English Version

ADVOKASI

 

Sokongan kepada Mangsa

Kerja advokasi WCC bermula pada akhir 1990-an dengan reformasi undang-undang dan kempen serta aktiviti melobi untuk menghentikan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak. Kerja-kerja kami kini telah berkembang termasuklah memberikan sokongan kepada mangsa di mahkamah serta latihan dan rundingan bersama pihak berkepentingan dan agensi-agensi kerajaan. 

Sokongan kepada mangsa merupakan keutamaan dalam kerja advokasi kami. Dengan menyokong mangsa keganasan rumah tangga dan seksual, ianya dapat menggalakkan mereka menegakkan keadilan untuk kes mereka. Hal ini mendekatkan kami dengan realiti kehidupan mereka dan memberikan kami pengalaman yang praktikal dan pemahaman yang khusus untuk  menyokong aktiviti melobi bagi penggubalan undang-undang dan dasar yang lebih baik. Kebanyakan kes jenayah seksual yang kami tanggani melibatkan penderaan seksual terhadap kanak-kanak dan kebanyakan mangsa adalah wanita dan kanak-kanak perempuan. Ini menunjukkan bahawa jenayah keganasan seksual yang berlaku adalah berasaskan jantina.

Sokongan kepada Mangsa Keganasan Rumah Tangga dan Seksual

WCC memberikan perkhidmatan advokasi yang berikut kepada klien kami:

  • maklumat tentang siasatan polis dan langkah kepada perlindungan awal
  • menerangkan tentang hak mereka dan pilihan yang ada untuk melindungi mangsa dalam jangka masa yang panjang
  • mengaturkan perkhidmatan peguam pemerhati (watching brief lawyer) atau pendamping guaman (legal companion) untuk perbicaraan di mahkamah
  • maklumat mengenai hak mereka mendapatkan langkah-langkah khas di mahkamah (contoh: video live-link)
  • nasihat undang-undang selepas perbicaraan mengenai proses rayuan dan hak untuk mendapatkan ganti rugi, serta arahan untuk proses penyembuhan dan pemulihan (terapi permainan atau rawatan psikiatri)

Selain menemani mangsa di mahkamah untuk perbicaraan, kami juga mengendalikan ratusan panggilan telefon dan mesej, e-mel, surat dan mesyuarat dengan pelbagai agensi kerajaan yang terlibat dalam sistem keadilan jenayah untuk memastikan hak-hak mangsa dilindungi dan mereka boleh dapatkan akses terbaik sepanjang proses tersebut.

Penerbitan Hasil Kajian: Bersama Dengan Mangsa Jenayah Seksual: Perkhidmatan Sokongan WCC

Pada tahun 2021, WCC telah menerbitkan sebuah buku hasil kajian yang mendokumentasikan perkhidmatan sokongan mangsa yang kami sediakan untuk mangsa keganasan rumah tangga dan seksual. Klik sini untuk membaca lebih lanjut.

Buku Panduan dan Siri Video Menghadapi Proses Mahkamah

Ramai mangsa yang pergi ke mahkamah tidak memahami proses mahkamah yang rumit. Pada 2013, kami telah menerbitkan buku panduan mesra pengguna berjudu Memahami Proses Mahkamah: Panduan untuk Memahami Proses Mahkamah Jenayah untuk memperkasakan mangsa jenayah seksual dan keluarga mereka yang mungkin menjadi saksi kepada perbicaraan jenayah, dengan maklumat praktikal tentang prosedur mahkamah dan hak mereka semasa perbicaraan.

Buku panduan ini boleh didapati dalam 3 bahasa iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia dan Bahasa Mandarin dan boleh dimuat turun secara percuma disini. Bagi menjadikan buku panduan ini lebih mudah diakses, siri video Youtube Menghadapi Proses Mahkamah yang dibintangi selebriti Malaysia popular, Sarimah Ibrahim dihasilkan dengan empat sarikata bahasa utama. (Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, Mandarin dan Tamil).

Video: The Shower

Sempena Hari Antarabangsa bagi Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita 2020, WCC telah menerbitkan video yang menekankan kepentingan untuk percaya mangsa penderaan seksual dan bukannya menyalahkan mereka. Klik sini untuk menonton.

Dialog dan Mesyuarat

WCC juga kerap mengadakan dialog dan mesyuarat bersama agensi-agensi utama untuk memastikan agensi-agensi yang terlibat dalam sistem keadilan jenayah untuk mangsa keganasan rumah tangga dan jenayah seksual dapat melaksanakan tugas mereka dengan berkesan dan saling bekerjasama antara agensi bagi memastikan perlaksanaan perkhidmatan dan sokongan yang lebih baik bagi mangsa keganasan berasaskan jantina.

Antara agensi-agensi yang dimaksudkan adalah hospital (terutamanya Pusat Krisis Bersepadu, OSCC), Jabatan Kebajikan Masyarakat, polis, Timbalan Pendakwa Raya (TPR), mahkamah dan peguam.

Kami menganjurkan dua dialog peringkat nasional tentang isu menghapuskan diskriminasi terhadap wanita dan kanak-kanak (pada tahun 2013) dan hak-hak saksi rentan di mahkamah (pada tahun 2015, dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri, UNICEF dan Badan Peguam Malaysia). Pada tahun 2017, dokumen perundingan nasional “The Rights of Vulnerable Victims in Court” diterbitkan bagi melobi sistem sokongan mangsa yang lebih baik di Malaysia.

Kerja kami adalah berterusan, termasuk penganjuran dialog setiap tahun di peringkat negeri Pulau Pinang. Pada tahun 2017, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) merujuk dialog antara agensi yang dianjurkan oleh WCC sebagai contoh yang baik bagi konsultasi antara agensi. Dialog ini membolehkan kami membentuk rangkaian strategi jangka masa panjang dan membina hubungan yang baik antara agensi berkepentingan. Kepercayaan dan kredibiliti yang kami perolehi membantu kami dalam melobi reformasi perundangan.

Latihan kepada Agensi Berkepentingan

WCC melatih agensi-agensi yang berikut untuk meningkatkan pemahaman mereka tentang hak dan cabaran yang dihadapi oleh mangsa rentan keganasan rumah tangga dan seksual: 

  • Hakim dan majistret (melalui Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan, ILKAP)
  • Timbalan Pendakwa Raya dari Jabatan Peguam Negara (AGC)
  • Jabatan Bantuan Guaman
  • Anggota polis
  • Peguam pemerhati
  • Jurubahasa mahkamah
  • Jabatan Kebajikan Masyarakat dan hospital (khususnya OSCC)
  • Anggota media dan pihak berkepentingan dan agensi lain

Apabila agensi-agensi yang berkenaan menyedari tentang cabaran dan kesukaran dari perspektif mangsa, mereka akan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada mangsa dan memastikan proses mendapatkan keadilan buat mangsa berjalan lancar terutama sekali semasa pemeriksaan kesihatan, laporan, penyiasatan, pendakwaan, perbicaraan dan hukuman. WCC berasa bangga dapat melatih hakim, majistret dan pendakwa raya ianya merupakan pencapaian yang jarang dan hanya berjaya dicapai oleh sekumpulan kecil organisasi sahaja.

Kurikulum Latihan Jenayah Seksual

Pada tahun 2013, WCC telah dijemput untuk menyediakan kurikulum latihan jenayah seksual untuk Timbalan Pendakwa Raya. Tahun berikutnya, kami telah dijemput oleh ILKAP untuk membentuk modul dan juga menjalankan latihan yang sesuai untuk AGC dan badan kehakiman.

Pada tahun 2015, dengan kerjasama Unit Latihan Mahkamah Persekutuan, AGC dan ILKAP, sesi kami telah dimasukkan ke dalam jadual latihan ILKAP untuk setiap tahun. Selanjutnya kami memasukkan topik pemahaman keganasan rumah tangga dalam modul latihan. Setakat ini, kami telah melatih ratusan hakim, majistret dan pendakwa raya, serta pemberi perkhidmatan barisan hadapan yang terlibat dalam proses penyiasatan dan proses mahkamah.

Latihan untuk Peguam Pemerhati

Kami juga bernasib baik kerana mempunyai sokongan dari peguam pemerhati sukarela sejak dahulu lagi. Latihan ringkas untuk peguam dianjurkan setiap tahun sejak 2012, bermula dari Pulau Pinang dan kemudiannya berkembang ke wilayah utara, Kelantan dan Semenanjung Malaysia, langsung mendapat pengiktirafan dan sokongan Badan Peguam Malaysia.

Etika Media & Kesedaran Perlindungan Kanak-Kanak

Pada tahun 2014, Pasukan Advokasi WCC membuat kaji selidik mengunakan 10 akhbar Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia dan Mandarin untuk mengenalpasti sama ada artikel yang mereka terbitkan boleh membawa kepada pengenalan kanak-kanak tertentu yang dilaporkan sebagai mangsa keganasan seksual. Kami mendapati 15% artikel media yang diterbitkan boleh membawa kepada pengenalan kanak-kanak terbabit. Pelanggaran privasi seperti ini adalah kesalahan jenayah di bawah Akta Kanak-kanak 2001.

Hasil daripada kaji selidik ini, WCC menganjurkan satu forum yang bertajuk ‘Child Privacy and the Media’ untuk wartawan, pensyarah dan pelajar kewartawanan. Kami menggariskan kepentingan etika media dalam melaporkan jenayah seksual yang melibatkan kanak-kanak. Sejak itu, melalui kerjasama dengan kolej dan universiti tempatan, kami telah melatih lebih daripada 400 pelajar kewartawanan mengenai laporan media yang beretika.

Latihan kami bertujuan untuk membentuk pendekatan yang lebih sensitif terhadap gender supaya mangsa jenayah seksual terutamanya kanak-kanak tidak lagi menjadi mangsa melalui undang-undang dan media.

Reformasi Perundangan dan Dasar 

Usaha untuk memperbaiki undang-undang berkaitan dengan gender dan keganasan seksual terhadap wanita dan kanak-kanak telah menjadi tonggak utama dalam kerja Advokasi WCC selama beberapa dekad. Kami melobi dan berkempen bersama-sama dengan organisasi-organisasi wanita yang lain di Malaysia dan dikenali sebagai Kumpulan Tindakan Bersama untuk Kesaksamaan Gender (Joint Action Group for Gender Equality, JAG).

Menerusi kumpulan tindakan bersama ini, kami mengeluarkan kenyataan akhbar bersama dan menyerahkan memorandum dan input kepada kerajaan, termasuk draf undang-undang, kertas penyelidikan dan taklimat. Kami turut mengambil bahagian dalam mesyuarat yang dianjurkan oleh kementerian, jabatan kerajaan dan organisasi lain, kami juga memberi input mengenai undang-undang, dasar dan amalan berkaitan hak-hak wanita dan kanak-kanak berkaitan dengan keganasan berasaskan gender dan seksual.

Akta Keganasan Rumah Tangga 1994

Sebagai sebahagian daripada JAG, WCC juga telah menyumbang kepada penambahbaikkan perlindungan dan keadilan untuk mangsa-mangsa keganasan rumah tangga melalui perlaksanaan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. Kami juga menyumbang kepada pindaan seterusnya terhadap Akta tersebut untuk menyelaraskan bersama peruntukan jenayah seksual dalam Kanun Keseksaan, Akta Keterangan (termasuk bukti saksi kanak-kanak) dan banyak lagi.

Pada 2013, WCC menjadi sebahagian daripada Jawatankuasa Kerja Penyelarasan Undang-Undang AGC dalam usaha untuk berunding mengenai undang-undang awam sebelum ianya diluluskan. Kami juga bekerjasama rapat dengan Kaukus Gender Parlimen, UNICEF, KPWKM dan AGC, yang semuanya telah membawa kepada beberapa perubahan positif dalam undang-undang negara.

Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017

Kredit gambar: The Star

Input dan penglibatan WCC sebagai jawatankuasa kerja dalam menghasilkan garispanduan selaras dengan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Sexual Offences Against Children Act, SOAC) yang diluluskan pada 2017 untuk memberi jaminan bahawa jenayah pengantunan kanak-kanak dan pornografi kanak-kanak adalah jenayah yang mesti dihukum dengan lebih berat. Ini menunjukkan kejayaan dalam melindungi kanak-kanak di negara ini.

Perkembangan dan pencapaian lain adalah termasuk:

  • Penubuhan Mahkamah Khas di Putrajaya untuk perbicaraan kes-kes seksual yang melibatkan kanak-kanak
  • Pengenalan kepada perkhidmatan ‘pendamping guaman’ untuk membantu mangsa jenayah seksual kanak-kanak di mahkamah melalui Akta Bantuan Guaman (Pindaan) 2017
  • Pelancaran garis panduan khas untuk mengendalikan kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak di Malaysia

Memperjuangkan Hak Wanita dan Kanak-kanak

Sebagai sebahagian daripada JAG, kami menyokong pelbagai kenyataan mengenai isu hak asasi wanita. Kami juga meningkatkan kesedaran mengenai hak-hak wanita dan kanak-kanak menerusi ceramah dan latihan untuk polis, hospital, peguam, komuniti awam, khususnya mengenai keganasan rumah tangga, jenayah seksual dan hak-hak mangsa rentan.

Pada 2014, selepas kematian tragis salah seorang klien kami yang didakwa telah dibakar oleh suaminya, WCC mengetuai bantahan dan menyerahkan memorandum yang menuntut perlindungan yang lebih baik untuk mangsa keganasan rumah tangga kepada ibu pejabat polis Pulau Pinang. Pada tahun berikutnya, WCC sebagai sebahagian daripada kempen Citizens Against Rape (CAR) menyertai bantahan di Kuala Lumpur untuk membantah pembebasan seorang lelaki berusia 60 tahun yang menghamilkan seorang gadis berusia 15 tahun di Sarawak.