Mangsa gangguan seksual, rogol perlu dibantu, 7 May 2009

From Utusan Malaysia Online

PULAU PINANG 6 Mei -Agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan di negara ini perlu membantu golongan wanita terutamanya yang pernah menjadi mangsa keganasan seksual termasuk rogol ke arah memahami dan memberi sokongan moral kepada mereka.

Pengarah Eksekutif Pusat Kesedaran Wanita (WCC) Pulau Pinang, Loh Cheng Kooi berkata, antara yang boleh dilakukan ialah dengan membantu memulihkan fizikal serta emosi mangsa di samping menegakkan keadilan.

‘‘Sebagai contoh, agensi seperti hospital kerajaan boleh mewujudkan Pusat Sehenti Krisis di Jabatan Kecemasan, khas untuk mangsa keganasan seksual bagi menguruskan situasi yang dihadapi mereka.

‘‘Sehubungan itu, WCC Pulau Pinang telah pun menjalankan usahasama dengan Hospital Pulau Pinang (HPP) sejak April tahun lalu bagi tujuan ini.

‘‘Usaha sebegini akan sentiasa berterusan agar dapat diwujudkan rangkaian sokongan di dalam masyarakat kepada golongan berkenaan,’‘ katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Seminar Memahami dan Memberi Sokongan kepada Mangsa Rogol Yang Terselamat di HPP di sini hari ini.

Kira-kira 200 peserta menghadiri seminar tersebut yang rata-ratanya dihadiri oleh wakil-wakil agensi perubatan di sekitar Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak bertujuan memberi pendedahan mengenai situasi serta hak-hak mangsa keganasan seksual.

Sebanyak sembilan tajuk utama dibentangkan oleh pakar-pakar dalam bidang pengumpulan bahan bukti, hak undang-undang perubatan dan psikologi dalam pelbagai aspek berkaitan dengan isu yang dibincangkan.

Sementara itu, Pengarah Program WCC Pulau Pinang, Dr. Prema Devaraj melahirkan harapannya agar pada masa akan datang, pelbagai agensi berkaitan memberi tumpuan yang lebih bagi membantu golongan yang teraniaya itu.

‘‘Kami percaya dengan usaha-usaha murni ini, sedikit-sebanyak ia mampu memulihkan fizikal serta emosi di samping memberi semangat kepada mereka untuk menegakkan keadilan,’‘ jelasnya.

WCC merupakan sebuah NGO yang ditubuhkan sejak tahun 1985 bagi membantu wanita dan kanak-kanak yang dianiayai.

Perkhidmatan yang diberikan adalah percuma melibatkan kaunseling, menyediakan rumah perlindungan sementara dan membantu memberikan nasihat undang-undang kepada mangsa.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut orang ramai boleh menghubungi talian 04-2280342 atau layari laman web WCC di http://www.wccpenang.org.