Apa itu Gangguan Seksual?

Gangguan seksual adalah sebarang tingkah laku berunsur seksual yang tidak diingini melalui lisan, bukan lisan, visual, psikologi atau fizikal. Penting untuk mangsa tahu bahawa gangguan seksual menyebabkan mangsa berasa tidak selesa, takut atau terancam dengan tingkah laku pelaku.

Gangguan seksual mewujudkan suasana kehidupan dan kerja yang mengancam ketenteraman mangsa. Mangsa selalunya menerima gangguan seksual di tempat awam, dalam pengangkutan awam, sekolah atau universiti dan, sangat kerap, di tempat kerja.

Wanita dan lelaki boleh menjadi mangsa atau pelaku. Gangguan seksual boleh terjadi di antara sama jantina atau berlainan jantina. Ia boleh terjadi di antara orang yang berbeza status atau orang yang mempunyai status yang sama.

Peraturan asas adalah, ia kemungkinannya gangguan seksual jika mangsa berasa tidak selesa atau terancam. Ia dipandang dari perspektif mangsa itu sendiri, tidak mengambil kira niat pelaku tersebut!

Jenis-jenis Gangguan Seksual

Gangguan seksual boleh terjadi dalam pelbagai cara termasuklah: –

Fizikal
  • Sentuhan, pelukan atau urutan yang tidak diingini dan tidak bersesuaian
  • Memicit atau menggosok tubuh badan mangsa
  • Sengaja berdiri dekat dengan mangsa
Lisan
  • Memanggil mangsa dengan kata-kata yang tidak sesuai seperti “seksi”, “baby” atau “sayang”
  • Membuat lawak yang lucah
  • Berfantasi dan bercerita mengenai kehidupan seks pelaku atau mangsa
  • Komen yang lucah dan tidak sesuai berkenaan dengan tubuh badan seseorang
Bukan lisan
  • Menghantar mesej lucah, gambar atau video pornografi
  • Menunjukkan bahasa isyarat yang berunsur seksual
  • Menggoda secara berterusan
Visual
  • Memandang mangsa dengan cara seksual atau membuat isyarat yang tidak sesuai
  • Menunjukkan bahan pornografi
  • Pelaku menunjukkan tubuh badan kepada mangsa

Psikologi

  • Jemputan sosial yang tidak diingini berulang-ulang
  • Tekanan untuk bertemu atau intimasi secara fizikal

 

Gangguan seksual secara dalam talian

Gangguan seksual boleh berlaku dalam talian juga, sebagai contoh:

  • Menghantar mesej, gambar atau video berunsur seksual
  • Menghantar, berkongsi atau memuat naik gambar atau video mangsa yang berunsur seksual tanpa kebenarannya
  • Mencuri identiti seseorang dan merosakkan reputasinya dengan berkongsi kandungan seksual atau mengganggu orang lain secara seksual
  • Komen berunsur seksual pada medial sosial seseorang
  • Mengugut atau memaksa mangsa untuk berkongsi kandungan seksual mereka atau melakukan aktiviti seksual


Kesan-kesan Gangguan Seksual terhadap Mangsa

Gangguan seksual boleh mendatangkan kesan yang buruk dan mendalam. Mangsa boleh mengalami pelbagai kesan untuk jangka masa pendek yang juga boleh berlanjutan kepada jangka masa panjang. Antara kesan-kesannya adalah:-

Kesan fizikal
  • Tekanan meningkat
  • Sakit kepala dan letih
  • Sukar untuk tidur dan untuk makan
Kesan emosi
  • Keliru dan berasa tidak berdaya
  • Berasa terhina, menyalahkan diri sendiri dan rasa bersalah
  • Malu
  • Marah dan takut
Kesan psikologi
  • Murung dan sentiasa risau
  • Fobia dan mudah panik
  • Berasa ingin membunuh diri atau cuba untuk membunuh diri
  • Kurang keyakinan diri
Kesan terhadap pekerjaan jika gangguan berlaku di tempat kerja
  • Diberhentikan kerja atau berhenti kerja
  • Prestasi kerja menurun atau merosot
  • Tidak datang kerja
  • Tidak dapat bekerja dengan baik

Rujuk risalah dan video mengenai Gangguan Seksual.

Kembali ke laman utama Gangguan Seksual.