lain tidak memberikan jawapan yang jelas dan rumit untuk difahami. Dalam sesetengah kes, berkemungkinan pendera kanak-kanak pernah didera secara seksual atau didedahkan dengan sebarang perlakuan atau bahan berunsur seksual. Ini boleh mendorong mereka kepada perasaan ingin tahu atau praktis perlakuan seksual pada usia yang muda.

Adakah ia dianggap sebagai kesalahan jenayah sekiranya penderaan seksual berlaku di antara anak-anak kecil?
Berdasarkan undang-undang, tidak menjadi kesalahan jika pendera berumur bawah 10 tahun. Akan tetapi, jika pendera kanak-kanak di antara umur 10 hingga 12 tahun dan telah mencapai kematangan untuk menilai akibat daripada tingkah lakunya, maka pendera boleh didakwa.

Kadang kala, anak-anak kecil tidak mempunyai niat yang jahat untuk sebarang eksploitasi seksual. Mereka hanya ingin mengetahui tentang bahagian badan kanak-kanak yang berlainan jantina. Oleh itu, amat penting untuk mengajar kanak-kanak tentang sentuhan baik dan yang tidak baik, hormati antara satu sama lain dan menetapkan batasan peribadi.

Apakah yang perlu dilakukan oleh ibu bapa jika mereka mendapat tahu bahawa anak mereka menonton pornografi secara sendiri?
Ibu bapa perlu bertanya kepada anak mereka mengapa mereka menonton pornografi, samada perasan ingin tahu, pengaruh rakan sebaya, ketagihan pornografi, atau lain-lain. Terangkan kepada anak mereka kesan buruk daripada pornografi. Jika anak mereka masih menonton pornografi, penting untuk ibu bapa untuk mendapatkan bantuan kepada mereka seperti terapi atau kaunselling.

Rujuk buku, poster dan risalah serta video mengenai Penderaan Seksual Kanak-Kanak.

Kembali ke laman utama Penderaan Seksual Kanak-Kanak.