Perkahwinan & Perceraian Syariah dan Faraid
Bagi bab berkaitan hal ehwal keluarga umat islam di Malaysia seperti perkahwinan, perceraian dan pembahagian harta (faraid), ianya dikawal selia di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri masing-masing dan mempunyai peruntukan undang-undang yang berbeza mengikut negeri. Bagi negeri Pulau Pinang, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004 diguna pakai.
Perkahwinan
Matlamat Perkahwinan
Matlamat perkahwinan adalah untuk mencapai kebahagiaan hidup berkeluarga yang berkekalan dan mendapat keredhaan Allah SWT.
Syarat Am Perkahwinan
- Pemohon lelaki sekurang-kurangnya berumur 18 tahun dan pemohon perempuan berumur 16 tahun. Pemohon yang berumur kurang dari umur yang ditetapkan perlu mendapatkan Surat Rujukan dari Pejabat Agama Daerah untuk mendapatkan proses kebenaran daripada Mahkamah Syariah.
- Borang permohonan boleh di isi seawal-awalnya 90 hari dari tarikh akad nikah atau selewat-lewatnya 14 hari bagi warganegara Malaysia dan 21 hari untuk warganegara asing sebelum tarikh akad nikah.
- Pemohon (lelaki/perempuan) yang beralamat di Pulau Pinang atau bermastautin tetap di Pulau Pinang melebihi 4 bulan layak untuk memohon Kebenaran Berkahwin menerusi aplikasi e-munakahat.
- Permohonan yang dibuat secara online hanya akan diproses apabila pemohon melaksanakan proses-proses seperti senarai semak permohonan kebenaran berkahwin (mengikut situasi pemohon).
Prosedur Pra Perkahwinan
- Tiada halangan berkahwin: Pasangan bukanlah dari golongan yang haram dikahwini dan mendapatkan persetujuan wali.
- Menghadiri kursus pra perkahwinan: Pasangan mesti menghadiri Kursus Pra Perkahwinan Islam yang dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam Negeri dan mendapatkan sijil untuk membuat permohonan untuk berkahwin.
- Menjalani pemeriksaan kesihatan: Setiap pasangan yang ingin berkahwin perlu menjalani pemeriksaan kesihatan (ujian saringan HIV).
- Permohonan kebenaran berkahwin: Pasangan perlu mengisi borang permohonan kebenaran berkahwin yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Negeri.
- Borang permohonan perkahwinan hendaklah diperakui oleh dua orang pegawai dari masjid qariah pemohon bersama dengan cop rasmi untuk pengesahan status pemohon.
- Borang permohonan dan dokumen berkaitan mestilah ditandatangani dan dicop oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan di kawasan masing-masing.
- Borang permohonan yang telah ditandatangani dan dicop bersama dengan bayaran RM5.00 hendaklah dikemukakan kepada Pejabat Agama Daerah untuk mendaftarkan permit perkahwinan. Borang permohonan boleh dihantar seawal-awalnya 90 hari dari tarikh akad nikah atau selewat-lewatnya 7 hari sebelum tarikh akad nikah.
- Pemohon akan menerima permit perkahwinan dari Pejabat Agama Daerah selepas 7 hari bekerja dan perlu menyerahan permit tersebut kepada Penolong Pendaftar kawasan masing-masing.
- Akad nikah akan dijalankan mengikut tarikh dan tempat yang telah dipersetujui oleh pemohon.
Prosedur Perkahwinan
- Selepas akad nikah, pengantin lelaki akan diminta membaca perjanjian ta’liq* dan menandatangani Sijil Pernikahan dan membayar RM20.00 untuk 2 orang saksi dan RM130.00 kepada Penolong Pendaftar.
- Pengantin lelaki kemudiannya akan diberitahu syarat-syarat untuk mendapatkan surat nikah dan dia dikehendaki mendaftar perkahwinan dengan Pejabat Agama Daerah yang berkenaan, perkahwinan itu mesti didaftarkan dalam tempoh 14 hari selepas akad nikah dijalankan.
- Pemohon akan menerima Sijil Perkahwinan dari Pejabat Agama Daerah selepas 7 hari bekerja dari tarikh pendaftaran perkahwinan.
Perjanjian Ta’liq
Perjanjian ini dibaca dan dilafazkan oleh seseorang suami setelah akad nikah dijalankan. Perjanjian ini bermaksud bahawa si suami mengaitkan talaq (cerai) dengan pelanggaran syarat ta’liq yang telah dijanjikan. Pelanggaran mana-mana syarat ta’liq oleh si suami boleh menyebabkan jatuhnya talaq.
Syarat-syarat perjanjian ta’liq boleh ditambah pada bila-bila masa, samada sewaktu bernikah atau setelah lama berkahwin. Namun, syarat-syarat tambahan ini perlu dibincang dan dipersetujui oleh pasangan suami isteri terlebih dahulu.
Setiap negeri mempunyai perjanjian ta’liq masing-masing, dan merupakan sesuatu yang diwajibkan. Perjanjian ta’liq adalah tercatat pada Sijil Perakuan Nikah pasangan yang sudah berkahwin dan ditandatangani oleh pasangan, setelah si suami melafazkan perjanjian tersebut.
Tiga syarat perjanjian ta’liq sedia ada yang tertera pada sijil pernikahan adalah:
- Suami berjanji tidak meninggalkan isteri selama 4 bulan berturut-turut;
- Suami berjanji untuk memberi nafkah;
- Suami berjanji untuk tidak memberi mudarat kepada isteri atau menganiayainya.
Implikasi Ta’liq
- Talaq tidak jatuh dan pasangan kekal sebagai suami isteri selagi tindakan yang dita’liqkan tidak berlaku.
- Talaq terjadi apabila berlakunya tindakan yang dita’liqkan.
- Talaq ta’liq perlu dirujuk kepada mahkamah syariah yang berbidang kuasa untuk mengesahkan penceraian tersebut.
Sekiranya seseorang suami itu melanggar mana-mana syarat perjanjian ta’liq yang telah dibuat, maka jatuhlah talaq.
Perkahwinan Luar Negara & Perkahwinan Luar Negeri
Prosedur perkahwinan di luar negara di Kedutaan Malaysia, dan sebagainya
Akad nikah boleh dijalankan oleh Pendaftar yang dilantik di Kedutaan Besar Malaysia, Suruhanjaya Tinggi atau Konsulat di negara lain dengan syarat-syarat berikut:
- Salah satu atau kedua-dua pihak adalah warganegara Malaysia;
- Setiap pihak layak menikah di bawah peruntukan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004; dan
- Notis perkahwinan telah diberikan dalam tempoh masa yang ditetapkan dan diterbitkan kedua-duanya di pejabat Pendaftar di Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi atau Konsulat di mana akad nikah akan dijalankan dan juga di Pejabat Pendaftaran Daerah di Malaysia di mana setiap pihak adalah penduduk biasa yang terakhir mastautin, dan tiada kaveat (pencegah pendaftaran) atau notis bantahan yang diterima.
Pendaftaran dan Prosedur Perkahwinan Luar Negara
- Warganegara Malaysia yang berkahwin di luar negara mestilah mendaftarkan perkahwinan itu dalam tempoh 6 bulan selepas tarikh akad nikah dengan Pendaftar terdekat di luar negara ATAU dengan mana-mana Pendaftar di Malaysia.
- Seseorang itu mesti:
- mengemukakan perakuan perkahwinan itu kepada Pendaftar; dan
- mengisi borang yang ditetapkan dengan perisytiharan di dalamnya.
- Pendaftar boleh mengecualikan kehadiran salah satu pihak dari perkahwinan tersebut jika dia berpuas hati dengan sebab yang baik dan memadai untuk ketidakhadiran pihak itu.
Poligami
Dalam undang-undang Islam, seseorang lelaki tidak dibenarkan berkahwin dengan wanita lain semasa dia masih berkahwin dengan isterinya kecuali jika dia mendapat kebenaran bertulis daripada Hakim Syarie dan dia perlu membuat permohonan kepada Mahkamah.
Mahkamah akan mempertimbangkan perkara-perkara berikut dalam meluluskan permohonan tersebut:
- Keupayaan pendapatan pemohon;
- Komitmen dan tanggungjawab pemohon terhadap isteri baru;
- Komitmen kewangan dan tanggungan pemohon dalam keluarga sekarang; dan
- Izin atau pendapat isteri pertama.
Selepas menghantar permohonan kepada Mahkamah, pemohon dan isteri pertama perlu hadir ke Mahkamah dan Mahkamah akan membenarkan permohonan sekiranya syarat-syarat berikut dipenuhi:
- Bahawa pemohon mempunyai keupayaan untuk menanggung dan membiayai keluarga sekarang dan baru;
- Bahawa pemohon dapat melayani keluarganya sekarang dan baru dengan adil dan saksama;
- Perkahwinan yang dicadangkan tidak boleh menyebabkan kemudaratan (darar syarie) atau bahaya kepada isterinya yang sekarang; dan
- Bahawa perkahwinan itu boleh dilaksanakan.
Firman Allah SWT dalam surah An-Nisa’, ayat 3 “Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah (dengan) perempuan-perempuan lain yang kamu berkenan, dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau memadailah dengan hamba hamba perempuan yang kamu miliki. Itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.”
Ayat di atas menunjukkan amalan poligami lebih dilihat kepada satu tanggungjawab dan sekatan untuk memastikan keadilan terhadap anak-anak yatim. Tetapi, adakah poligami yang dibenarkan sekarang adalah lebih merupakan untuk memenuhi keperluan seksual lelaki daripada melindungi anak-anak yatim? Ayat di atas jelas menunjukkan Al-Quran tidak menggalakkan poligami sebagai satu hak tanpa syarat, tetapi ia adalah untuk memastikan nasib balu dan anak yatim terbela.
Ini diperkuatkan lagi oleh ayat Surah an-Nisa 129 yang menyatakan “Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya). Apabila Al-Quran menegaskan dengan jelas mengenai keadilan terhadap wanita dan layanan yang adil terhadap para isteri, ia juga mengakui betapa mustahilnya memenuhi syarat ini. Dengan menekankan keperluan bagi layanan yang adil dan saksama untuk kesemua isteri, ayat 4:3 tidak boleh dilihat sebagai menggalakkan poligami.
Soalan Lazim (FAQs)
Pertunangan
Sekiranya berlaku pembatalan pertunangan oleh pihak lelaki, bolehkah saya menuntut ganti rugi?
Boleh. Dibawah Seksyen 15, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004, tuntutan ganti rugi boleh dibuat untuk bayaran kos pertunangan (contohnya bayaran pihak katerer, kos pembelian cincin dan sebagainya) tetapi tidak boleh atas alasan malu.
Perkahwinan
Adakah perkahwinan memerlukan wali dan saksi?
Ya. Wali dan saksi adalah individu terpenting dan merupakan syarat wajib dalam rukun nikah yang wajib dituruti bagi semua umat islam yang ingin melangsungkan perkahwinan. Ketahui lebih lanjut berkenaan susunan wali dan saksi di sini http://jksnpp.penang.gov.my/index.php/en/18-penerbitan-mahkamah/88-bidang-kuasa-wali-dalam-pernikahan
Adakah perkahwinan perlu didaftarkan di Malaysia?
Ya. Setiap perkahwinan didalam atau diluar Malaysia mestilah didaftarkan dengan Pejabat Agama Daerah Negeri masing-masing atau Kedutaan Malaysia sekiranya berada diluar negara. Ianya bertujuan memudahkan proses tuntutan hak-hak anda dari segi undang-undang Islam sebagai isteri dan/atau ibu. Sekiranya tiada pendaftaran dibuat selepas perkahwinan, anda mungkin akan menghadapi masalah jika isu-isu perkahwinan timbul seperti perceraian dan sebagainya.
Bolehkah isteri membuat syarat-syarat ta’liq tambahan setelah berkahwin?
Syarat-syarat ta’liq tambahan boleh dibuat pada bila-bila masa sahaja, samada sewaktu bernikah ataupun telah lama berkahwin. Isteri masih tetap boleh memohon suami melafazkan ta’liq tambahan termasuklah melarang suami dari berkahwin lain tanpa izin.
Bolehkah seorang suami itu menjadi nusyuz?
Boleh. Nusyuz terpakai kepada kedua-dua pihak dalam perkahwinan. Suami juga boleh menjadi nusyuz apabila gagal menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami. Ini bermaksud suami tersebut enggan menunaikan hak dan nafkah zahir dan batin atau bertindak kasar terhadap isteri.
Hak dan nafkah batin isteri ialah komunikasi yang baik, memenuhi kepuasan seksual, memberikan didikan agama, berlaku adil, tidak dihina dan dikasari. Manakala hak zahir isteri ialah maskahwin, nafkah, mut’ah jika berlaku perceraian tetapi isteri tidak berlaku nusyuz.
Apakah salah laku dalam perkahwinan yang boleh dilaporkan kepada Mahkamah Syariah?
Anda boleh membuat aduan di Mahkamah Syariah sekiranya suami anda melakukan perkara-perkara berikut:-
a) Menganggu anda: Anda boleh mendapatkan perintah tegahan daripada Mahkamah untuk menghentikan gangguan tersebut mengikut Undang-Undang Keluarga Islam atau Akta Keganasan Rumahtangga;
b) Menganiaya dan berlaku tidak adil terhadap anda;
c) Berpoligami tanpa kebenaran Mahkamah;
d) Melafazkan cerai diluar/tanpa kebenaran Mahkamah; dan
e) Meninggalkan anda setelah Mahkamah mengeluarkan perintah untuk kembali kepada anda tetapi suami anda enggan berbuat demikian
Poligami
Berdosakah isteri jika tidak merelakan suami berpoligami?
Tidak berdosa. Surah An-Nisa 4:3, “..jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja..”
Justeru itu, isteri yang tidak merelakan suami mereka berpoligami kerana tahu bahawa besar kemungkinan suaminya tidak akan berlaku adil atau perkahwinan tersebut bakal memberi mudarat padanya dan anaknya adalah tidak berdosa.
Bolehkah isteri menuntut harta sepencarian sebelum suami berpoligami?
Ya. Sekiranya suami mahu berkahwin lagi, isteri sedia ada boleh menuntut harta sepencarian sebelum dia menikah lagi. Harta sepencarian boleh dituntut pada bila-bila masa semasa ikatan perkahwinan ataupun selepas perceraian.
Lihat sumber berguna mengenai perkahwinan Syariah.
Kembali ke laman utama Syariah: Perkahwinan, Perceraian dan Faraid