
Undang-undang di Malaysia
Undang-undang berkenaan Rogol di Malaysia
Kanun Keseksaan
Di bawah Seksyen 375 dan 376 Kanun Keseksaan, seorang lelaki yang dikatakan melakukan rogol boleh dihukum untuk suatu tempoh penjara maksimum 20 tahun, dan juga boleh dikenakan sebat, jika dia melakukan hubungan seks dengan seorang wanita di bawah mana-mana keadaan berikut:
(a) bertentangan dengan kemahuannya;
(b) tanpa kerelaanya;
(c) dengan kerelaannya tetapi kerelaannya itu didapatkan dengan cara menakutkannya atau mana-mana orang lain dengan kecederaan atau kematian, atau didapatkan melalui salah anggap fakta dan lelaki itu tahu atau ada sebab untuk mempercayai bahawa kerelaan itu telah diberi akibat dari salah anggap tersebut;
(d) dengan kerelaanya apabila lelaki itu ketahui bahawa ia bukan suaminya, dan kerelaan itu diberi kerana perempuan itu percaya lelaki itu ialah seorang lelaki yang menjadi atau yang ia percaya menjadi suaminya yang sah di sisi undang-undang atau yang kepadanya ia akan memberi kerelaan;
(e) dengan kerelaanya, jika pada masa memberi kerelaan itu dia tidak boleh memahami jenis dan akibat mengenai apa yang dia memberi kerelaan;
(f) dengan kerelaan perempuan itu, apabila kerelaannya didapati dengan menggunakan kedudukannya yang berkuasa ke atas perempuan itu atau atas sebab hubungan profesional atau lain-lain hubungan amanah berkaitan dengannya;
(g) samada dengan kerelaan perempuan itu atau tidak, apabila perempuan itu di bawah umur 16 tahun.
Huraian: Kemasukan adalah memadai bagi persetubuhan yang perlu bagi kesalahan rogol.
Pengecualian: Persetubuhan oleh seorang lelaki dengan isterinya sendiri dalam perkahwinan yang sah tidak dianggap sebagai rogol.
Seksyen 376 Kanun Keseksaan pula memperuntukan hukuman rogol yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun, dan pelaku juga boleh dikenakan sebatan jika dia merogol seorang wanita di bawah mana-mana keadaan berikut:
(a) pada masa, atau sebaik sebelum atau selepas dia melakukan rogol, menyebabkan kecederaan kepada perempuan tersebut atau kepada mana-mana orang lain;
(b) pada masa, atau sebaik sebelum atau selepas dia melakukan rogol, meletakkannya dalam ketakutan terhadap kematian atau kecederaan kepada perempuan tersebut atau mana-mana orang lain;
(c) kesalahan dilakukan dalam kehadiran atau di hadapan mana-mana orang lain;
(d) tanpa kerelaan perempuan tersebut, apabila perempuan tersebut berumur di bawah 16 tahun;
(e) dengan atau tanpa kerelaan perempuan tersebut, apabila perempuan tersebut berusia di bawah 12 tahun;
(f) dengan kerelaan perempuan tersebut, apabila kerelaannya diperolehi dengan menggunakan kedudukan kuasanya terhadap perempuan itu atau kerana hubungan profesional atau hubungan amanah lain yang berhubung dengannya;
(g) pada masa kejadian rogol, perempuan tersebut mengandung;
(h) apabila disebabkan atau pada masa kejadian rogol, perempuan tersebut menjadi gila;
(i) apabila dia mengetahui yang dia menhidap Human Immuno-Deficiency Virus (HIV)/Acquired Immune Deficiency Syndrome (AIDS) atau apa-apa penyakit yang boleh berjangkit melalui seks dan virus atau penyakit itu adalah atau mungkin boleh berjangkit kepada perempuan tersebut;
(j) apabila disebabkan atau pada masa kejadian rogol, wanita itu membunuh diri; atau
(k) apabila dia mengetahui tentang kecacatan mental, gangguan emosi atau kecacatan fizikal wanita itu pada masa perlakuan jenayah itu.
Seksyen yang sama memperuntukan sekiranya menyebabkan kematian semasa melakukan atau cuba melakukan rogol akan dihukum mati atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada 15 tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun, dan juga dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 10 kali sebatan.
Seksyen 375A Kanun Keseksaan mana-mana suami, dalam suatu perkahwinan yang sah, menyebabkan kecederaan atau ketakutan kepada kematian atau kecederaan terhadap isterinya atau mana-mana orang lain untuk bersetubuh dengan isterinya akan dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai 5 tahun.
Seksyen 376A dan 376B Kanun Keseksaan memperuntukan hukuman untuk kelakuan sumbang mahram akan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun, dan juga akan dihukum dengan sebatan. Ini adalah keadaan di mana persetubuhan dilakukan dengan orang lain di mana hubungan mereka adalah tidak dibenarkan, di bawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan yang berkaitan bagi lelaki dan perempuan tersebut, untuk berkahwin dengan orang itu.
Seksyen 377CA dalam Kanun Keseksaan memperuntukan bahawa mana-mana orang yang mempunyai hubungan seksual dengan orang lain dengan memasukkan apa-apa objek ke dalam faraj (vagina) atau dubur seseorang lain tanpa kebenaran akan dihukum dengan penjara sehingga maksimum 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan sebatan. Pengecualian: Seksyen ini tidak terpakai di mana penggunaan apa-apa objek ke dalam faraj atau dubur mana-mana orang lain dilakukan untuk tujuan perubatan atau penguatkuasaan undang-undang.
Undang-undang berkenaan penderaan seksual di Malaysia:
Seksyen | Kesalahan | Hukuman |
354 | Mencabul kehormatan (Menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah ke atas seseorang dengan niat untuk mencabul kehormatannya). | Penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu. |
355 | Menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah ke atas seseorang dengan niat untuk menjatuhkan kehormatannya kecuali didesak dengan bangkitan-marah yang serius. | Penjara maksimum 2 tahun atau denda atau kedua-duanya. |
372 | Memperdagangkan seseorang untuk pelacuran. | Penjara maksimum 15 tahun, sebat dan boleh juga didenda. |
375 (a, g) & 376 | Rogol ialah apabila seseorang lelaki bersetubuh dengan seorang perempuan yang bukan isterinya yang sah tanpa kerelaanya. Rogol bawah umur adalah hubungan seksual dengan perempuan bawah umur 16 tahun dengan atau tanpa kerelaannya. | Penjara maksimum 20 tahun dan sebat. |
375A | Suami menyebabkan kecederaan kepada isterinya untuk mengadakan persetubuhan. | Penjara maksimum 5 tahun. |
375B | Rogol berkumpulan. | Penjara minimum 10 tahun, maksimum 30 tahun. |
376 (2)(d, e) | Rogol bawah umur (jika perempuan berumur bawah 16 tahun) tanpa kerelaanya dan persetubuhan dengan perempuan bawah 12 tahun dengan atau tanpa kerelaannya. | Penjara minimum 10 tahun, maksimum 30 tahun dan sebat. |
376 (4) | Menyebabkan kematian seorang perempuan semasa melakukan atau mencuba untuk melakukan rogol. | Dihukum mati atau penjara minimum 15 tahun, maksimum 30 tahun dan minimum 10 sebatan. |
376A & 376B | Sumbang mahram (Apabila seseorang melakukan persetubuhan dengan orang yang dilarang dikahwini samada dibawah undang-undang, agama, adat atau kebiasaan). | Penjara minimum 10 tahun, maksimum 30 tahun dan sebatan. |
377A & 377B | Persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii (Melakukan hubungan seksual dengan memasukkan zakar ke dalam dubur (liwat) atau mulut seseorang yang lain). | Penjara maksimum 20 tahun dan sebat. |
377C | Melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan luar tabii tanpa kerelaan, atau meletakkan orang lain dalam ketakutan mati atau cedera orang itu atau mana-mana orang lain. | Penjara minimum 5 tahun, maksimum 20 tahun dan sebat. |
377CA | Perhubungan seks menggunakan objek ke dalam faraj (vagina) atau dubur seseorang lain tanpa kebenaran. | Penjara minimum 5 tahun, maksimum 30 tahun dan sebat. |
377D | Melanggar kesopanan. | Penjara maksimum 2 tahun. |
377E | Merangsang kanak-kanak bawah 14 tahun untuk melakukan kelucahan melampau. | Penjara minimum 3 tahun, maksimum 15 tahun dan sebat. |
509 | Perkataan atau isyarat dengan niat mengaibkan kehormatan seseorang. | Penjara maksimum 5 tahun atau denda atau kedua-duanya. |
Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (SOAC)
Bagi undang-undang mengenai penderaan seksual kanak-kanak, sila klik sini untuk maklumat lanjut.
Rujuk buku, poster dan risalah serta video mengenai Rogol.